Thursday, December 29, 2011

Masalah datang untuk diselesaikan, bukan untuk dirisaukan


Bila masalah datang..


Risau + tak cari jalan penyelesaian = 

Tak guna, buang masa, buang tenaga, tambah tekanan, menyusahkan & bertambah masalah

Sabar + cari jalan penyelesaian = 

Ketenangan, ketenteraman, kurang tekanan, bertambah idea, bertambah usaha, bertambah jalan penyelesaian




Monday, November 28, 2011

Merokok Haram


Bismillah..ramai yang masih tak pasti dengan hukum merokok, ada pula yang tahu tapi ambil ringan. Saya kongsikan fatwa dari web e-Fatwa oleh JAKIM berkenaan hukum merokok.

.....

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.
........

Keterangan dan Hujah





1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:

i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. 

  • Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. 
  • Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. 

  • Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. 
  • Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.

iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. 



  • Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 
    • 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 
    • Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. 
    • Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:

  • ”Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:

  • Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. 
  • Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
  • Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
  • Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
  • Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
    • Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
    • Pembaziran yang tidak ada keperluannya.
    • Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok. Antaranya seperti berikut:
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.


2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. 

  • Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.


3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyahmenyatakan:



  • “ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”
  • “Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.
  • Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

......


Moga bermanfaat.


Bersama berusaha mendapatkan redha Allah dan menjauhi murka Allah.

Afiq Tj.

Saturday, November 12, 2011

Strategi Meningkatkan Iman



Bismillah..Kali ni saya nak kongsikan berkenaan strategi untuk kita jadikan iman kita meningkat. Perkongsian dari  Ustaz Dr. Zahazan (Siri tafsir al-Quran oleh radio IKIM.fm – Perbincangan tafsir surah at-Taubah ayat 124-125)

  1. Dengan membaca, menghafal, mendengar al-Quran dan beramal dengannya.
  2. Konsisten/Istiqamah beramal soleh. 
  3. Tadabur/Baca kisah-kisah para nabi dan rasul dalam al-Quran, kisah-kisah para sahabat, para salafussoleh.     
  4. Doa. Antara doa yang paling banyak Rasulullah S.A.W amalkan adalah doa diberi ketetapan hati.   
  5. Banyak mengingati Allah    
  6. Menjalankan dakwah di jalan Allah. Dengan menjalankan dakwah yang berterusan, dapat menjadikan diri kita tarsus istiqamah dalam kebenaran.   
  7. Cari/Mempunyai kawan-kawan yang baik, yang soleh, yang sentiasa bantu kita, mendorong kita untuk mentaati Allah S.W.T. 
  8. Sabar. Antara cara sabar adalah dengan puasa sunat.
  9. Banyak melakukan muhasabah dengan mengingati nikmat Allah kepada kita, nikmat-nikmat yang Allah janjikan di akhirat kepada orang-orang beriman, beramal soleh, serta mentaati Allah S.W.T seperti syurga.



Saya download di web ikim, siri kuliah oleh Ustaz Dr. Zahazan boleh dapat di sini.

Mohon teguran dan nasihat untuk yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Bersama kita mandapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Thursday, November 3, 2011

Keputusan dalam Kehidupan


Bismillah,

Setiap hari banyak keputusan yang kita perlu buat. Dari sekecil-kecil keputusan hingga sebesar-besar keputusan. Nak makan apa, nak pergi mana, nak buat apa dulu, nak pakai apa, nak baca apa..dan macam-macam lagi.

Kadang-kadang kita akan buntu atau risau berkenaan apa keputusan terbaik untuk kita buat terutama bila perlu pilih antara dua keputusan yang terbaik.

Dalam membuat keputusan, rujuk pada sistem nilai yang kita pegang dalam kehidupan. Sistem nilai bermaksud apa perkara-perkara penting yang kita nilaikan sebagai yang penting dalam kehidupan kita. Ada orang mungkin keluarga, kewangan dan kesihatan adalah antara perkara penting dalam kehidupan mereka. Bila nak buat keputusan terbaik, pertimbangkan mana yang paling bertepatan dan bersesuaian dengan keutamaan nilai-nilai penting yang kita pegang.

Sebagai muslim, kita seharusnya jadikan Allah sebagai yang paling penting dalam sistem nilai untuk kehidupan kita. Bila nak buat keputusan, pertimbangkan dulu yang mana Allah suka, yang mana Allah tak suka. Yang Allah tak suka kita tinggalkan. Bila ada beberapa pilihan yang kita yakin apa yang Allah suka, baru kita pertimbangkan nilai lain yang penting dalam kehidupan kita. Mungkin kewangan, keselesaan dan lain-lain.

Contohnya bila kita perlu buat keputusan untuk pilih pakaian terbaik untuk kita beli. Pertimbangkan dulu yang mana yang Allah suka untuk kita pakai. Maksudnya yang ikut cara berpakaian yang ditetapkan Islam seperti menutup aurat dan tak menampakkan bentuk badan. Kemudian baru pertimbangkan mengikut nilai penting lain yang kita pegang.

Contoh lain yang biasa kita buat, bila nak beli sesuatu makanan di kedai. Pertimbangkan dulu yang mana yang Allah suka untuk kita pilih. Antaranya yang diyakini halal. Kemudian baru pertimbangkan perkara lain seperti sedap, murah dan lain-lain yang mungkin penting dalam sistem nilai kehidupan anda.
Jadi, mari kita sama-sama ubah sistem nilai dalam kehidupan kita. Utamakan apa yang Allah suka dan tinggalkan apa yang Allah tak suka. Jadikan apa yang Allah perintah dan larang sebagai pertimbangan utama dalam kita nak buat kehidupan seharian.

Mohon nasihat dan teguran atas perkara yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Sama-sama kita dapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Monday, October 31, 2011

Hayati Kehidupan Islam Dalam Memimpin


Bismillah..

Kali ni saya nak cakap sikit berkenaan tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Sebagaimana yang kita ketahui, setiap orang akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Kita semua adalah pemimpin, paling tidak, kita adalah pemimpin kepada diri kita.


“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang ia pimpin”. (Mutafaq ‘alaih)


Pada pendapat saya, apabila kita berpeluang samaada dengan rela atau terpaksa, untuk menjadi pemimpin, kita patut guna peluang tu sebaiknya untuk mengajak orang-orang yang kita pimpin untuk menghayati kehidupan sebagai seorang muslim dengan sebaik-baiknya. Tak kira la kita pemimpin sebuah organisasi kecil atau besar. Pemimpin syarikat atau pemimpin rumah tangga. Bila orang lain menjadikan diri kita sebagai tempat rujuk dan tempat menerima arahan, maksudnya kita pemimpin la tu.

Apa kata, bila kita jadi pemimpin kita cuba praktikkan perkara macam menjaga solat, menjaga batas pergaulan, menjaga aktiviti yang kita laksanakan supaya tak bercanggah dengan syarak, memastikan aurat terjaga dalam setiap program, memastikan maksiat tak berlaku dalam program dan aktiviti kita.

Contoh, bila nak buat meeting, dah hampir waktu solat, apa salahnya tangguhkan sikit waktu meeting bermula ke waktu lepas solat. 

Bila nak buat baju seragam atau baju korporat, usaha untuk cari design terbaik bila nak buat baju untuk wanita muslim pakai supaya aurat dan bentuk badan tak terlihat. 

Nak buat aktiviti sukan..tak bercampur dalam satu permainan lelaki dan perempuan bukan mahram. 

Dan banyak lagi..

Pada pendapat saya, bila kita merupakan seorang ketua,dah tentu orang lain samaada rela atau terpaksa akan ikut juga arahan dan cara yang kita buat. 

Kalau orang bawahan kita majoritinya muslim, dah tentu mereka sepatutnya faham tindakan kita. 

Mungkin kita akan risau ada orang tak suka dengan cara kita, cakap-cakap kat belakang..tapi mana satu yang anda lebih suka? Kita lebih suka apa yang orang suka atau apa yang Allah suka?

Dah tentu, sebagai pemimpin..perlu laksanakan perkara-perkara ini dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah. Itu dah tentu satu cabaran untuk seseorang pemimpin, tapi sekurang-kurangnya setiap dari kita perlu tanam azam dan ada usaha untuk lakukan perkara-perkara seperti ini.

Tak boleh ambil ringan perkara ni dan tak boleh lepas tangan..sebab kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat berkenaan apa yang kita pimpin.

Macam mana nak jawab soalan di sana nanti bila ditanya:

"Kenapa kamu tak benarkan orang bawahan kamu solat di awal waktu dan membiarkan mereka melambatkan solat disebabkan program yang kamu rancangkan waktu nak masuk waktu solat?"

"Kenapa kamu biarkan maksiat itu berlaku dalam program kamu sedangkan kamu ada kuasa untuk mengubah aktiviti-aktiviti program itu?"

"Kenapa kamu tak arahkan bas rombongan yang kamu pimpin untuk berhenti solat?"

Ya Allah..berat tanggungjawab memimpin, tapi dengan memimpin, dapat peluang banyak juga untuk menyebarkan dan menghayati kehidupan Islam..InsyaAllah.

Semoga bermanfaat.

Mohon teguran dan nasihat atas perkara yang kurang atau tak tepat.

Sama-sama kita berusaha untuk mendapatkan redha Ilahi.

Afiq Tj.


Friday, October 28, 2011

Taubat..Jika Gagal..Terus berusaha..Tak Putus Asa






Suatu hari seorang penceramah terkenal membuka seminarnya dengan cara yang unik.
Sambil memegang wang RM100, dia bertanya kepada hadirin,

“Siapa yang nak duit ini?”.

Kelihatan ramai penonton angkat tangan menunjukkan ramai yang minat.

“Saya akan berikan ini kepada salah seorang dari anda , tapi sebelumnya perkenankanlah saya buat ni dulu.”


Dia berdiri mendekati hadirin. Wang itu diramas-ramas dengan tangannya sehingga renyuk.
Lalu bertanya lagi,

“Siapa yang masih mahu duit ini?”
Jumlah tangan yang mengangkat tak berkurang.

“Baiklah,” jawabnya,

“Apa jadinya bila saya melakukan ini?”

Ujarnya sambil menjatuhkan wang itu ke lantai & melenyek-lenyekkan dgn kasutnya. Meski masih utuh, kini wang itu jadi amat kotor,lusuh dan amat renyuk.

"OK, sekarang masih ada yang berminat?”.
Tangan-tangan yang angkat ke atas masih tetap banyak.

Hadirin sekalian, Anda baru saja menghadapi sebuah pelajaran penting. Apapun yang terjadi dengan wang ini, anda masih berminat kerana apa yang saya lakukan tidak akan mengurangi nilainya.

Biarpun renyuk,lusuh dan kotor, wang ini tetap bernilai RM100 juga..
Dalam kehidupan ini, kita pernah beberapa kali terjatuh, terkoyak, dan dipenuhi kotoran akibat keputusan yang kita buat & situasi yang menerpa kita dalam sesuatu keadaan dahulu.

Dalam keadaan seperti itu, kita merasa tak berharga, tak bererti.
Padahal apapun yang telah & akan terjadi, anda tidak pernah akan kehilangan nilai di mata mereka yang mencintai anda, lebih-lebih lagi di mata Tuhan.

Jadi walau bagaimana kotor pun anda, kita masih mempunyai nilai yang tersendiri. Sayangilah diri anda, bertaubat jika membuat dosa, terus berusaha jika gagal kerana diri kita sebenarnya amat berharga.
Dan jangan terlupa kita adalah makhluk Allah yang di pandang sama, hanya iman dan takwa yang membezakan kita.



Perkongsian dari facebook

Tuesday, October 25, 2011

Dah sedekah?



Bismillah..Assalamualaikum.

Kali ni saya nak kongsikan berkenaan sedekah (termasuk sumbangan dan wakaf). Sekadar untuk ingatan bersama.

Sepertimana kita ketahui, bila kita mati, kita dah tak berpeluang untuk laksanakan amal ibadah lagi. Walaubagaimanapun ada tiga perkara yang masih lagi dapat membantu kita dalam meningkatkan ganjaran kebaikan yang kita dapat. Seperti hadis yang sering kita dengar:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Saya nak sentuh di sini tentang sedekah jariah. Sedekah jariah merupakan salah satu saham besar untuk kita di alam kubur dan di akhirat.

Bayangkan bila kita sedekah untuk pembinaan satu masjid, selagi masjid itu digunakan orang untuk beribadah kepada Allah, selagi itu kita akan dapat pahala, walaupun kita telah bertahun-tahun mati. 

Bayangkan pula bila kita sedekah untuk pembinaan sekolah yang menjadi tempat untuk pelajar-pelajar menuntut ilmu yang baik..Kita akan mendapat pahala setiap kali sekolah itu digunakan untuk menjadi tempat mengajar ilmu. Kita juga akan dapat pahala setiap kali pelajar yang menuntut ilmu di situ mengamalkan ilmu yang mereka dapat ketika belajar di situ. Kita juga akan mendapat pahala berterusan apabila pelajar itu mengajarkan dan berkongsi pula ilmu yang diperolehinya kepada orang lain dan orang lain itu juga mengamalkannya. Subhanallah.

Masjid, sekolah, sekolah agama, kemudahan untuk pelajar sekolah adalah antara contoh tempat-tempat terbaik untuk kita melabur saham akhirat. Saya serahkan kepada anda untuk fikirakan tempat lain lagi..seperti pusat pendidikan untuk mualaf, pusat pendidikan untuk anak yatim..dan banyak lagi..Subhanallah.

Walaubagaimanapun, tak semestinya bila kita fokuskan sumbangan kepada tempat-tempat ni, kita sampai melupakan saudara-mara kita yang susah. Saya pernah dengar kuliyah feqah oleh Prof. Dato’ Haron Din, keutamaan sedekah yang pertama adalah kepada saudara mara kita dulu, lihat pada adik-beradik kita, ada tak yang susah..lihat pada mak ayah dan datuk nenek kita..susah dan perlu dibantu tak..kemudian lihat pada adik-beradik mak ayah kita dan datuk nenek kita..juga lihat pada anak-anak kita dan cucu-cucu kita. Pertimbangkan sebaiknya.

Pada pandangan saya kita boleh juga aplikasikan konsep saham akhirat pada saudara-mara kita. Contohnya dengan bantu saudara-mara kita yang yatim atau miskin untuk hidup dengan lebih baik, bantu mereka tingkatkan pelajaran, bantu untuk beli bahan-bahan yang dapat meningkatkan amal ibadah mereka..di samping itu juga kita boleh hadiahkan CD kuliyah agama, majalah dan buku berfaedah seperti SOLUSI, Gen-Q, Anis, Asuh dan lain-lain..Hadiahkan al-Quran terjemahan..Sumbangkan buku rujukan untuk saudara-mara yang masih belajar..dan banyak lagi yang kita boleh fikirkan.

Moga bermanfaat.

Mohon teguran dan nasihat atas sebarang perkara yang kurang atau tak tepat dalam artikel saya.

Bersama kita mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Saturday, October 22, 2011

Malu



Bismillah, kali ni nak kongsikan tazkirah ringkas yang saya dengar berkenaan sifat malu.

Kita kena ada sifat malu kepada Allah. Jangan malu pada manusia sahaja. Kalau kita malu pada manusia, bila manusia takda, kita hilang malu. Jika malu pada Allah, di mana-mana sahaja kita akan tetap ada rasa malu tu sebab kita tahu Allah Maha Melihat.

Malu macam mana yang kita patut ada? Iaitu malu melakukan dosa dan maksiat. Malu meninggalkan suruhan Allah dan malu melaksanakan larangan Allah. Contohnya malu untuk membuka aurat, mengumpat, memfitnah..malu untuk meninggalkan solat. Bukan malu untuk melakukan perkara baik dan bukan malu untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Juga bukan malu untuk melakukan sesuatu perkara yang dapat meningkatkan kualiti, kemajuan dan kecemerlangan diri kita (selagi mana kita mematuhi segala perintah dan larangan Allah).

Sebagaimana kita sering diingatkan. Malu itu sebahagian dari iman:

“Iman itu ada tujuh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Sahih Muslim No. 50)
Moga bermanfaat.

Sama-sama kita berusaha mendapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Wednesday, October 19, 2011

Nimat Kesihatan, Usia Muda dan Kehidupan



Beberapa kali saya bekesempatan sembahyang jemaah di masjid yang sama pada waktu yang berbeza. Saya lihat ada seorang pakcik yang bertongkat, sebelah kakinya saya lihat bermasalah. Nampak macam tak berfungsi, ditutup stoking. Samaada itu kaki palsu atau kaki tu sakit. Dari pemerhatian,  sSaya percaya dia asalnya sihat dan kedua-dua belah kakinya berfungsi dengan baik sebelum ni. Dia sembahyang duduk..samaada duduk atas kerusi atau duduk atas karpet masjid dengan sebelah kaki melunjur ke hadapan.

Dalam hati saya terdetik, pakcik ni saya rasa setiap waktu solat dia berjemaah. Rajin betul, walaupun dalam keadaan kakinya begitu.

Teringat saya ada satu lagu Raihan tu..yang isinya diambil dari sebuah hadis. Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara..
  1. Muda sebelum tua
  2. Sihat sebelum sakit
  3. Kaya sebelum miskin
  4. Lapang sebelum sempit
  5. Hidup sebelum mati

Terfikir. Em, saya masih sihat, kaki masih sempurna. Kenapa saya tak boleh rajin berjemaah di masjid sementara masih diberi peluang untuk hidup dengan sihat. Dengan badan yang sihat, anggota yang sempurna..dah tentu lebih mudah untuk lakukannya berbanding jika sakit atau anggota tak sempurna.

Em, saya masih muda kenapa tak gunakan peluang usia muda saya ni untuk banyakkan ibadah. Dalam keadaan badan masih cergas. Kalau dah tua, kadang-kadang ada masalah uzur. Kalau nak solat berjemaah di masjid misalnya, kadangkala kalau sakit uzur datang, dah tak boleh pegi.

“Ah, nantila buat..Aku muda lagi..”

Boleh ka fikir macam tu? Bila terfikir macam tu..Diingatkan dengan satu lagi peringatan di atas..hidup sebelum mati..Em, tau ka sampai bila kita akan dihidupkan. Tau ka bila kita akan mati? Mati tak mengenal usia. Wallahua’lam

Mohon nasihat dan teguran atas apa yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Sama-sama kita cari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Sunday, October 16, 2011

3 Perkara untuk Difikirkan



Bismillah..Assalamualaikum.

Kali ni saya nak kongsikan beberapa perkara yang dapat saya faham dan dapat simpulkan dari kuliyah pendek dari radio ikim.fm, 11 Nov. 2011 (lebih kurang 7.40 pm).

Maaf tak ingat nama ustaz. Katanya dalam hidup ni ada tiga perkara yang kita patut selalu fikirkan.
   
Pertama kita fikirkan tentang ketaatan kita kepada Allah. Contohnya, kita fikirkan berapa banyak ketaatan yang kita dah lakukan hari ni. Contohnya dari sudut mematuhi perintah Allah seperti solat..Bagaimana kualiti solat kita..Dari segi suruhan menutup aurat..Adakah kita benar-benar menutup arat dengan sempurna.. dan lain-lain.

Kedua kita fikirkan tentang maksiat yang kita dah buat. Maksiat seperti kalau lelaki, melihat aurat perempuan, mengumpat, membuat fitnah dan banyak lagi.

Ketiga kita fikirkan tentang sifat diri kita yang Allah tak suka yang kita dah buat. Seperti sifat ujub, riyak, takbur, sombong, buruk sangka dan lain-lain.

Dengan adanya tiga fikiran ni setiap hari, kita akan dapat menilai diri kita sendiri, sejauh mana pencapaian diri kita dari sudut ketaatan kepada Allah, sejauh mana kita meninggalkan larangan Allah dan sejauh sebanyak dan sekerap mana wujudnya sifat yang tidak baik dalam diri kita. Bila kita dah kenalpasti perkara-perkara berkenaan, kita boleh mula merancang strategi, menetapkan azam dan target kita untuk berusaha memperbaiki diri dan menjadi muslim yang lebih baik dari semasa ke semasa. InsyaAllah.

Mohon teguran dan nasihat jika ada yang kurang atau tak tepat.

Semoga bermanfaat.

Sama-sama berusaha mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Thursday, October 13, 2011

Luruskan dan Rapatkan Saf


Bismillah..

Peluang kali ni saya nak gunakan untuk sama-sama memperingati diri dan pembaca berkenaan pentingnya kita usahakan untuk rapatkan dan luruskan saf bila solat berjemaah di masjid. 

Mungkin ada yang tak tahu atau terlupa bahawa meluruskan dan merapatkan saf adalah salah satu perkara penting dalam solat berjemaah. Banyak hadis yang menekankan akan kepentingannya.

Alhamdulillah, usaha kita untuk pergi solat berjemaah dah sangat bagus, tapi apa salahnya jika kita tambah usaha kita tu dan sempurnakan lagi dengan merpatkan dan meluruskan saf.

Saidina Umar sendiri pernah diceritakan menggunakan pedang untuk meluruskan saf jemaah.

Saya cuba rujuk di internet, dan ada beberapa web yang menghuraikan lagi kepentingan meluruskan dan merapatkan saf. Maklumat-maklumat yang diberikan sama macam apa yang saya pernah dengar dan pernah belajar. Berikut link dua web berkenaan.




Sama-sama kita usahakan untuk melurusakan dan merpatkan saf waktu kita bersolat jemaah..InsyaAllah..Sama-sama kita saling memperingati tentang perkara ni.

Bersama mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Monday, October 10, 2011

Perbetulkan Cara Sujud





Bismillah..Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..Salah satu ayat al-quran bermaksud:

"Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."


(Surah al-Ankabut: 45).


Dinyatakan dalam ayat ini bahawa solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Sering ditanya kenapa ada orang bersolat tapi masih melakukan perbuatan yang tak baik.. Antara jawapan yang saya dengar dari ilmuan adalah kerana solat mereka tak sempurna. Antara sebab solat tak sempurna adalah rukun solat tak dijaga dengan baik.

Saya ingin menyentuh berkenaan sujud. Dek kerana seringkali melihat ramai yang solat tidak sempurna sujudnya, saya bimbang akan ditanya di akhirat nanti kenapa saya tahu tapi tak tegur mereka. Jadi saya gunakan peluang di sini untuk memperingati diri saya dan pembaca berkenaan cara sujud yang sempurna. Moga bermanfaat.
Dari apa yang saya pernah belajar, dalam sujud, 7 anggota terlibat..dahi, hidung, tapak tangan, lutut dan jari-jari kaki..saya ikut mazhab syafie.. dari pembacaan saya ini cara sujud sempurna ikut mazhab syafie.

Peluang ni cuma saya nak gunakan untuk menekankan berkenaan kedudukan kaki waktu sujud. 

Dari apa yang saya pernah belajar, hujung jari kaki hendaklah dibengkokkan waktu sujud..Solat kita boleh batal/tidak sah kalau hujung jari ni tak dilipat. Kadang-kadang saya lihat, ada orang sujud sekadar letakkan sahaja kakinya tanpa melipatkan hujung jari.. Sayang sekali jika sepanjang berbelas tahun atau berpuluh tahun kita solat, sujud kita tak dilaksanakan dengan sempurna. Bagi yang mampu hendaklah lipatkan kesemua hujung jari kaki dengan sempurna, bagi yang tak mampu, macam orang yang dah berusia dan susah nak lipat jari kaki, usahakan ikut kemampuan..Berikut gambar kedudukan kaki waktu sujud. Boleh anda rujuk cara yang betul dan cara yang tak betul.



Harap lepas ni kita sama-sama dapat memperbaiki cara kita melaksanakan salah satu rukun solat ni.

Maaf kalau cara saya cakap macam pandai sangat. Sekadar berkongsi apa yang saya pernah dengar dan belajar. Mohon teguran dan nasihat dari mereka yang alim jika ada yang kurang atau tak tepat.


p/s: Ustaz Azhar Idrus ada jawab persoalan ini di link ini.

Moga bermanfaat.

Mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.


Saturday, September 3, 2011

Tadabbur Alam - Pantai



“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka” (Ali-Imran:191-192)
Subhanallah, Alhamdulillah..dapat balik kampung dan berpeluang rehatkan fikiran sambil melihat keindahan alam. Kali ni saya berpeluang berjalan-jalan di tepi pantai di pagi hari. Sambil menikmati keindahan pantai, sama-sama kita tadabbur alam dari keindahan pantai ini. 


Teruskan pembacaan

Saturday, August 27, 2011

Duit Raya-Projek Evolusi Raya



Assalamualaikum,
Bagaimana agaknya Ramadhan kita kali ini? Bagaimana usaha untuk meningkatkan taqwa dan meraih keampunan dosa dari Allah? Bagaimana dengan usaha memperbanyakkan ibadah di 10 malam terakhir Ramadhan? Ramadhan masih tinggal beberapa hari lagi, moga kita tak sia-siakan peluang yang Allah berikan untuk hidup di bulan Ramadhan kali ni dengan memperbanyakkan ibadah.
Dah macam tradisi pulak, tiap kali raya, mesti budak-budak akan dapat duit raya. Macam kita masa kecil-kecil dulu la, seronok bila nak beraya. Selain dapat baju baru, yang paling dinantikan adalah duit raya. Tradisi ni saya rasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia ja. Hukum bagi duit raya? Asal tradisi bagi duit raya?..saya taknak bincangkan di sini. Saya cuma nak kongsikan sikit idea untuk mengevolusikan sikit tradisi bagi duit raya.


Teruskan pembacaan..


Friday, August 5, 2011

Menghayati Ramadhan dalam Kesibukan


Dah empat hari berpuasa. Malam ni dah masuk 5 Ramadhan. Masih mencuba dan berusaha menghayati hakikat sebenar Ramadhan. Berusaha menggunakan sebaiknya peluang dipanjangkan umur sekali lagi untuk singgah di bulan yang penuh berkat ni.
Dalam suasana baru. Baru bekerja, tempat baru..Masih belum benar-benar dapat fokus pada menggunakan sebaik-baiknya tempoh Ramadhan yang dapat ni.


Teruskan pembacaan..

Friday, May 20, 2011

Dalam Kesukaran Ada Keindahan




Subhanallah..Alhamdulillah..hari ini dapat lalui satu pengalaman yang menarik. Sekadar perkongsian pengalaman.
Kisahnya bermula begini. Hari ini pertama kali saya memandu pacuan 4 roda seorang diri dari kebun ke pekan. Tujuannya untuk bersolat jumaat. Dari kebun ke pekan mengambil masa kira-kira 30 minit dengan menggunakan pacuan 4 roda. Kira-kira 7 km daripada jalan tersebut adalah jalan mencabar yang hanya boleh dilalui oleh pacuan 4 roda atau motorsikal sahaja..melalui bukit, tanah merah, tanah berbatu, dan sungai kecil. Sepanjang jalan tersebut ada kalanya akan melalui kebun-kebun orang lain dan ada kalanya melalui sedikit kawasana hutan dan juga jalan dan lorong yang agak tersorok yang tepinya ada gaung dalam.
Segalanya berjalan lancar, hingga waktu saya ingin pulang semula ke kebun.

Teruskan pembacaan..

Thursday, May 19, 2011

Kehidupan Baru di Cameron Highland


Bukit yang ditanam dengan Chinese Lily


Tak pernah terbayang dalam fikiran yang saya akan bekerja di sini. Di Cameron Highland. Semuanya berlaku setelah saya menghadiri satu temuduga. Pada mulanya saya menyangka jika saya dapat jawatan tersebut saya akan ditempatkan kawasan sekitar hulu Selangor, namun saya terkejut bila diberitahu jawatan itu adalah di Cameron Highland dan saya ditawarkan untuk jawatan tersebut. Alhamdulillah. Mungkin ini jawapan untuk doa saya supaya saya mendapat pekerjaan yang terbaik untuk diri saya setelah tamat belajar.

Kali pertama saya ke sini adalah kira-kira 13 tahun dahulu. Kemudian saya tak pernah lagi menjejakkan kaki ke sini hinggalah baru-baru ini bila saya datang ke sini untuk mencari tempat tinggal bagi persediaan untuk saya bekerja di sini. Agak sukar untuk mencari tempat tinggal seperti bilik sewa atau rumah sewa di sini kerana disebabkan tempat ini adalah tempat perlancongan, kebanyakan rumah atau bilik disewakan secara harian atau dibuat homestay. Jika disewa bulanan pula, sewanya agak tinggi hinggakan sewa apartmen sahaja mencecah RM 1000. Saya perlu mencari bilik kerana setakat ini saya seorang 'berseorangan' di sini. Akhirnya saya dapat satu bilik untuk disewa sementara bagi bulan pertama sebelum saya mencari bilik lain untuk bulan seterusnya. Sewanya? RM400 sebulan..agak mahal..terpaksala. Saya sewa di hotel. Bilik ni tak silap saya disewa harian dengan harga RM 20 sehari untuk seorang bagi hari biasa.

Cameron Highland..Apa yang ada di Cameron Highland?

Teruskan pembacaan..

Anda juga mungkin meminati..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...