Sunday, January 30, 2011

Pengalaman Travel Sarawak-Brunei-Sabah Yang Tidak Akan Dilupakan Seumur Hidup




Sekadar berkongsi pengalaman yang tak dapat dilupakan..semoga bermanfaat untuk pengetahuan tambahan..



Tanggal 2hb Disember 2008, saya dan lapan orang kawan-kawan gunakan masa cuti untuk travel dari Kota Samarahan(Universiti Malaysia Sarawak) ke Sabah, melalui Brunei..naik kereta. Kami pergi dengan dua buah kereta Perodua Viva..Kami semua masa tu pelajar UNIMAS tahun tiga, dua orang berasal dari Sarawak,yang lain semua berasal dari Semenanjung Malaysia. Dua orang ja yang pernah pergi Brunei sebelum ni. Diorang naik motor..dua-dua orang Semenanjung, termasuk komander trip kitorang. Tapi dia tak pernah lagi pergi Sabah melalui Brunei..Jadi, kami semua pertama kali travel macam ni.



Perjalanan tu memang sangat jauh..Negeri Sarawak sahaja pun dah sangat luas. Kalau di lihat dalam peta, luas negeri Sarawak dah hampir sama dengan luas Semenanjung Malaysia. Petang 2 Disember 2008, dalam pukul 4 kami bertolak dari Kota Samarahan. Untuk perjalanan merentasi Sarawak, dari Kota Samarahan kami perlu melalui Sri Aman, Sibu dan Bintulu untuk sampai ke Miri. Sebelum masuk sempadan Brunei di Miri. Dalam 13 jam juga nak smpai sana, tu pun bawa kereta laju dan berhenti beberapa kali untuk rehat dan sejukkan enjin kereta.



Wah..baru saya tau jauhnya perjalanan nak pergi ke daerah-daerah dalam Sarawak ni..Memang penat la kawan sekelas saya yang tinggal di Bintulu waktu tu, untuk balik rumah ikut jalan darat. Keadaan jalan pula agak mencabar dan menakutkan. menakutkan tu mungkin sebab perjalanan kami malam, jadi jalan di sesetengah tempat agak gelap dan sunyi. Patut dia biasanya balik rumah naik kapal terbang..Emm..Kami sampai Sri Aman dalam pukul 8 lebih, solat maghrib dan isyak di sana secara jamak taakhir. Kemudian ada berhenti di Sibu dan Bintulu, tapi tak ingat pukul berapa kami berhenti di tempat-tempat ni..Kami smpai Miri dalam pukul 4 pagi..mungkin lewat sikit sampai sebab masa nak smpai Miri tu minyak kereta nak habis, jadi terpaksa bawa kereta perlahan..sebelum tu memang laju kami drive..Nak kata laju sangat tu tak la..dalam 120 km/j ja..huhu..Itu pertama kali saya drive jarak jauh dan waktu malam. Pengalaman ni sangat berguna untuk saya dari segi menambah kemahiran memandu.hehe..



Ok, sebab kami tak dapat buat pas berkumpulan di Pejabat Imigresen Kuching sebab ramai orang di sana dan akan mengambil masa lam, kami rancang untuk buat pas tu di Pejabat Imigresen Miri. Di Kuching tiga hari baru boleh siap, di Miri boleh berbincang dan minta budi bicara pegawai di sana untuk minta disiapkan pada hari yangg sama. Berbincang dengan pegawai di sana..Lagipun di sana dah dekat dengan sempadan nak masuk Brunei, dan orang datang Pejabat Imigresen Miri pun tak seramai di Pejabat Imigresen Kuching.





Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa nak kena masuk Brunei untuk ke Sabah dari Sarawak? Sebabnya, setakat ni kalau nak pergi ke Sabah dari Sarawak, ikut jalan darat, kita kena 'limpas'/melintasi Brunei sebab tiada lagi jalan raya untuk ke Sabah dari Sarawak yang tak perlu melalui Brunei..Jalan hutan ada la. Redah la hutan tebal tu jalan kaki atau naik gajah.hehe..hehe..



Wah..jalan raya di Sarawak best..kebanyakan jalan lurus dan besar.. di sini tiada highway..atau jalan-jalan yang perlu bayar tol secara rasmi. Emm, jalan dari Samarahan ke Sibu memang elok..Cuma jalan dari Sibu ke Miri agak teruk, banyak lubang dan tak rata. Mungkin sebab kami ikut jalan lama dan bukan lagi satu jalan. Lagi satu tu jalan baru (coast road), tapi orang kata jalan tu tak berapa selamat. Ada orang kena rompak di jalan tu. Jalan lama ni di waktu malam dan awal pagi agak sunyi dan menakutkan..Syukur kami selamat.



Perjalanan di Sarawak pada waktu malam atau awal pagi pada pendapat saya lebih selamat berbanding di Sabah. Buat pengetahuan, waktu tu keluarga saya menetap di Sabah untuk beberapa tahun atas urusan kerja. Di Sabah biasanya orang tak jalan waktu malam atau awal-awl pagi macam pukul 3, 4 pagi macam tu.Kalau jalan beramai-ramai macam naik bas tu, adala. Em, agak bahaya sebab keadaan jalan yang sangat sunyi, gelap, jalan kadang-kadang rosak, lepastu, biasanya jarak antara satu kampung ke satu kampung lain di sepanjang jalan di Sabah agak jauh..Di Sarawak, terutama kawasan jalan Samarahan ke Sibu tak macam tu. Di Sabah ada lagi banyak pendatang asing terutama dari Filipina, berbanding di Sarawak. Geng perompak pun banyak(Sekadar pendapat saya dari pengetahuan cetek saya sekarang ni la. Maaf kalau silap). Em, dari cerita-cerita orang, kena berhati-hati kalau jalan malam-malam di beberapa tempat di Sabah dan di jalan Bintulu-Miri, di Sarawak (coast road) sebab ada kebarangkalian kereta ditahan perompak bersenjatakan parang..



Ok, dipendekkan cerita, dapat juga kami siapkan pas untuk melalui Brunei pada hari yang sama kami buat pas tu di Pejabat Imigresen Miri. Petang tu dalam pukul 4 lebih kami lintas sempadan Miri-Brunei dan masuk Brunei. Di Brunei kami tak pergi sampai Bandar Sri Begawan, cuma lalu wilayah-wilayah tepi berdekatan dengan semapadan tadi. 'Terkapai-kapai' juga kami kat dalam Brunei tu untuk cari jalan nak pergi ke satu sempadan lagi..nasib baik Brunei dalam kawasan rumpun Melayu juga. jadi mereka guna Bahasa Melayu juga,walaupun Bahasa Melayu mereka agak berbeza dari kita. Agak susah juga nak faham. Mungkin dalam Brunei pun mempunyai loghat bahasa yang berbeza, sebab tengok kawan-kawan Brunei kat fb cakap Bahasa Melayu macam lebih mudah untuk di faham. huhu..Minyak untuk kenderaan yang datang dari luar Brunei agak mahal..waktu tu minyak untuk kenderaan dari luar Brunei hanya boleh dibeli di stesen minyak berdekatan dengan sempadan sahaja. Di kwasan dalam Brunei, kenderaan dari luar Brunei tak boleh beli minyak. Kalau sesat dalam Brunei tu, kemudia habis minyak kat dalam kawasan Brunei, memang susah la kan..haha..nilai matawang Brunei agak tinggi. Kami kalau boleh taknak terperangkap kat dalam Brunei, taknak bermalam kat dalam Brunei. Takut lari bajet sebab kos mahal..Masa tu 1 Ringgit Brunei sama dengan RM2.70 lebih. Tinggi lagi dari kadar matawang Singapura masa tu, iaitu RM2.30 lebih bagi 1 dolar Sinagapura. Boleh tahan besar juga la rupanya Brunei, dari wilayah kawasan kami lalui tu nak ke Bandar Sri Begawan jarak dia lebih kurang 100km kalau berpandukan jarak yang ditulis di papan tanda.





Setakat orang Brunei yang kami jumpa, mereka layan tetamu dengan baik..mereka belanja kami makan..hehe..jimat duit kami. Nak bayar sendiri mesti mahal dan lari bajet. Maklumla kami ni kan pelajar ja masa tu. Pada pendapat saya, Brunei kuat amalkan prinsip Islam..Bagus. Waktu kami berada di dalam kawasan Brunei tu, semua siaran radio memainkan lagu-lagu nasyid, lagu berunsur kerohanian dan ketuhanan..Em, mungkin sebab masa tu wktu maghrb..Lepastu ada satu siarn radio khas yang hanya siarkan bacaan al-Quran sepanjang masa tanpa henti..Ok, la. tak payah pakai kaset, CD, atau MP3 kalau nak dengar bacaan ayat-ayat suci al-quran. Waktu masuk waktu mahgrib, kedengaran laungan azan hampir serentak di kawasan sekitar dan di radio..Semua radio siarkan laungan azan yang sama termasuk radio berbahasa cina. Rumah di wilayah yang kami lalui hampir semua ada tiang-tiang yang tinggi..tak pasti samaada itu seni pertukangan mereka atau nak elak banjir..sebab rumah yang diperbuat dari batu pun mempunyai ciri yang sama juga. Keadaan rumah macam ni boleh juga dilihat di beberapa rumah di perkampungan peneroka Felda di Lahad Datu. Di Felda Sahabat. Em, kereta yang orang di Brunei gunakan mahal-mahal. Ada satu rumah tu ada sangat banbyak kereta. Di setiap rumah minimum ada dua kereta (Kat Malaysia pun sekarang dah macam ni kan keadaanya)..Di sana kebanyakan jalan adalah lebuhraya..Tempat parking kereta yang biasa-biasa, tepi jalan, tengah-tengah malam kena bayar.



Dari Sarawak nak ke Sabah melalui Brunei, kami perlu melalui lima sempadan..Mula-mula sempadan Miri-Brunei; kemudian Brunei- Limbang, Sarawak; Limbang -Brunei sekali lagi; Brunei- Lawas, Sarawak; dan akhir sekali Lawas, Sarawak - Beufort, Sabah.Urursan di kastam untuk setiap sempadan dalam 20 minit kalau tak banyak kenderaan. Kalau nak raya, kenderaan sangat banyak dan perlu beratur sangat panjang.



Sepanjang perjalanan dari Kota Samarahan ke Brunei dan Sabah, cuaca sering hujan. Rasa agak penat dan mengantuk. Em, kami sampai di Kota Kinabalu, Sabah dalam pukul 2 pagi, 4hb Disember 2008. Di sana kami menumpang di rumah sepupu komander trip kami..Salah satu strategi untuk jimat bajet..hehe..Tak perlu bayar duit sewa, di samping boleh masak sendiri di sana, jimat untuk perbelanjaan makan. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga berehat dan tidur atas tilam..Merehatkan urat-urat badan. Sebelum ni kami hanya tidur dalam kereta dan di sebuah masjid di Miri..itu pun tidur sekejap-sekejap ja..



Siang 4 hb Disember 2008 kami bersiar-siar dan melawat Universiti Malaysia Sabah (UMS). UMS cantik..Dekat dengan pantai. Kawan saya yang belajar perubatan di UMS jadi waktu tu jadi pemandu pelancong kami di UMS. Kami melawat beberapa tempat di UMS seperti muzium di bangunan Canselori, markas PALAPES UMS, dan pantai di UMS.Kemudian kami ke pasar Filipine. Di sana ada banyak barang perhiasn yang dibuat dari mutiara dan Kristal yang dijual dengan harga yang murah. Pastikan anda pandai tawar menawar. Saya pun ada buat perniagaan kecil-kecilan sikit dengan menjual barang-barang perhiasan ni. Saya dapatkan dari beberapa penjual di sini termasuk seorang kakak yang saya kenal. Malam tu kami makan ikan bakar di belakang pasar Filipine dan berehat-rehat dan berbual-bual di tepi pantai Tanjung Aru sambil minum jus gelas besar.



Pada hari esoknya, 5hb Disember 2008 kami ke kaki Gunung Kinabalu..kawasan Kundasang dan Kinabalu Park. Kami merancang nak pegi lihat puncak Gunung Kinabalu. Jarang pelawat dapat lihat puncak tu sebab biasanya ia ditutupi awan. Dalam perjalanan tu kami singgah Tuaran, pegi hospital untuk salah seorang dari kami jumpa dokter dan ambil ubat sebab tak sihat. Sementara tu kami juga pegi bersiar-siar di Taman Buaya, Tuaran dan singgah jambatan Tamparuli. Jambatan Tamparuli popular dalam salah satu lagu Sabah yang ada juga dinyanyikan oleh peserta AF, Masha tak silap.Di taman buaya tadi kami lihat ada dijual daging, taring, telur, dan kemaluan buaya. Samaada untuk masakan atau untuk perubatan. Em, tak dapat bayangkan rasa semua tu.huhu..




Kinabalu Park adalah tempat mula bagi mendaki Gunung Kinabalu..Di sini keadaan agak lembab dan sejuk..bila bernafas, wap keluar dari mulut, macam berada di negara bercuaca sejuk..hehe..Pada pendapat saya, Kinabalu Park dan Kundasang lebih sejuk dari Cameron Highland, Genting Highland dan Bukit Fraser..sejuk….segar..nyaman..Kedinginan tu ditambah dengan hujan gerimis dan kabus. Walaupun jam menunjukkan pukul 2,3 petang, keadaan sekeliling masih berkabus.. Ada kawasan yang perlukan kita memandu dengan lebih berhati-hati sebab kabus sangat tebal.



Kemudian, hari tu juga kami teruskan perjalanan kami ke Tip of Borneo di Kudat, Sabah. Kalau kita lihat dalam peta Borneo, kawasan Tip of Bornoe berada di bahagian paling atas pulau Borneo. Sebenarnya saya rasa agak berat hati untuk meneruskan perjalanan ke sana kerana hari dah agak lewat petang..Kami bakal menempuhi perjalanan pada wktu malam untuk ke sana…Macam saya katakan sebelum ni, perjalanan di waktu malam tidak begitu selamat di Sabah terutama di kawasan jalan-jalan yang sunyi. Jangkaan perjalanan akan ambil masa lebih kurang 3 jam..keadaan jalan kadang kala tak berapa elok, termasuk ada kawasan tanah runuth..jalan agak sunyi..melalui bukit,sawah padi…perancangan kami nak balik semula ke Kota Kinabalu malam tu juga. Kami tak bawa apa-apa kelengkapan untuk bermalam. Akhirnya aku setuju juga dengan keputusan mereka sebab majoriti dari kami setuju. Kebanyakan dari kami tak biasa dengan keadaan di Sabah, mereka bayangkan seperti perjalanan malam di Semenanjung Malaysia, banyak kenderaan, tak berapa sunyi dan lebih selamat.



Macam yang dijangkakan..banyak cabaran dan dugaan sepanjang perjalanan nak ke Tip of Borneo..



Cabaran pertama..banjir..jalan utama nk ke Kudat tak boleh dilalui kerana banjir. Perkara ni agak merisaukan kami..Bayangkan, kami berada di satu tempat yang jauh dari keluarga, sanak saudara dan kenalan..dalam keadaan kewangan yang terhad..di satu kawasan yang jauh dari bandar besar..di satu tempat yang kami tak pernah datang dan perjalanan hanya berpandukan papan tanda dan bertanya pada orang sekeliling. Kalau kami redah banjir dan kalau berlaku apa-apa pada kereta kami,memang akan sangat menyukarkan..tambahan pula di waktu malam. Di tepi jalan, boleh dilihat arus banjir yang mengalir deras.huhu..



Bak kata orang, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Eh, sesuai ka peribahasa ni? Kami taknak berpatah balik sebab kami dah jalan jauh. Kami memilih untuk melalui satu jalan alternatif yang kami ketahui dari penduduk sekitar. Ia adalah jalan yang perlu merentasi sawah padi..jalan berbatu dan tak berturap..keadaan sekeliling sangat gelap dan sunyi..tanpa rumah dan hanya dikelilingi sawah padi..Agak menakutkan, manalah tahu tiba-tiba ada perompak rompak kami di tengah-tengah sawah padi tu..Alhamdulillah selepas kira-kira 30 ke 40 minit kami jumpa jalan besar.



Kami perlu menempuhi perjalanan lagi 2 jam. Dalam perjalanan tu ada satu peristiwa berlaku..



Seperti saya katakan sebelum ni, kami tak tahu arah jalan yang patut kami lalui. Kami hanya berpandukan papan tanda dan bertanya kepada orang sekeliling dan pengguna jalan raya lain. Bila sampai di satu jalan yang sunyi..kami jumpa satu jip yang dipandu seorang diri sahaja. Kami nak tanya jalan padanya. Tapi selepas dia nampak kereta kami dari jauh. Dia berhentikan kenderaan dan keluar, pergi ke bahagian belakang jip. Kami nampak dia ambil satu parang panjang dari bahagian belakang jip dan bawa masuk ke dalam jipnya. Bila kami lihat macam tu, kami jadi serba salah samaada nak tanya jalan atau tak kepada pemandu jip tersebut..agak menakutkan. Akhirnya kami berhentikan kereta di tepi jip tersebut dan tanya arah jalan kepada dia. Tak sempat kami habiskan pertanyaan, dia jawab acuh tak acuh kemudian cepat-cepat naikkan cermin tingkap dan cepat-cepat pandu jipnya pergi dari situ. Rupa-rupanya dia takut pada kami sebab dia lihat kami datang dengan dua buah kenderaan. Mungkin dia risau kami mahu merompak mereka. Kelakar, masing-masing takut pada satu sama lain.hehe..



Kejadian ketiga..



Waktu tu kereta yang saya naiki mengikuti kereta Perodua Viva satu lagi. Sampai di satu jalan menaiki bukit landai, sewaktu perjalanan nak sampai ke Tip of Borneo, Kudat, kereta depan tak dapat bergerak menaiki bukit tu dan terhenti di tengah-tengah jalan menaiki bukit. Lepas cuba bergerak beberapa klai pun masih tak dapat jalan. Cuba juga tukar pemandu, masih tak dapat jalan. Ada juga satu masa kereta tu terundur ke belakang sedikit dan hampir melanggar kereta kami di belakang. Pelik, bukit ni landai, kenapa tak lepas. Sedangkan kami lalu banyak bukit curam di Kinabalu Park, lepas ja. Lepas beberapa kali cuba, akhirnya dapat naik bukit tu. Kawasan tu sangat menyeramkan, sunyi, dan gelap. Jalan berbatu. Kawasan tu juga ada banyak anjing-anjing dari spesis yang rupanya macam serigala. huhu..Kawasan tu juga tak ada banayk rumah..Jarak antara satu rumah ke satu rumah yang lain pula agaka jauh. Suasana sekeliling agak berkabus. Dapat rasa seolah-olah menghampiri penghujung pulau Borneo sebab dapat lihat gunung-gunung atau bukit-bukit di sekitar dah hampir ke penghujungnya, dah mula nampak pokok-pokok kelapa yang menunjukkan kami menghampiri kawasan pantai dan hutan sekeliling dah makin merendah.



Akhirnya kami sampai di "Tip of Borneo”, satu kawasan di tepi pantai, dalam pukul 11 mlm..keadaan di situ sangat gelap. Tiada lampu jalan. Hanya diterangi oleh lampu dari kenderaan kami. Tiada orang yang datang ke situ pada waktu tu. Yang boleh dilihat hanya satu pondok polis yang kecil dan surau diterangi cahaya lampu dalam 200 m berdekatan kawasan tu. Saya rasa agak risau dan tak sedap hati..risaukan kejadian tak diingini berlaku pada kami. Mana taknya, pendatang asing biasanya masuk Malaysia melalui sempadan dan ada risiko juga lanun dari masuk melalui kawasan tu. Lagipun tempat tu berdekatan dengan pulau-pulau milik negara Filipina. Kalau di siang hari, boleh nampak pulau-pulau tu dari jauh. Em, waktu tu kawan-kawanku boleh pula berlama-lama di situ. Di Sabah waktunya lebih awal berbanding di Semenanjung. Pukul 11 malam di Sabah umpama pukul 12 malam di Semenanjung. Dah lewat malam tu..risau juga kalau ada gangguan makhluk halus ke. Mana la tau kot tmepat tu keras.huhu.. Akhirnya tak lama lepas tu, dua orang polis datang nasihatkan kami supaya beredar dari tempat tu. Kata mereka tempat tu tak boleh datang pada waktu malam. Masa mula-mula polis tu menghampiri kami dengan berjalan kaki, mereka seolah-olah memerhatikan tangan kami dari jauh, mungkin bimbang kami bersenjata. Mungkin mereka pelik tiba-tiba di tengah malam ada dua biji kereta pergi ke hujung Borneo. Manala tau kami ni kumpulan kongsi gelap berkereta Perodua Viva ke..hehe.. Kami beredar. Sewaktu dalam perjalanan ke pekan Kudat, kami sempat berhenti di tepi jalan berdekatan salah satu papan tanda menunjukkan arah "Tip of Borneo" untuk ambil gambar beramai-ramai di situ. Ada di antara kami rasa tak sedap hati. Baru ja kami tangkap dua gambar, dengar anjing menyalak-nyalak. Apa lagi, kami cepat-cepat lari masuk kereta.hehe..Dua perkara berlaku. Satu kereta bau wangi, satu kereta lagi bau busuk. "Jangan tegur.." ingatan kami kepada semua dalam kereta.=)



Malam tu kami tukar rancangan..kami tak jadi balik Kota Kinabalu malam tu kerana stesen minyak dah tutup dan keadaan yang tak mengizinkan. Risau juga dengan keselamatan kami sepanjang perjalanan nanti. Kami tido di hotel bajet. Satu bilik RM 17. Sewa dua bilik. Teruk juga bilik tu, macam tempat tidur kucing pun ada juga. Siap bau hancing dan hapak. Itu ja pilihan yang ada, kami kena berjimat.



Ternyata kepenatan dan cabaran kami untuk ke “Tip of Borneo” berbaloi..Pantai di sana sangat cantik..air pantai tu nampak kehijauan.. Airnya bersih. Pantainya agak landai dan ombak sederhana kuat. Saya dan beberapa kawan yang lain tidak mahu melepaskan peluang untuk merasa mandi di pantai tersebut. Sebenarnya tiada sesiapa yang mandi di pantai tu. Kami sahaja mandi di situ. Kami tak tahu boleh mandi tak kat situ, tapi pantai tu macam selamat untuk mandi. Kami tak bawa pakaian untuk disalin. Kami pulang ke Kota Kinabalu dengan pakaian yang agak lembab. Sangat seronok mandi disitu. =)Kemudian kami beli ole-ole di yang ada dijual di tepi pantai oleh penduduk tempatan. Ada yang diperbuat daripada batu karang, kulit siput, kulit kerang dan lain-lain yang disusun cantik.



Kemudian, kami pulang ke rumah sepupu komander trip kami di Kota Kinabalu untuk berehat, bersihkan diri dan makan. Kami masak di sana. Selepas itu, kami bertolak ke Menumbok. Tempat di mana kami boleh naik feri untuk ke Labuan. Kami bertolak tadi dah agak petang dan jalan ke Menumbok agak sesak. Kami sampai di Menombok dah malam. Kami sampai di Labuan dalam pukul 11 malam setelah 2 jam perjalanan dengan menaiki feri. Feri yang kami naiki lebih besar dari feri yang biasa dinaiki di Pulau Pinang. Ia boleh memuatkan banyak kereta dan lori besar. Di Labuan, kami bermalam di rumah abang komander trip kami. Kami juga diberi pinjam van Toyota Unser oleh kawan abang komander kami tu. Abangnya sekeluarga tiada di Labuan waktu tu Kami tinggalkan kereta kami di jeti Menumbok untuk menjimatkan kos. Ini kerana kos untuk naik feri dengan kenderaan lebih mahal berbanding tanpa kenderaan.



Di Labuan kami bersiar-siar, borong coklat banyak-banyak, dan ada antara kami yang borong rokok banyak-banyak. Sebab di sana zon bebas cukai. Haraga coklat dan rokok import lebih murah berbanding harga dengan cukai. Kami melawat Kolej Antarabangsa Labuan, UMS dan Kolej Matrikulasi Labuan, dan jumpa adik perempuan saya yang belajar di sana. Dalam pukul 1 petang (7 Disember 2008), kami bertolak semula ke Menumbok. Kali ni kami naik speedboat sebab nak cepat pulang. Bayarannya lebih mahal sikit berbanding naik feri. Hanya 20 minit sahaja masa diambil untuk sampai ke Menumbok dari jeti di Labuan. Kami nak cepat sebab kalau boleh nak samapi di Kuching, Sarawak selewat-lewatnya 8hb Dis 2008 untuk sambut Hari Raya Aidil Adha di sana. Untuk membolehkan kami capai matlamat kami tu, kami kena samapi sempadan Brunei- Miri selewat-lewatnya sebelum pukul 10 malam, iaitu waktu pintu sempadan ditutup.



Tapi nampaknya keadaan memang tak dapat dijangka. Disebabakan ramai orang nak balik beraya, di pintu sempadan sangat jam. Banyak kenderaan nak masuk Brunei. Ditambah dengan jam di tempat untuk lintas dua sungai menggunakan feri di kawasan Brunei. Kami sampai di sempadan Brunei-Miri pukul 11 malam lebih. Terlamabat kira-kira satu jam. Tak sempat masuk Malaysia. Kami terpakasa bermalam di tepi jalan di sebuah tol berdekatan dengan pintu sempadan. Pertama kali bermalam raya di luar negara, takbir raya yang terdengar di radio menambah kesayuan hati.



Pagi 8hb Disember 2008, pintu sempadan Brunei-Miri buka pukul 6 pagi. Kami pandu kereta dengan sangat laju, 140 km/j sebab nak cepat sampai di Kuching. Jalan raya Miri- Sibu yang kami lalui tu tak berapa baik, tak rata dan ada banyak lubang. Bak kata orang, biar cepat dan selamat..huhu..salah tu. Biar lambat, asal selamat. Kalau apa-apa berlaku, perjalanan akan jadi makin lambat, bukan cepat.



Malang tak berbau, waktu perjalanan hampir ke Sibu, kereta yang saya naiki terlanggar lubang besar. Tayar depan dan belakang sebelah kiri kereta bocor dan rim kereta bengkok. Penangan langgar lubang dengan pemanduan yang sangat laju. Syukur kami selamat dan kawan saya yang pandu kereta dapat kawal kereta. Syukur juga kami bawa dua kereta dari jenis yang sama, jadi kami ada dua tayar spare yang sama. Kami gantikan kedua-dua tayar tu dengan tayar spare. Tayar tu kecil ja. Terpaksa pandu perlahan untuk keselamatan. Kami singgah bandar Sibu untuk cari tayar baru.




Sayangnya dah malam, kedai baiki kereta dah tutup. Jadi kami terpaksa pulang ke Kuching dengan menggunakan tayar spare tu. Pukul 4 pagi, 9 Disember 2008 baru kami sampai Kuching , Sarawak. Kami berehat dan tidur di rumah salah seorang kawan kami di Kuching, beraya di sana, baiki tayar kereta dan pulang ke UNIMAS.



Jauh perjalanan, penat badan..hehe..tapi tambah pengalaman dan pengetahuan. Bagi saya pengalaman ni merupakan pengalaman yang tak dapat dilupakan. Tambahan pula saya waktu tu pengajian saya di UNIMAS hanya tinggal lagi satu semester. Lepas tu tak tahu lagi bila saya akan kembali ke Sarawak.



Keseluruhannya, kami berjaya melaksanakan program travel yang mencabar dan menggunakan kos yang agak rendah. Lepas buat pembahagian kos, setiap orang hanya perlu tanggung dalam RM 200 lebih meliputi minyak, hotel bajet, pas berkumpulan untuk masuk dan keluar Brunei, tambang feri dan speedboat, tiket masuk Kinabalu Park, rim dan tayar second hand kereta, kos makan di rumah sepupu komander trip kami di Kota Kinabalu, dan sedikit bayaran sewa kereta. Tuan punya kereta masing-masing ikut trip ni jadi dapat la murah harga sewa kereta.



Sebenarnya saya agak terkilan sebab perancangan kami untuk jalan-jalan di Bandar Sri Begawan di Brunei tak jadi. Kami juga tak sempat nak buat aktiviti seperti snookeling di Sabah, dan ke tempat menarik lain di Sabah seperti di Samporna, Pusat Pemeliharaan Orang Utan di Sandakan, dan beberapa tempat lain yang menarik di Sabah.



Apa-apa pun, Alhamdulillah, syukur sebab kami selamat.



Kami bercita-cita untuk panjat Gunung Kinabalu di kesempatan lain. Nampaknya sampai sekarang (Januari 2011) masih tak jadi lagi perancangan kami tu. Pertenagahan 2009 ada antara kami pergi travel ke Indonesia pula, iaitu ke tempat-tempat menarik seperti di Bali, Bandung dan lain-lain. Tapi saya tak dapat ikut sebab trip tu dibuat waktu saya konvokesyen di UNIMAS. Tiket penerbangan pada tarikh lain tiada yang murah. Kami juga ada merancang untuk ke Pulau Perhentian akhir tahun 2010 baru-baru ni, tapi tak boleh sebab laut bergelora. Musim tengkujuh. Sebenarnya kami ada perancangan untuk trip seterusnya. Di mana? =)



Moga perkongsian pengalaman ni sedikit sebanyak dapat menambah pengetahuan pembaca-pembaca sekalian. Mungkin pengalaman anda lebih mencabar dan lebih menarik, harap dapat dikongsi. =)




* Artikel ini hanya sekadar pandangan penulis dari pengalaman penulis dan rakan-rakan, juga dari apa yang penulis pernah lihat dan dengar samaada dari sumber secara langsung atau secara tak langsung. Tidak bertujuan memberikan gambaran tidak elok kepada mana-mana pihak atau mana-mana tempat. Sekadar ingin berkongsi pengalaman yang mungkin berguna bagi mereka yang akan travel di tempat-tempat yang dilalui penulis dan rakan-rakan. Jika apa yang dikatakan penulis tidak bertepatan dengan keadaan sebenar (mereka yang tinggal di tempat-tempat yang diceritakan pasti lebih arif tentang tempat-tempat ini), mohon diperbetulkan pandangan dan pendapat penulis.

5 comments:

  1. nice la fiq..rindu gak kat korang bila baca ni..
    -isz-

    ReplyDelete
  2. Hehe..ni sebahagian usaha supaya kenangan berharga kita tak dilupakan macam tu ja..Aku dapat tape video yang kita rakam masa travel tu. Nanti aku cuba convert masuk dalam dvd..Aku rasa tape tu masih elok. Dalam tu lagi banyak kenangan..yang lebih real. Semoga dapat jumpa lagi isz..Datang la Semenanjung..^_^

    ReplyDelete
  3. salam. boleh sy dapatkan konteq no? ada banyak yg sy nak tanya utk perjalanan kuching ke kk?

    ReplyDelete
  4. Good info bro. Saya bercadang utk trans Borneo akhir tahun depan sekeluarga. Lps anak habis upsr.. Plan in 1 year..

    ReplyDelete
  5. Nk bawak kereta masuk dri ss ke brunei kene ada lesen international ke?

    ReplyDelete

Anda juga mungkin meminati..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...