Showing posts with label Perubahan. Show all posts
Showing posts with label Perubahan. Show all posts

Friday, April 13, 2012

Talqin Buat Diriku






Bismillah..

Mahasuci Allah, yang bersifat dengan Baqa’ dan Qidam, yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa.

Mahasuci Allah yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

Wahai jiwa yang lalai, ketahuilah, setiap yang hidup pasti akan mati. Dirimu juga pasti akan mati. Bila saja sampai ajalmu, tidak lagi mampu ditunda sesaat dua.

Wahai jiwa yang lalai. Sesungguhnya mati itu tak mengenal usiamu.
Walau kamu pemuda tegap.
Walau kamu gadis ayu.
Walau kamu sihat tak berpenyakit.

Bila tiba ajalmu, malaikat maut pasti datang mencabut nyawamu.
Tidak kira waktu.

Mungkin saat kamu bergembira bersama temanmu.
Atau saat bermesra dengan keluargamu.
Atau tika seronok berhibur di hujung minggu.

Ajalmu takkan ditunda.

Mahasuci Allah, yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran.
Untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai.
Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Wahai kamu yang berpangkat tinggi, 
wahai kamu yang berpendidikan tinggi, 
wahai kamu yang berdiri angkuh di muka bumi, 
wahai kamu yang megah dengan kehebatan diri..

Hendaklah kamu ingat, bahawa kamu akan dimasukkan ke dalam lubang kubur, ditinggalkan tanpa teman, di tempat yang gelap dan sunyi.

Saat itu, akan datang kepada kamu,  2 orang malaikat iaitu Mungkar dan Nakir, mereka akan menyoal kamu:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Disaat itu hafalan kamu tentang jawapannya tidak berguna, 
Kerna amalanmu di dunia yang jadi penentu,
Adakah akan dapat menjawab soalan-soalan itu.

Jika solat 5 waktu kamu tidak sempurna, mana mungkin kamu akan dapat menjawabnya dengan baik.

Jika puasa kamu tidak lengkap, mana mungkin kamu akan dapat menjawabnya dengan benar.

Jika hidupmu di dunia penuh dengan dosa, mana mungkin kamu akan dapat tenang di dalam sana.

Ingatlah, jika kamu tidak dapat menjawab soalan yang ditanyakan malaikat-malaikat itu.
Engkau akan dipukul sekuatnya oleh malaikat,
Kubur kau akan disempitkan,
Hingga terhimpit tulang rusukmu,

Kala itu, sesalanmu tak berguna lagi.
Rayuanmu tak dipedulikan lagi.
Hendak hidup kembali ke dunia?
Pasti! peluang itu tiada lagi.


Insaflah! 
Bahawasanya mati itu adalah benar, 
soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur itu adalah benar, 
bangkit dari kubur kemudian dihidupkan kembali adalah benar, 
berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, 
dihisab dan dikira segala amalan adalah benar, 
syurga dan neraka adalah benar.

Berubahlah kamu! Tingkatkanlah amalan kamu! 
Sebelum mereka disekelilingmu mengucapkan kepadamu.

"Kami mengucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala"

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya diajuhkan kami dari azab kubur.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham
dulillahi rabbil alamin.



Tuesday, April 3, 2012

Bagaimana nak berjaya jika usaha masih sama


"Kejayaan dan perubahan takkan dapat dicapai jika usaha, sikap dan kelakuan kita masih sama seperti sebelumnya. Pelik bagaimana kita masih lagi mahu melalui jalan berlubang yang kita pernah lalui sebelum ni, sedangkan kita telah tahu bertapa perit dan sukarnya apabila jatuh dan berada dalam lubang tu."

Tuesday, February 14, 2012

Mata lebah, mata lalat


Jadi macam lebah..ke mana pun dia pegi, apa saja dia jumpa, mata dia pandang pada madu..yang baik..manis dan sedap sifatnya. 

Jangan jadi macam lalat, ke mana pun dia pegi, apa saja dia jumpa, mata dia sentiasa mencari tahi/kekotoran.

...

Berbaik sangka jangan mudah berburuk sangka.

Mencari kebaikan pada orang bukan mencari-cari keburukan dan kekurangan.

Kalau cara pandang kita pada orang lain adalah tidak baik..'kotor'..mungkin itu menggambarkan hati yang ada dalam diri kita tu 'kotor'..

Jadi..mari cuci kekotoran hati.

Dengan istighfar dan ubah cara kita dalam menjalani hidup..

Yang Allah suruh kita buat dan jangan tinggal. Yang Allah larang kita tinggal dan jangan buat.


Wednesday, February 8, 2012

Letih dan seronok..


"Letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang, kebaikan akan kekal. Seronok melakukan dosa dan kejahatan, keseronokan akan hilang, dosa akan kekal"

Wednesday, February 1, 2012

Sering aku tertanya-tanya..



Terlalu banyak nikmat yang aku perolehi dalam kehidupan ni. Terlalu banyak pemberian yang Allah beri kepadaku dalam kehidupan..

Allah aturkan aturan kehidupan dengan amat baik sekali. Dengan penuh hikmah. Kebaikan dan kesenangan dinikmati dan dihayati. Kesukaran, kepayahan dan ujian pula..penuh dengan seribu satu kebaikan.

Syukurku walau beribu tahun usiaku dihabiskan untuk tidak putus-putus mengungkapkan kalimah syukur kepada-Mu, pasti tak akan juga sama dengan nilainya dengan nikmat-Mu yang Kau berikan kepadaku tidak putus-putus.

Cubala bayar nilaian sebelah mata sahaja..

Subhanallah..Nilainya adalah..sangat bernilai..valuable..Baru satu nikmat..Bagaimana dengan nikmat lain..dari sekecil-kecil nikmat..hingga sebesar-besar nikmat..sungguh..sangat berharga Ya Allah..

...

Sering aku tertanya-tanya..

Apakah yang aku buat hingga Allah bagi aku nikmat sebegitu banyak begini? Apakah usaha yang telah aku buat? Atau adakah disebabkan berkat doa dari ibuku? Atau berkat doa dari mereka yang makbul doanya?
…

Tiada jawapan.
…

Ya, memang tiada jawapan..kerana soalan itu salah..ia sepatutnya berbunyi begini..

Kenapa Allah bagikan segala nikmat dan pemberian yang sangat berharga kepadaku?


Jawapannya mudah.


Kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang..Rahmat Allah meliputi seluruh langit dan bumi..Pemberian Allah dengan kasih sayang dan rahmat-Nya yang sangat banyak dan tidak putus-putus kepada semua makhluk Allah tidak mengurangkan sedikit pun kekuasaan dan kemampuan Allah. Subhanallah..Maha Suci Allah..


Dan jawapannya lagi..


Allah berikan nikmat-nikmat itu supaya kau menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur..

...

“Ya Allah..jadikan kami semua hamba-Mu yang sentiasa bersyukur..”

...

..syukuri nikmat..dari sekecil-kecil nikmat..hingga sebesar-besar nikmat..kau sangka ia kecil..tapi berharganya ia akan hanya diketahui bila nikmat itu diangkat..jangan sampai nikmat diangkat..

...

Sesiapa yang mensyukuri nikmat Allah, Allah akan tambah nikmat-Nya..Sesiapa yang mengkufuri nikmat Allah (tidak mensyukuri nikmat Allah)..azab Allah sangat pedih..


Wednesday, January 4, 2012

Kecewa Dengan Diri Sendiri



Satu hari aku merasa sangat kecewa dengan diri sendiri..
Kecewa..
Setiap hari berusaha untuk mengubah diri..
Setiap hari memasang azam..
Setiap hari menginsafi dosa..
Namun, setiap hari masih sama..
Masih diri yang sama..
Perubahan diri masih tak dicapai.
Kadangkala rasa mahu berputus asa..
Kecewa dengan diri..

Satu hari seorang sahabat datang menasihati..

Teman..kau sangka..hanya dengan usahamu..kau mampu berubah?
Kau lupa sesuatu teman..
Kau lupa..setiap usahamu itu..sedikit pun tidak mampu membantumu berubah..melainkan dengan izin dan kehendak Allah..

Kau sombong.

Kau sangka dengan usaha kau saja, perubahan yang kau usahakan akan berjaya..
Kau lupa untuk meminta pada Allah..agar Allah memudahkan usahamu..
Agar Allah menjayakan perubahan yang kau usahakan itu..
Allah menegurmu..Usah sombong..

................

…Jangan hanya bila susah ingat Allah..bila senang lupakan Allah...

Sunday, January 1, 2012

Mengapa Tak Menghargai, Mengapa Tak Mensyukuri



Mengapa memandang pada banyaknya kelemahan dan kekurangan diri sedangkan begitu banyak kelebihan dan pencapaian yang dikecapi..



Mengapa rungsing pada yang tak dapat diubah sedang di depan mata, banyak yang boleh berubah..



Mengapa kesalkan kegagalan diri, sedang tempoh memperbaiki diri masih banyak berbaki.

Thursday, December 29, 2011

Masalah datang untuk diselesaikan, bukan untuk dirisaukan


Bila masalah datang..


Risau + tak cari jalan penyelesaian = 

Tak guna, buang masa, buang tenaga, tambah tekanan, menyusahkan & bertambah masalah

Sabar + cari jalan penyelesaian = 

Ketenangan, ketenteraman, kurang tekanan, bertambah idea, bertambah usaha, bertambah jalan penyelesaian




Monday, November 28, 2011

Merokok Haram


Bismillah..ramai yang masih tak pasti dengan hukum merokok, ada pula yang tahu tapi ambil ringan. Saya kongsikan fatwa dari web e-Fatwa oleh JAKIM berkenaan hukum merokok.

.....

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.
........

Keterangan dan Hujah





1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:

i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. 

  • Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. 
  • Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. 

  • Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. 
  • Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.

iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. 



  • Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 
    • 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 
    • Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. 
    • Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:

  • ”Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:

  • Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. 
  • Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
  • Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
  • Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
  • Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
    • Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
    • Pembaziran yang tidak ada keperluannya.
    • Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok. Antaranya seperti berikut:
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.


2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. 

  • Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.


3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyahmenyatakan:



  • “ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”
  • “Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.
  • ”Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

......


Moga bermanfaat.


Bersama berusaha mendapatkan redha Allah dan menjauhi murka Allah.

Afiq Tj.

Saturday, November 12, 2011

Strategi Meningkatkan Iman



Bismillah..Kali ni saya nak kongsikan berkenaan strategi untuk kita jadikan iman kita meningkat. Perkongsian dari  Ustaz Dr. Zahazan (Siri tafsir al-Quran oleh radio IKIM.fm – Perbincangan tafsir surah at-Taubah ayat 124-125)

  1. Dengan membaca, menghafal, mendengar al-Quran dan beramal dengannya.
  2. Konsisten/Istiqamah beramal soleh. 
  3. Tadabur/Baca kisah-kisah para nabi dan rasul dalam al-Quran, kisah-kisah para sahabat, para salafussoleh.     
  4. Doa. Antara doa yang paling banyak Rasulullah S.A.W amalkan adalah doa diberi ketetapan hati.   
  5. Banyak mengingati Allah    
  6. Menjalankan dakwah di jalan Allah. Dengan menjalankan dakwah yang berterusan, dapat menjadikan diri kita tarsus istiqamah dalam kebenaran.   
  7. Cari/Mempunyai kawan-kawan yang baik, yang soleh, yang sentiasa bantu kita, mendorong kita untuk mentaati Allah S.W.T. 
  8. Sabar. Antara cara sabar adalah dengan puasa sunat.
  9. Banyak melakukan muhasabah dengan mengingati nikmat Allah kepada kita, nikmat-nikmat yang Allah janjikan di akhirat kepada orang-orang beriman, beramal soleh, serta mentaati Allah S.W.T seperti syurga.



Saya download di web ikim, siri kuliah oleh Ustaz Dr. Zahazan boleh dapat di sini.

Mohon teguran dan nasihat untuk yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Bersama kita mandapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Thursday, November 3, 2011

Keputusan dalam Kehidupan


Bismillah,

Setiap hari banyak keputusan yang kita perlu buat. Dari sekecil-kecil keputusan hingga sebesar-besar keputusan. Nak makan apa, nak pergi mana, nak buat apa dulu, nak pakai apa, nak baca apa..dan macam-macam lagi.

Kadang-kadang kita akan buntu atau risau berkenaan apa keputusan terbaik untuk kita buat terutama bila perlu pilih antara dua keputusan yang terbaik.

Dalam membuat keputusan, rujuk pada sistem nilai yang kita pegang dalam kehidupan. Sistem nilai bermaksud apa perkara-perkara penting yang kita nilaikan sebagai yang penting dalam kehidupan kita. Ada orang mungkin keluarga, kewangan dan kesihatan adalah antara perkara penting dalam kehidupan mereka. Bila nak buat keputusan terbaik, pertimbangkan mana yang paling bertepatan dan bersesuaian dengan keutamaan nilai-nilai penting yang kita pegang.

Sebagai muslim, kita seharusnya jadikan Allah sebagai yang paling penting dalam sistem nilai untuk kehidupan kita. Bila nak buat keputusan, pertimbangkan dulu yang mana Allah suka, yang mana Allah tak suka. Yang Allah tak suka kita tinggalkan. Bila ada beberapa pilihan yang kita yakin apa yang Allah suka, baru kita pertimbangkan nilai lain yang penting dalam kehidupan kita. Mungkin kewangan, keselesaan dan lain-lain.

Contohnya bila kita perlu buat keputusan untuk pilih pakaian terbaik untuk kita beli. Pertimbangkan dulu yang mana yang Allah suka untuk kita pakai. Maksudnya yang ikut cara berpakaian yang ditetapkan Islam seperti menutup aurat dan tak menampakkan bentuk badan. Kemudian baru pertimbangkan mengikut nilai penting lain yang kita pegang.

Contoh lain yang biasa kita buat, bila nak beli sesuatu makanan di kedai. Pertimbangkan dulu yang mana yang Allah suka untuk kita pilih. Antaranya yang diyakini halal. Kemudian baru pertimbangkan perkara lain seperti sedap, murah dan lain-lain yang mungkin penting dalam sistem nilai kehidupan anda.
Jadi, mari kita sama-sama ubah sistem nilai dalam kehidupan kita. Utamakan apa yang Allah suka dan tinggalkan apa yang Allah tak suka. Jadikan apa yang Allah perintah dan larang sebagai pertimbangan utama dalam kita nak buat kehidupan seharian.

Mohon nasihat dan teguran atas perkara yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Sama-sama kita dapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Monday, October 31, 2011

Hayati Kehidupan Islam Dalam Memimpin


Bismillah..

Kali ni saya nak cakap sikit berkenaan tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Sebagaimana yang kita ketahui, setiap orang akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Kita semua adalah pemimpin, paling tidak, kita adalah pemimpin kepada diri kita.


“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang ia pimpin”. (Mutafaq ‘alaih)


Pada pendapat saya, apabila kita berpeluang samaada dengan rela atau terpaksa, untuk menjadi pemimpin, kita patut guna peluang tu sebaiknya untuk mengajak orang-orang yang kita pimpin untuk menghayati kehidupan sebagai seorang muslim dengan sebaik-baiknya. Tak kira la kita pemimpin sebuah organisasi kecil atau besar. Pemimpin syarikat atau pemimpin rumah tangga. Bila orang lain menjadikan diri kita sebagai tempat rujuk dan tempat menerima arahan, maksudnya kita pemimpin la tu.

Apa kata, bila kita jadi pemimpin kita cuba praktikkan perkara macam menjaga solat, menjaga batas pergaulan, menjaga aktiviti yang kita laksanakan supaya tak bercanggah dengan syarak, memastikan aurat terjaga dalam setiap program, memastikan maksiat tak berlaku dalam program dan aktiviti kita.

Contoh, bila nak buat meeting, dah hampir waktu solat, apa salahnya tangguhkan sikit waktu meeting bermula ke waktu lepas solat. 

Bila nak buat baju seragam atau baju korporat, usaha untuk cari design terbaik bila nak buat baju untuk wanita muslim pakai supaya aurat dan bentuk badan tak terlihat. 

Nak buat aktiviti sukan..tak bercampur dalam satu permainan lelaki dan perempuan bukan mahram. 

Dan banyak lagi..

Pada pendapat saya, bila kita merupakan seorang ketua,dah tentu orang lain samaada rela atau terpaksa akan ikut juga arahan dan cara yang kita buat. 

Kalau orang bawahan kita majoritinya muslim, dah tentu mereka sepatutnya faham tindakan kita. 

Mungkin kita akan risau ada orang tak suka dengan cara kita, cakap-cakap kat belakang..tapi mana satu yang anda lebih suka? Kita lebih suka apa yang orang suka atau apa yang Allah suka?

Dah tentu, sebagai pemimpin..perlu laksanakan perkara-perkara ini dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah. Itu dah tentu satu cabaran untuk seseorang pemimpin, tapi sekurang-kurangnya setiap dari kita perlu tanam azam dan ada usaha untuk lakukan perkara-perkara seperti ini.

Tak boleh ambil ringan perkara ni dan tak boleh lepas tangan..sebab kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat berkenaan apa yang kita pimpin.

Macam mana nak jawab soalan di sana nanti bila ditanya:

"Kenapa kamu tak benarkan orang bawahan kamu solat di awal waktu dan membiarkan mereka melambatkan solat disebabkan program yang kamu rancangkan waktu nak masuk waktu solat?"

"Kenapa kamu biarkan maksiat itu berlaku dalam program kamu sedangkan kamu ada kuasa untuk mengubah aktiviti-aktiviti program itu?"

"Kenapa kamu tak arahkan bas rombongan yang kamu pimpin untuk berhenti solat?"

Ya Allah..berat tanggungjawab memimpin, tapi dengan memimpin, dapat peluang banyak juga untuk menyebarkan dan menghayati kehidupan Islam..InsyaAllah.

Semoga bermanfaat.

Mohon teguran dan nasihat atas perkara yang kurang atau tak tepat.

Sama-sama kita berusaha untuk mendapatkan redha Ilahi.

Afiq Tj.


Tuesday, October 25, 2011

Dah sedekah?



Bismillah..Assalamualaikum.

Kali ni saya nak kongsikan berkenaan sedekah (termasuk sumbangan dan wakaf). Sekadar untuk ingatan bersama.

Sepertimana kita ketahui, bila kita mati, kita dah tak berpeluang untuk laksanakan amal ibadah lagi. Walaubagaimanapun ada tiga perkara yang masih lagi dapat membantu kita dalam meningkatkan ganjaran kebaikan yang kita dapat. Seperti hadis yang sering kita dengar:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Saya nak sentuh di sini tentang sedekah jariah. Sedekah jariah merupakan salah satu saham besar untuk kita di alam kubur dan di akhirat.

Bayangkan bila kita sedekah untuk pembinaan satu masjid, selagi masjid itu digunakan orang untuk beribadah kepada Allah, selagi itu kita akan dapat pahala, walaupun kita telah bertahun-tahun mati. 

Bayangkan pula bila kita sedekah untuk pembinaan sekolah yang menjadi tempat untuk pelajar-pelajar menuntut ilmu yang baik..Kita akan mendapat pahala setiap kali sekolah itu digunakan untuk menjadi tempat mengajar ilmu. Kita juga akan dapat pahala setiap kali pelajar yang menuntut ilmu di situ mengamalkan ilmu yang mereka dapat ketika belajar di situ. Kita juga akan mendapat pahala berterusan apabila pelajar itu mengajarkan dan berkongsi pula ilmu yang diperolehinya kepada orang lain dan orang lain itu juga mengamalkannya. Subhanallah.

Masjid, sekolah, sekolah agama, kemudahan untuk pelajar sekolah adalah antara contoh tempat-tempat terbaik untuk kita melabur saham akhirat. Saya serahkan kepada anda untuk fikirakan tempat lain lagi..seperti pusat pendidikan untuk mualaf, pusat pendidikan untuk anak yatim..dan banyak lagi..Subhanallah.

Walaubagaimanapun, tak semestinya bila kita fokuskan sumbangan kepada tempat-tempat ni, kita sampai melupakan saudara-mara kita yang susah. Saya pernah dengar kuliyah feqah oleh Prof. Dato’ Haron Din, keutamaan sedekah yang pertama adalah kepada saudara mara kita dulu, lihat pada adik-beradik kita, ada tak yang susah..lihat pada mak ayah dan datuk nenek kita..susah dan perlu dibantu tak..kemudian lihat pada adik-beradik mak ayah kita dan datuk nenek kita..juga lihat pada anak-anak kita dan cucu-cucu kita. Pertimbangkan sebaiknya.

Pada pandangan saya kita boleh juga aplikasikan konsep saham akhirat pada saudara-mara kita. Contohnya dengan bantu saudara-mara kita yang yatim atau miskin untuk hidup dengan lebih baik, bantu mereka tingkatkan pelajaran, bantu untuk beli bahan-bahan yang dapat meningkatkan amal ibadah mereka..di samping itu juga kita boleh hadiahkan CD kuliyah agama, majalah dan buku berfaedah seperti SOLUSI, Gen-Q, Anis, Asuh dan lain-lain..Hadiahkan al-Quran terjemahan..Sumbangkan buku rujukan untuk saudara-mara yang masih belajar..dan banyak lagi yang kita boleh fikirkan.

Moga bermanfaat.

Mohon teguran dan nasihat atas sebarang perkara yang kurang atau tak tepat dalam artikel saya.

Bersama kita mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Sunday, March 27, 2011

Aku bersyukur Ya Allah




Sebelum kita sama-sama meneruskan pembacaan..

Cuba kita bayangkan satu masa sebelum ni di mana kita sering terjerumus dalam lembah dosa..jika ada..

Satu masa yang kita sering meninggalkan solat fardu atau cuai dalam melaksanakan solat fardu..satu masa yang kita pernah sering tidak menutup aurat dengan sempurna atau pernah tidak menutup aurat langsung setelah baligh..satu masa di mana kita pernah sering melawan atau meninggikan suara kepada ibu bapa kita..sering berbohong dalam berkata-kata.sering tidak amanah dengan tanggungjawab-tangungjawab kita..atau mugkin kita pernah sering memakan harta dari sumber yang haram..Mungkin juga kita pernah punyai hobi 'mencuci mata'..atau melakukan perkara-perkara lain yang mendekati zina (zina mata, zina mulut, zina tangan, zina kaki,zina hati).

Friday, March 4, 2011

Jauhi Buruk Sangka




Assalamualaikum. Satu perkongsian..





Ok, bayangkan..Dato' Abu Hassan Din minta saya gantikan tempat dia untuk satu sesi siaran Adik & Al-Quran di TV9 (saya suka tonton..=))..bagi segmen "Pesan Atok"..tapi kita tukar la..kali ni jadi segmen "Pesan Abang"..^_^





.......





Adik-adik sekalian, salah satu sifat buruk yang perlu di jauhi dalam hidup seorang Muslim sejati adalah sifat suka berburuk sangka. Sifat buruk sangka ini datang daripada sikap suka berprasangka. Sikap prasangka ini terbahagi kepada dua iaitu prasangka baik dan prasangka buruk. Dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 12, Allah menyebut tentang prasangka, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”


Thursday, February 17, 2011

Jaga Keaiban Orang dan Tolong-menolong


Hadis ni sangat penting buat diri yang suka bercerita tentang kejelekan atau kekurangan orang lain. Kadang-kadang tanpa sedar, mungkin bertujuan untuk mengadu sesuatu atau sekadar mahu memeriahkan pertemuan bersama sahabat-sahabat dengan cerita-cerita hangat.

Hadis ni juga penting dan sesuai untuk orang yang pentingkan diri sendiri dan suka hidup sendirian tanpa mempedulikan hal orang lain. Yang hanya mementingkan keselamatan dan kesenangan diri sendiri. Tak peduli sama ada saudara muslimnya senang atau susah. Tolong diri sendiri ja, taknak tolong orang lain.

Juga saya ada dengar, hadis ni sesuai untuk orang yang mengharapkan pertolongan Allah dalam urusannya..


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “…dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah ta’ala akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah ta’ala akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya…” (HR Muslim)


Jadi mari kita jaga keaiban diri kita, keluarga kita dan saudara-saudara muslim kita. Mari juga kita banyakkan bantu keluarga kita dan saudara-saudara muslim kita, dan moga dapat kita lakukannya ikhlas kerana Allah.


p/s: Ada keaiban boleh atau kadangkala wajib diperkatakan pada orang lain. Ada perbincangannya tentang hal ni. Boleh rujuk pada ustaz dan ustazah.

Monday, January 10, 2011

Sungguh benar..pilihan itu sebenarnya di tangan kita..



Saya percaya kita semua sering diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..tak kira seteruk mana pun kita, sebanyak mana pun dosa kita..Hidayah dan petunjuk dari Allah sentiasa datang kepada kita. Cuma kita sedar atau tidak ja, dan kita nak terima atau tak ja. Macam saya ada dengar ustaz kata..kita terima hidayah tu, tapi kita tak dapat taufiq nya..





Contohnya, macam bila kita jalan-jalan di blog-blog orang, tiba-tiba kita terjumpa satu artikel nasihat atau peringatan, itu salah satu sumber hidayah, kalau kita tak mahu menerimanya, kita akan cepat-cepat tutup blog tu.





Juga bila kawan kita atau orang yang kenal kita, tiba-tiba satu hari tu cuba nak nasihatkan kita sikit..macam bila kita dengar ayat dia..




"Bro, aku nak cakap sikit la pasal tadi tu.." (bila kita ada buat salah sikit tadi)..




"Abang..haritu zack dengar dalam tv kata tak boleh buat macam ni..dalam tv tu kata.."




"Jo, jangan buat macam tu (mak faham kamu sekolah tinggi dan lebih pandai dari mak), tak elok orang pandang nanti.."





Jangan kita melenting..wujudkan satu kesabaran dalam diri, rendahkan ego..dan pasang telinga untuk dengar apa teguran atau pendapat yang akan diberikan tu..usahakan untuk resapkannya dalam hati..



Walaupun kita mungkin rasa orang yang menegur atau menasihati tu kurang ilmu dari kita atau kurang pangkatnya dari kita..atau nak tunjuk pandai pada kita..



Tugas kita yang sepatutnya adalah dengar, walaupun kita mungkin tahu apa yang dia akan perkatakan adalah perkara yang kita sedia tahu..Dengar dan tak perlu bagitahu yang kita dah tahu..andai kita tahu, ia akan jadi peringatan untuk kita(lumrah manusia itu mudah lupa dan perlu sering diingatkan)..ucapkan terima kasih padanya..



Mungkin itu sumber hidayah untuk kita mengamalkan ilmu yang kita ada dan tetap istiqamah dengan jalan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Jadi jangan lari, melenting atau mengelak sumber hidayah tu..moga kita boleh mendapat taufiq daripadanya.





Sungguh benarlah pilihan itu di tangan kita..nak jadi orang baik atau orang jahat..nak jadi orang yang separuh beriman separuh lagi kufur atau nak jadi sepenuhnya beriman..nak jadi orang benar-benar beriman atau nak jadi orang munafik atau fasik..



Nak berterusan 'istiqamah' dengan dosa atau nak segera bertaubat dan berusaha berubah dan meninggalkan amalan-amalan dosa kita tu.



Nak berterusan setiap hari "cuci mata" (bagi lelaki)atau nak berjihad dengan nafsu (mujahadah) dengan 'menundukkan' pandangan.



Nak berterusan tak tutup aurat dengan sempurna atau nak mulakan perubahan ke arah menyempurnakan cara kita menutup aurat.



Pilihan di tangan kita..Nak dosa atau pahala..Nak syurga atau neraka..

Nak keredhaan Allah atau nak kemurkaan Allah..





"Ya Allah kami memohon dariMu KeredhaanMu dan syurga, dan kami memohon perlindunganMu dari kemurkaanMu dan dari neraka."


Anda juga mungkin meminati..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...