Monday, October 31, 2011

Hayati Kehidupan Islam Dalam Memimpin


Bismillah..

Kali ni saya nak cakap sikit berkenaan tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Sebagaimana yang kita ketahui, setiap orang akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Kita semua adalah pemimpin, paling tidak, kita adalah pemimpin kepada diri kita.


“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang ia pimpin”. (Mutafaq ‘alaih)


Pada pendapat saya, apabila kita berpeluang samaada dengan rela atau terpaksa, untuk menjadi pemimpin, kita patut guna peluang tu sebaiknya untuk mengajak orang-orang yang kita pimpin untuk menghayati kehidupan sebagai seorang muslim dengan sebaik-baiknya. Tak kira la kita pemimpin sebuah organisasi kecil atau besar. Pemimpin syarikat atau pemimpin rumah tangga. Bila orang lain menjadikan diri kita sebagai tempat rujuk dan tempat menerima arahan, maksudnya kita pemimpin la tu.

Apa kata, bila kita jadi pemimpin kita cuba praktikkan perkara macam menjaga solat, menjaga batas pergaulan, menjaga aktiviti yang kita laksanakan supaya tak bercanggah dengan syarak, memastikan aurat terjaga dalam setiap program, memastikan maksiat tak berlaku dalam program dan aktiviti kita.

Contoh, bila nak buat meeting, dah hampir waktu solat, apa salahnya tangguhkan sikit waktu meeting bermula ke waktu lepas solat. 

Bila nak buat baju seragam atau baju korporat, usaha untuk cari design terbaik bila nak buat baju untuk wanita muslim pakai supaya aurat dan bentuk badan tak terlihat. 

Nak buat aktiviti sukan..tak bercampur dalam satu permainan lelaki dan perempuan bukan mahram. 

Dan banyak lagi..

Pada pendapat saya, bila kita merupakan seorang ketua,dah tentu orang lain samaada rela atau terpaksa akan ikut juga arahan dan cara yang kita buat. 

Kalau orang bawahan kita majoritinya muslim, dah tentu mereka sepatutnya faham tindakan kita. 

Mungkin kita akan risau ada orang tak suka dengan cara kita, cakap-cakap kat belakang..tapi mana satu yang anda lebih suka? Kita lebih suka apa yang orang suka atau apa yang Allah suka?

Dah tentu, sebagai pemimpin..perlu laksanakan perkara-perkara ini dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah. Itu dah tentu satu cabaran untuk seseorang pemimpin, tapi sekurang-kurangnya setiap dari kita perlu tanam azam dan ada usaha untuk lakukan perkara-perkara seperti ini.

Tak boleh ambil ringan perkara ni dan tak boleh lepas tangan..sebab kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat berkenaan apa yang kita pimpin.

Macam mana nak jawab soalan di sana nanti bila ditanya:

"Kenapa kamu tak benarkan orang bawahan kamu solat di awal waktu dan membiarkan mereka melambatkan solat disebabkan program yang kamu rancangkan waktu nak masuk waktu solat?"

"Kenapa kamu biarkan maksiat itu berlaku dalam program kamu sedangkan kamu ada kuasa untuk mengubah aktiviti-aktiviti program itu?"

"Kenapa kamu tak arahkan bas rombongan yang kamu pimpin untuk berhenti solat?"

Ya Allah..berat tanggungjawab memimpin, tapi dengan memimpin, dapat peluang banyak juga untuk menyebarkan dan menghayati kehidupan Islam..InsyaAllah.

Semoga bermanfaat.

Mohon teguran dan nasihat atas perkara yang kurang atau tak tepat.

Sama-sama kita berusaha untuk mendapatkan redha Ilahi.

Afiq Tj.


Friday, October 28, 2011

Taubat..Jika Gagal..Terus berusaha..Tak Putus Asa






Suatu hari seorang penceramah terkenal membuka seminarnya dengan cara yang unik.
Sambil memegang wang RM100, dia bertanya kepada hadirin,

“Siapa yang nak duit ini?”.

Kelihatan ramai penonton angkat tangan menunjukkan ramai yang minat.

“Saya akan berikan ini kepada salah seorang dari anda , tapi sebelumnya perkenankanlah saya buat ni dulu.”


Dia berdiri mendekati hadirin. Wang itu diramas-ramas dengan tangannya sehingga renyuk.
Lalu bertanya lagi,

“Siapa yang masih mahu duit ini?”
Jumlah tangan yang mengangkat tak berkurang.

“Baiklah,” jawabnya,

“Apa jadinya bila saya melakukan ini?”

Ujarnya sambil menjatuhkan wang itu ke lantai & melenyek-lenyekkan dgn kasutnya. Meski masih utuh, kini wang itu jadi amat kotor,lusuh dan amat renyuk.

"OK, sekarang masih ada yang berminat?”.
Tangan-tangan yang angkat ke atas masih tetap banyak.

Hadirin sekalian, Anda baru saja menghadapi sebuah pelajaran penting. Apapun yang terjadi dengan wang ini, anda masih berminat kerana apa yang saya lakukan tidak akan mengurangi nilainya.

Biarpun renyuk,lusuh dan kotor, wang ini tetap bernilai RM100 juga..
Dalam kehidupan ini, kita pernah beberapa kali terjatuh, terkoyak, dan dipenuhi kotoran akibat keputusan yang kita buat & situasi yang menerpa kita dalam sesuatu keadaan dahulu.

Dalam keadaan seperti itu, kita merasa tak berharga, tak bererti.
Padahal apapun yang telah & akan terjadi, anda tidak pernah akan kehilangan nilai di mata mereka yang mencintai anda, lebih-lebih lagi di mata Tuhan.

Jadi walau bagaimana kotor pun anda, kita masih mempunyai nilai yang tersendiri. Sayangilah diri anda, bertaubat jika membuat dosa, terus berusaha jika gagal kerana diri kita sebenarnya amat berharga.
Dan jangan terlupa kita adalah makhluk Allah yang di pandang sama, hanya iman dan takwa yang membezakan kita.



Perkongsian dari facebook

Tuesday, October 25, 2011

Dah sedekah?



Bismillah..Assalamualaikum.

Kali ni saya nak kongsikan berkenaan sedekah (termasuk sumbangan dan wakaf). Sekadar untuk ingatan bersama.

Sepertimana kita ketahui, bila kita mati, kita dah tak berpeluang untuk laksanakan amal ibadah lagi. Walaubagaimanapun ada tiga perkara yang masih lagi dapat membantu kita dalam meningkatkan ganjaran kebaikan yang kita dapat. Seperti hadis yang sering kita dengar:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Saya nak sentuh di sini tentang sedekah jariah. Sedekah jariah merupakan salah satu saham besar untuk kita di alam kubur dan di akhirat.

Bayangkan bila kita sedekah untuk pembinaan satu masjid, selagi masjid itu digunakan orang untuk beribadah kepada Allah, selagi itu kita akan dapat pahala, walaupun kita telah bertahun-tahun mati. 

Bayangkan pula bila kita sedekah untuk pembinaan sekolah yang menjadi tempat untuk pelajar-pelajar menuntut ilmu yang baik..Kita akan mendapat pahala setiap kali sekolah itu digunakan untuk menjadi tempat mengajar ilmu. Kita juga akan dapat pahala setiap kali pelajar yang menuntut ilmu di situ mengamalkan ilmu yang mereka dapat ketika belajar di situ. Kita juga akan mendapat pahala berterusan apabila pelajar itu mengajarkan dan berkongsi pula ilmu yang diperolehinya kepada orang lain dan orang lain itu juga mengamalkannya. Subhanallah.

Masjid, sekolah, sekolah agama, kemudahan untuk pelajar sekolah adalah antara contoh tempat-tempat terbaik untuk kita melabur saham akhirat. Saya serahkan kepada anda untuk fikirakan tempat lain lagi..seperti pusat pendidikan untuk mualaf, pusat pendidikan untuk anak yatim..dan banyak lagi..Subhanallah.

Walaubagaimanapun, tak semestinya bila kita fokuskan sumbangan kepada tempat-tempat ni, kita sampai melupakan saudara-mara kita yang susah. Saya pernah dengar kuliyah feqah oleh Prof. Dato’ Haron Din, keutamaan sedekah yang pertama adalah kepada saudara mara kita dulu, lihat pada adik-beradik kita, ada tak yang susah..lihat pada mak ayah dan datuk nenek kita..susah dan perlu dibantu tak..kemudian lihat pada adik-beradik mak ayah kita dan datuk nenek kita..juga lihat pada anak-anak kita dan cucu-cucu kita. Pertimbangkan sebaiknya.

Pada pandangan saya kita boleh juga aplikasikan konsep saham akhirat pada saudara-mara kita. Contohnya dengan bantu saudara-mara kita yang yatim atau miskin untuk hidup dengan lebih baik, bantu mereka tingkatkan pelajaran, bantu untuk beli bahan-bahan yang dapat meningkatkan amal ibadah mereka..di samping itu juga kita boleh hadiahkan CD kuliyah agama, majalah dan buku berfaedah seperti SOLUSI, Gen-Q, Anis, Asuh dan lain-lain..Hadiahkan al-Quran terjemahan..Sumbangkan buku rujukan untuk saudara-mara yang masih belajar..dan banyak lagi yang kita boleh fikirkan.

Moga bermanfaat.

Mohon teguran dan nasihat atas sebarang perkara yang kurang atau tak tepat dalam artikel saya.

Bersama kita mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Saturday, October 22, 2011

Malu



Bismillah, kali ni nak kongsikan tazkirah ringkas yang saya dengar berkenaan sifat malu.

Kita kena ada sifat malu kepada Allah. Jangan malu pada manusia sahaja. Kalau kita malu pada manusia, bila manusia takda, kita hilang malu. Jika malu pada Allah, di mana-mana sahaja kita akan tetap ada rasa malu tu sebab kita tahu Allah Maha Melihat.

Malu macam mana yang kita patut ada? Iaitu malu melakukan dosa dan maksiat. Malu meninggalkan suruhan Allah dan malu melaksanakan larangan Allah. Contohnya malu untuk membuka aurat, mengumpat, memfitnah..malu untuk meninggalkan solat. Bukan malu untuk melakukan perkara baik dan bukan malu untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Juga bukan malu untuk melakukan sesuatu perkara yang dapat meningkatkan kualiti, kemajuan dan kecemerlangan diri kita (selagi mana kita mematuhi segala perintah dan larangan Allah).

Sebagaimana kita sering diingatkan. Malu itu sebahagian dari iman:

“Iman itu ada tujuh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Sahih Muslim No. 50)
Moga bermanfaat.

Sama-sama kita berusaha mendapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Wednesday, October 19, 2011

Nimat Kesihatan, Usia Muda dan Kehidupan



Beberapa kali saya bekesempatan sembahyang jemaah di masjid yang sama pada waktu yang berbeza. Saya lihat ada seorang pakcik yang bertongkat, sebelah kakinya saya lihat bermasalah. Nampak macam tak berfungsi, ditutup stoking. Samaada itu kaki palsu atau kaki tu sakit. Dari pemerhatian,  sSaya percaya dia asalnya sihat dan kedua-dua belah kakinya berfungsi dengan baik sebelum ni. Dia sembahyang duduk..samaada duduk atas kerusi atau duduk atas karpet masjid dengan sebelah kaki melunjur ke hadapan.

Dalam hati saya terdetik, pakcik ni saya rasa setiap waktu solat dia berjemaah. Rajin betul, walaupun dalam keadaan kakinya begitu.

Teringat saya ada satu lagu Raihan tu..yang isinya diambil dari sebuah hadis. Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara..
  1. Muda sebelum tua
  2. Sihat sebelum sakit
  3. Kaya sebelum miskin
  4. Lapang sebelum sempit
  5. Hidup sebelum mati

Terfikir. Em, saya masih sihat, kaki masih sempurna. Kenapa saya tak boleh rajin berjemaah di masjid sementara masih diberi peluang untuk hidup dengan sihat. Dengan badan yang sihat, anggota yang sempurna..dah tentu lebih mudah untuk lakukannya berbanding jika sakit atau anggota tak sempurna.

Em, saya masih muda kenapa tak gunakan peluang usia muda saya ni untuk banyakkan ibadah. Dalam keadaan badan masih cergas. Kalau dah tua, kadang-kadang ada masalah uzur. Kalau nak solat berjemaah di masjid misalnya, kadangkala kalau sakit uzur datang, dah tak boleh pegi.

“Ah, nantila buat..Aku muda lagi..”

Boleh ka fikir macam tu? Bila terfikir macam tu..Diingatkan dengan satu lagi peringatan di atas..hidup sebelum mati..Em, tau ka sampai bila kita akan dihidupkan. Tau ka bila kita akan mati? Mati tak mengenal usia. Wallahua’lam

Mohon nasihat dan teguran atas apa yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Sama-sama kita cari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Sunday, October 16, 2011

3 Perkara untuk Difikirkan



Bismillah..Assalamualaikum.

Kali ni saya nak kongsikan beberapa perkara yang dapat saya faham dan dapat simpulkan dari kuliyah pendek dari radio ikim.fm, 11 Nov. 2011 (lebih kurang 7.40 pm).

Maaf tak ingat nama ustaz. Katanya dalam hidup ni ada tiga perkara yang kita patut selalu fikirkan.
   
Pertama kita fikirkan tentang ketaatan kita kepada Allah. Contohnya, kita fikirkan berapa banyak ketaatan yang kita dah lakukan hari ni. Contohnya dari sudut mematuhi perintah Allah seperti solat..Bagaimana kualiti solat kita..Dari segi suruhan menutup aurat..Adakah kita benar-benar menutup arat dengan sempurna.. dan lain-lain.

Kedua kita fikirkan tentang maksiat yang kita dah buat. Maksiat seperti kalau lelaki, melihat aurat perempuan, mengumpat, membuat fitnah dan banyak lagi.

Ketiga kita fikirkan tentang sifat diri kita yang Allah tak suka yang kita dah buat. Seperti sifat ujub, riyak, takbur, sombong, buruk sangka dan lain-lain.

Dengan adanya tiga fikiran ni setiap hari, kita akan dapat menilai diri kita sendiri, sejauh mana pencapaian diri kita dari sudut ketaatan kepada Allah, sejauh mana kita meninggalkan larangan Allah dan sejauh sebanyak dan sekerap mana wujudnya sifat yang tidak baik dalam diri kita. Bila kita dah kenalpasti perkara-perkara berkenaan, kita boleh mula merancang strategi, menetapkan azam dan target kita untuk berusaha memperbaiki diri dan menjadi muslim yang lebih baik dari semasa ke semasa. InsyaAllah.

Mohon teguran dan nasihat jika ada yang kurang atau tak tepat.

Semoga bermanfaat.

Sama-sama berusaha mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Thursday, October 13, 2011

Luruskan dan Rapatkan Saf


Bismillah..

Peluang kali ni saya nak gunakan untuk sama-sama memperingati diri dan pembaca berkenaan pentingnya kita usahakan untuk rapatkan dan luruskan saf bila solat berjemaah di masjid. 

Mungkin ada yang tak tahu atau terlupa bahawa meluruskan dan merapatkan saf adalah salah satu perkara penting dalam solat berjemaah. Banyak hadis yang menekankan akan kepentingannya.

Alhamdulillah, usaha kita untuk pergi solat berjemaah dah sangat bagus, tapi apa salahnya jika kita tambah usaha kita tu dan sempurnakan lagi dengan merpatkan dan meluruskan saf.

Saidina Umar sendiri pernah diceritakan menggunakan pedang untuk meluruskan saf jemaah.

Saya cuba rujuk di internet, dan ada beberapa web yang menghuraikan lagi kepentingan meluruskan dan merapatkan saf. Maklumat-maklumat yang diberikan sama macam apa yang saya pernah dengar dan pernah belajar. Berikut link dua web berkenaan.




Sama-sama kita usahakan untuk melurusakan dan merpatkan saf waktu kita bersolat jemaah..InsyaAllah..Sama-sama kita saling memperingati tentang perkara ni.

Bersama mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Monday, October 10, 2011

Perbetulkan Cara Sujud





Bismillah..Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..Salah satu ayat al-quran bermaksud:

"Bacalah serta ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan."


(Surah al-Ankabut: 45).


Dinyatakan dalam ayat ini bahawa solat itu dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Sering ditanya kenapa ada orang bersolat tapi masih melakukan perbuatan yang tak baik.. Antara jawapan yang saya dengar dari ilmuan adalah kerana solat mereka tak sempurna. Antara sebab solat tak sempurna adalah rukun solat tak dijaga dengan baik.

Saya ingin menyentuh berkenaan sujud. Dek kerana seringkali melihat ramai yang solat tidak sempurna sujudnya, saya bimbang akan ditanya di akhirat nanti kenapa saya tahu tapi tak tegur mereka. Jadi saya gunakan peluang di sini untuk memperingati diri saya dan pembaca berkenaan cara sujud yang sempurna. Moga bermanfaat.
Dari apa yang saya pernah belajar, dalam sujud, 7 anggota terlibat..dahi, hidung, tapak tangan, lutut dan jari-jari kaki..saya ikut mazhab syafie.. dari pembacaan saya ini cara sujud sempurna ikut mazhab syafie.

Peluang ni cuma saya nak gunakan untuk menekankan berkenaan kedudukan kaki waktu sujud. 

Dari apa yang saya pernah belajar, hujung jari kaki hendaklah dibengkokkan waktu sujud..Solat kita boleh batal/tidak sah kalau hujung jari ni tak dilipat. Kadang-kadang saya lihat, ada orang sujud sekadar letakkan sahaja kakinya tanpa melipatkan hujung jari.. Sayang sekali jika sepanjang berbelas tahun atau berpuluh tahun kita solat, sujud kita tak dilaksanakan dengan sempurna. Bagi yang mampu hendaklah lipatkan kesemua hujung jari kaki dengan sempurna, bagi yang tak mampu, macam orang yang dah berusia dan susah nak lipat jari kaki, usahakan ikut kemampuan..Berikut gambar kedudukan kaki waktu sujud. Boleh anda rujuk cara yang betul dan cara yang tak betul.



Harap lepas ni kita sama-sama dapat memperbaiki cara kita melaksanakan salah satu rukun solat ni.

Maaf kalau cara saya cakap macam pandai sangat. Sekadar berkongsi apa yang saya pernah dengar dan belajar. Mohon teguran dan nasihat dari mereka yang alim jika ada yang kurang atau tak tepat.


p/s: Ustaz Azhar Idrus ada jawab persoalan ini di link ini.

Moga bermanfaat.

Mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.


Anda juga mungkin meminati..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...