Subhanallah..Alhamdulillah..hari ini dapat lalui satu pengalaman yang menarik. Sekadar perkongsian pengalaman.
Kisahnya bermula begini. Hari ini pertama kali saya memandu pacuan 4 roda seorang diri dari kebun ke pekan. Tujuannya untuk bersolat jumaat. Dari kebun ke pekan mengambil masa kira-kira 30 minit dengan menggunakan pacuan 4 roda. Kira-kira 7 km daripada jalan tersebut adalah jalan mencabar yang hanya boleh dilalui oleh pacuan 4 roda atau motorsikal sahaja..melalui bukit, tanah merah, tanah berbatu, dan sungai kecil. Sepanjang jalan tersebut ada kalanya akan melalui kebun-kebun orang lain dan ada kalanya melalui sedikit kawasana hutan dan juga jalan dan lorong yang agak tersorok yang tepinya ada gaung dalam.
Hujan. Mulanya hanya renyai-renyai, namun bila saya dah hampir separuh jalan di kawasan jalan tanah mencabar tadi, hujan menjadi sangat lebat. Jarak pemandangan sangat terhad, jalan kecil yang hanya membenarkan satu kenderaan melaluinya dalam satu masa, menyebabkan saya perlu lebih berhati-hati. Terpaksa lebih perlahankan kenderaan bimbang jika tiba-tiba ada kenderaan datang dari depan. Jalan yang basah mungkin agak licin terutam di kawasan berbatu. Saya perlu sampai segera ke kebun dan tak boleh terperangkap di tengah jalan. Keadaan saya yang berseorangan tak menjamin keselamatan saya untuk terperangkap di tengah jalan berhutan itu. Air mengalir laju di sesetengah jalan. Salah satu jalan berlumpur tebal memesongkan kenderaan saya hampir 30 darjah dari laluan asal. Walau apa jua yang saya perlu tempuhi, saya yakin akan mampu sampai ke kebun dengan selamat. Namun saya perlu berhati-hati.
Akhirnya saya tiba di satu anak sungai sebelum sampai ke kebun. Memang perlu melalui anak sungai ini untuk ke sana, tapi hujan lebat menyebabkan air coklat seperti teh pekat itu mengalir dengan sangat deras dan paras airnya juga lebih tinggi dari biasa. Tak jauh lagi jarak dari sungai tu ke kebun. Kalau naik kenderaan, selepas mendaki bukit curam, lebih kurang 5-10 minit sampai. Mulanya saya mahu menyeberang juga sungai itu terutama selepas memikirkan kenderaan yang saya pandu adalah pacuan 4 roda dan cirinya yang besar dan berat sudah tentu mampu menyeberang dengan baik. Namun saya batalkan niat saya dan undur semula kenderaan saya, bimbang kederasan arusnya tidak dapat dijangka. Tambahan pula, jika terjadi apa-apa pada saya, agak sukar untuk mendapatkan bantuan sebab tak dapat talian telefon di kawasan tu. Hanya boleh dapat talian rangkaian maxis satu ke dua bar di sesetengah tempat.
Hujan sangat lebat. Saya hanya mampu menunggu dalam kenderaan berseorangan. Menunggu arus sungai itu reda dan perlahan seperti biasadan menanti paras arus sungai menjadi lebih rendah. Hujan tak menunjukkan sebarang tanda mahu berhenti. Air sungai pun seolah-olah akan ambil masa lebih lama lagi untuk surut. Saya akur. Terpaksa menanti dengan sabat. Dalam penantian tu, saya lelapkan mata sekejap. ^_^
Bermacam-macam kebarangkalian yang saya fikirkan dan bermacam persediaan yang saya cuba fikirkan untuk menghadapi kebarangkalian-kebarangkalian itu. Bagaimana jika saya perlu bermalam di sini. Bagaimana jika saya terperangkap seorang di sini. Bagaimana jika tiba-tiba tanah tempat saya berhentikan kenderaan itu runtuh. Dan banyak lagi..Kalau terperangkap di situ, suhu malamnya sangat sejuk. Perut pun dah lapar. Macammanya nak menghadapi suhuh sejuk jika badan tak cukup tenaga, ditambah dengan kuantiti lemak yang tak mencukupi..
Waktu tu dah dalam pukul 3 lebih. Lepas lelapkan mata seketika, saya cuba lihat sungai keadaan sungai di depan. Terkejut. Ya Allah..di depan, terbaring sebatang pokok mati yang besar merentangi sungai tu. Alamak, saya memang tak boleh meneruskan perjalanan walaupun aras air sungai turun. Subhanallah, Alhamdulillah..Saya tak pasti ia baru tumbang atau ia dibawa arus dari atas bukit. Andai di bawa arus, ternyata arus sungai itu terlalu kuat. Jika saya menyeberang sungai itu tadi dah tentu jangkaan buruk saya akan berlaku. Jika ia baru tumbang, jaraknya agak dekat dengan tempat mula-mula berada untuk menyeberang sungai..Syukurlah kedudukan saya tak mengizinkan ia tumbang ke atas saya. Semuanya dengan izin Allah dan atas perancangan Allah yang penuh teliti dan hikmah.
Banyak hikmah Allah tak bagi saya menyeberang sungai itu sebelum ni. Jika berjaya menyeberang sungai tu sebelum ni, dah tentu saya dan rakan-rakan di kebun tak dapat pulang semula ke pekan selepas itu dan terperangkap di kebun. Saya buat keputusan untuk berjalan kaki ke kebun, melalui jalan yang berbukit tinggi. Penat betul. Syukurlah saya tak teruskan perjalanan dengan kenderaan tadi, rupa-rupanya ada beberapa tanah runtuh di kawasan jalan untuk ke atas..juga ada pokok tumbang.
Pokok kayu yang merentangi anak sungai. Waktu hujan lebat, paras air hampir ke kawasan dua orang lelaki ini berdiri
Selepas berjumpa supervisor saya, kami buat keputusan untuk balik awal. Dari maklumat, kemungkinan ada beberapa tanah runtuh lagi berlaku di jalan-jalan lain yang saya berjaya lalui waktu hujan sebelum lebat tadi. Subhanallah, Alhamdulillah..benar..banyak tanah runtuh lagi berlaku. Jika saya pulang lewat sedikit tadi, mungkin sesuatu yang tak diingini boleh berlaku. Lepas ambil kenderaan di sungai, kami hanya dapat menggunakannya untuk perjalanan kira-kira 10 minit sahaja. Tanah runtuh menyebabkan kami terpaksan berjalan kaki untuk keluar dari kawasan kebun-kebun dan bukit-bukit ini ke jalan besar. Kami seolah-olah melakukan aktiviti jungle tracking. Terlupa rasa penat kami berjalan dek seronok melihat keindahan alam di sekeliling kami. Mana taknya, sebahagian kawasan masih lagi hutan. Kiri kanan jalan boleh lihat tumbuhan-tumbuhan dan haiwan menarik yang mungkin hanya boleh dilihat di kawasan tanah tinggi atau mungkin di Cameron Highland sahaja.
Kami berjalan kaki kira-kira sejam lebih. Syukur pada Allah kerana masih memanjangkan umur kami dan menyelamatkan perjalanan kami. Maha Suci Allah yang merancang dengan sangat baik dan penuh hikmah kejadian hari ini.
Izinkan saya kongsikan sedikit gambar yang sempat saya rakamkan dalam perjalanan kami.
Orkid
No comments:
Post a Comment