Monday, January 24, 2011

Selamat Jalan Tok


Selamat jalan tok. Kehidupan ni tak lain hanya seperti musafir di tengah jalan, di dunia hanya seolah-olah kita berhenti seketika untuk berehat, kemudian kita akan meneruskan perjalanan menuju kita menuju akhirat. Kami akan menyusul pula kemudian...

Tanggal 16 Safar 1423 Hijrah bersamaan 21 Januari 2011.. Pagi Jumaat..Hospital Besar Terengganu..Tepat waktu Subuh..Tok pergi di usia kira-kira 72 tahun. Diiringi laungan azan Subuh dari beberapa buah masjid dan surau berdekatan.

Petang sebelumnya tok muntah dan pengsan dan akhirnya koma. Darah tinggi tok terlalu tinggi. Di hospital Dr. Cakap ada darah beku kt kepala tok. Pembedahan tak boleh dilakukan kerana darah beku tersebut ada di bahagian penting otak dan tok dah terlalu berusia. Dr. Kata dah tak boleh buat apa-apa. Peluang hanya 50-50. Tunggu ja..

Tok mempunyai sejarah tersendiri dan tok sama dengan nenek-nenek orang lain. Manusia biasa dengan perwatakan tersendiri. Uniknya tok tak pandai membaca. Bacaan sembahyang dan lain-lain tok belajar melalui hafalan. Di usia yang telah lanjut, tok masih berusaha keras menambah ilmu agamanya dan pengamalan agamanya. Belajar perbetulkan bacaan al-Quran, hadir kelas-kelas pengajian agama walaupun  agak jauh dari rumah, istiqamah bersolat jemaah di surau terutama maghrib, isyak dan subuh, istiqamah bangun dan solat malam, dan banyak berzikir.

Bila bersama dengan tok, aku banyak muhasabah diri, dan melihat dua dunia yang berbeza. Membayangkan jarak umurku dengan tok hampir 50 tahun dan memikirkan betapa banyaknya pengalaman hidup yang tok dah lalui.. Tok tak malu belajar. Di rumah, tok tak malu meminta cucu-cucunnya yang tahu untuk memeriksa bacaan al-Quran. Atau periksa hafalan tok berkenaan isi kitab yang tok belajar di kelas pengajian agama. Aku yang tahu sikit-sikit ni juga kadang kala diminta tok untuk periksa bacaannya. Kali terakhir aku dengar tok baca al-Quran dan perbetulkan dan perkemaskan bacaan tok adalah kira-kira seminggu lepas. Tok sangat gigih beramal dan tak berputus asa. Sangat tak berputus asa. Subhanallah.

Bila aku bersama tok dan cuba memikirkan keadaan Malaysia pada zaman beliau muda-muda dulu, aku sentiasa bermuhasabah tentang pentingnya aku bersyukur sebab di zaman sekarang mudah untuk menuntut ilmu. Bertapa aku harus bersyukur dengan pelbagai kemudahan yang ada di zaman sekarang. Ilmu mudah diperolehi di mana-mana sahaja. Persoalannya hanya pada diri kita, nak atau tak nak.

Juga aku bermuhasabah betapa aku harus bersyukur dengan nikmat kurniaan umur yang diberi padaku. Peluang yang diberi padaku untuk memperbanyakkan amal di usia muda, di saat tenagaku banyak dan kesihatan yang baik. Aku patut bersyukur sebab Allah masih bagi nikmat nyawa. Allah masih bagi  peluang untuk aku bertaubat atas dosa-dosa yang dah aku lakukan.

Emm..masa tok koma tu, lewat malam tu baru aku dapat berita dari mak tentang keadaan tok yang tidak pasti boleh diselamatkan atau tak. Aku jadi risau dan rasa tak sedap hati. Lagipun waktu aku bersama tok dalam seminggu sebelum tok pegi, ada kata-kata tok yang aku dengar lain macam ayatnya.

Aku buat keputusan untuk drive ke Terengganu dari Bangi waktu tu juga. Dalam 12 malam lebih aku bertolak. Mula-mula aku drive dalam keadaan agak emosi, tapi selepas mendapat beberapa ‘peringatan’ waktu aku drive, aku mula sedar tentang kepentingan aku drive dengan baik dan jaga keselamatan diri aku. Aku serapkan rasa redha dalam diri, jika pemergian tok adalah takdir yang akan aku tempuh. Aku perlu tabah dan ingat itu semua adalah di bawah kekuasaan dan kehendak Allah. Aku Cuma jeritkan dalam hati..

”Tok, tunggu saya balik dulu ya..”

.. dan serapkan harapan dalam doa..

“Ya Allah..kalau Kau nak ambil tok, moga aku sempat jumpa tok dulu”..

Aku berkira-kira. Kalau naik bas, dalam pukul 8 baru boleh sampai, naik kereta pun sebelum ni lebih kurang macam tu juga. Em, by hook or by crook, aku nak sampai paling lewat pukul 6 pagi. Ntahla macam mana aku drive. Alhamdulillah Allah selamatkan aku. Dengan hujan lebatnya dan gelapnya di jalan Genting Highland – Karak, dengan sunyinya lebuhraya pantai timur, dan dengan mata aku yang agak silau malam-malam ni..Aku Berjaya sampai di Hospital Besar Terengganu jam 5 lebih. Aku bacakan Yaasin untuk tok, yang bagiku mungkin itu kali terakhir aku bacakan untuk tok di usia hidupnya..

”Tok..kali ni tok tak payah baca ya. Tok dengar ja saya bacakan..”

Nafas tok dah tak menentu bila aku nak habiskan bacaan Yaasin..aku kuatkan semangat..walau sebak. Aku taknak tok tak dapat dengar aku habis baca. Kemudian aku kucup dahi tok dan aku tunggu di luar. Tak elok kot aku duduk lama-lama di wad perempuan di awal-awal pagi ni.

Dalam 15 minit lepas tu, mak call. Panggil masuk, mak cakap dalam nada cemas, tok ‘senyap’ ni..Hmm..aku masuk..aku redha..ku bisikkan kalimah Laailahaillallah 3x

”Tok dah banyak kali sebut tadi kan..” lepas aku dapat rasakan tok dah pergi sebelum aku masuk tadi..

Emm..sebenarnya, Subhanallah..Maha Suci Allah..masa aku baru nak baca Yaasin kat tok sebelum tu, masa aku duk dekat dengan tok, aku dapat dengar bunyi dan rentak nafas tok seolah-olah tok sedang berzikir ‘Laalilhaillallah’..Aku amati betul-betul beberapa kali..memang aku tak salah lagi..Seperti nada orang berzikir ‘Laailahaillallah’ waktu majlis tahlil.

Subhanallah..memang layak untuk tok..biasanya waktu ni tok baru siap sembayang malam dan tunggu Subuh atau berjalan ke surau nak solat Subuh berjemaah.
Aku redha..aku redha..

Em, banyak pengalaman bersama tok. Antaranya di usia-usia akhir tok, aku pernah gi lepak berdua dengan tok kat kedai goreng pisang. Kitorang makan ikan celup tepung, keropok, goreng pisang dan air kelapa. Lepak tepi pantai kat masjid terapung sambil rasa angin pantai. Gi berkelah kat air terjun sekayu dan lain-lain. Antara pengalaman terakhir bersama tok, masa kami dalam perjalanan nak balik ke rumah, dalam kereta. Dengar ustaz dengan loghat Terengganu pekat, baca dan bahaskan kitab Tanhibul Ghafilin dalam Radio Malaysia Terengganu, Siaran Ahad, 6 petang... ustaz dari UNISZA. Bila nak berehenti kereta, tok kata tak payah matikan radio, ‘sedap’ pulak dengar.

Em, semalam masa on the way nak balik Bangi, ada pulak siaran sambungan rancangan yang aku dengar dengan tok aritu..Huu~ Kali ni aku dengar sorang..Bukan dengan tok lagi..

Bagiku tok pergi dengan husnul khatimah. Koma tok dalam keadaan berzikir, pergi tok hari Jumaat, waktu masuk Subuh, diiringi azan Subuh, jenazah tok disembahyangkan oleh ramai orang di masjid serta bersaf-saf, dan urusan pengebumian tok dibantu walau oleh orang yang tak mengenali tok. Moga Allah menempatkan tok di kalangan orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh. Sifat tok yang tidak berputus asa dalam menuntut ilmu dan beramal.. serta tidak berputus asa dari rahmat Allah..akan aku jadikan contoh dan pelajaran penting dalam hidup.

Al-Fatihah untuk tok.

No comments:

Post a Comment

Anda juga mungkin meminati..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...