Showing posts with label Diam sambil fikir. Show all posts
Showing posts with label Diam sambil fikir. Show all posts

Friday, April 13, 2012

Talqin Buat Diriku






Bismillah..

Mahasuci Allah, yang bersifat dengan Baqa’ dan Qidam, yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa.

Mahasuci Allah yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

Wahai jiwa yang lalai, ketahuilah, setiap yang hidup pasti akan mati. Dirimu juga pasti akan mati. Bila saja sampai ajalmu, tidak lagi mampu ditunda sesaat dua.

Wahai jiwa yang lalai. Sesungguhnya mati itu tak mengenal usiamu.
Walau kamu pemuda tegap.
Walau kamu gadis ayu.
Walau kamu sihat tak berpenyakit.

Bila tiba ajalmu, malaikat maut pasti datang mencabut nyawamu.
Tidak kira waktu.

Mungkin saat kamu bergembira bersama temanmu.
Atau saat bermesra dengan keluargamu.
Atau tika seronok berhibur di hujung minggu.

Ajalmu takkan ditunda.

Mahasuci Allah, yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran.
Untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai.
Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Wahai kamu yang berpangkat tinggi, 
wahai kamu yang berpendidikan tinggi, 
wahai kamu yang berdiri angkuh di muka bumi, 
wahai kamu yang megah dengan kehebatan diri..

Hendaklah kamu ingat, bahawa kamu akan dimasukkan ke dalam lubang kubur, ditinggalkan tanpa teman, di tempat yang gelap dan sunyi.

Saat itu, akan datang kepada kamu,  2 orang malaikat iaitu Mungkar dan Nakir, mereka akan menyoal kamu:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Disaat itu hafalan kamu tentang jawapannya tidak berguna, 
Kerna amalanmu di dunia yang jadi penentu,
Adakah akan dapat menjawab soalan-soalan itu.

Jika solat 5 waktu kamu tidak sempurna, mana mungkin kamu akan dapat menjawabnya dengan baik.

Jika puasa kamu tidak lengkap, mana mungkin kamu akan dapat menjawabnya dengan benar.

Jika hidupmu di dunia penuh dengan dosa, mana mungkin kamu akan dapat tenang di dalam sana.

Ingatlah, jika kamu tidak dapat menjawab soalan yang ditanyakan malaikat-malaikat itu.
Engkau akan dipukul sekuatnya oleh malaikat,
Kubur kau akan disempitkan,
Hingga terhimpit tulang rusukmu,

Kala itu, sesalanmu tak berguna lagi.
Rayuanmu tak dipedulikan lagi.
Hendak hidup kembali ke dunia?
Pasti! peluang itu tiada lagi.


Insaflah! 
Bahawasanya mati itu adalah benar, 
soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur itu adalah benar, 
bangkit dari kubur kemudian dihidupkan kembali adalah benar, 
berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, 
dihisab dan dikira segala amalan adalah benar, 
syurga dan neraka adalah benar.

Berubahlah kamu! Tingkatkanlah amalan kamu! 
Sebelum mereka disekelilingmu mengucapkan kepadamu.

"Kami mengucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala"

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya diajuhkan kami dari azab kubur.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham
dulillahi rabbil alamin.



Tuesday, February 14, 2012

Mata lebah, mata lalat


Jadi macam lebah..ke mana pun dia pegi, apa saja dia jumpa, mata dia pandang pada madu..yang baik..manis dan sedap sifatnya. 

Jangan jadi macam lalat, ke mana pun dia pegi, apa saja dia jumpa, mata dia sentiasa mencari tahi/kekotoran.

...

Berbaik sangka jangan mudah berburuk sangka.

Mencari kebaikan pada orang bukan mencari-cari keburukan dan kekurangan.

Kalau cara pandang kita pada orang lain adalah tidak baik..'kotor'..mungkin itu menggambarkan hati yang ada dalam diri kita tu 'kotor'..

Jadi..mari cuci kekotoran hati.

Dengan istighfar dan ubah cara kita dalam menjalani hidup..

Yang Allah suruh kita buat dan jangan tinggal. Yang Allah larang kita tinggal dan jangan buat.


Wednesday, February 8, 2012

Letih dan seronok..


"Letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang, kebaikan akan kekal. Seronok melakukan dosa dan kejahatan, keseronokan akan hilang, dosa akan kekal"

Wednesday, February 1, 2012

When we feel like cannot make the best decision..



“Bila kita tak dapat putuskan keputusan terbaik atau cara terbaik dalam menghadapi permasalahan atau urusan dalam kehidupan kita, mungkin itu tandanya kita perlu berjalan dan berusaha untuk cari dan tambah maklumat sebelum kita kembali semula ke meja rundingan untuk membuat keputusan”

…

“When we feel that we cannot make the best decision in our live, maybe its sign for us to take some time to look up for more information and search for more knowledge before we come back again to make the right and best decision”

Sering aku tertanya-tanya..



Terlalu banyak nikmat yang aku perolehi dalam kehidupan ni. Terlalu banyak pemberian yang Allah beri kepadaku dalam kehidupan..

Allah aturkan aturan kehidupan dengan amat baik sekali. Dengan penuh hikmah. Kebaikan dan kesenangan dinikmati dan dihayati. Kesukaran, kepayahan dan ujian pula..penuh dengan seribu satu kebaikan.

Syukurku walau beribu tahun usiaku dihabiskan untuk tidak putus-putus mengungkapkan kalimah syukur kepada-Mu, pasti tak akan juga sama dengan nilainya dengan nikmat-Mu yang Kau berikan kepadaku tidak putus-putus.

Cubala bayar nilaian sebelah mata sahaja..

Subhanallah..Nilainya adalah..sangat bernilai..valuable..Baru satu nikmat..Bagaimana dengan nikmat lain..dari sekecil-kecil nikmat..hingga sebesar-besar nikmat..sungguh..sangat berharga Ya Allah..

...

Sering aku tertanya-tanya..

Apakah yang aku buat hingga Allah bagi aku nikmat sebegitu banyak begini? Apakah usaha yang telah aku buat? Atau adakah disebabkan berkat doa dari ibuku? Atau berkat doa dari mereka yang makbul doanya?
…

Tiada jawapan.
…

Ya, memang tiada jawapan..kerana soalan itu salah..ia sepatutnya berbunyi begini..

Kenapa Allah bagikan segala nikmat dan pemberian yang sangat berharga kepadaku?


Jawapannya mudah.


Kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang..Rahmat Allah meliputi seluruh langit dan bumi..Pemberian Allah dengan kasih sayang dan rahmat-Nya yang sangat banyak dan tidak putus-putus kepada semua makhluk Allah tidak mengurangkan sedikit pun kekuasaan dan kemampuan Allah. Subhanallah..Maha Suci Allah..


Dan jawapannya lagi..


Allah berikan nikmat-nikmat itu supaya kau menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur..

...

“Ya Allah..jadikan kami semua hamba-Mu yang sentiasa bersyukur..”

...

..syukuri nikmat..dari sekecil-kecil nikmat..hingga sebesar-besar nikmat..kau sangka ia kecil..tapi berharganya ia akan hanya diketahui bila nikmat itu diangkat..jangan sampai nikmat diangkat..

...

Sesiapa yang mensyukuri nikmat Allah, Allah akan tambah nikmat-Nya..Sesiapa yang mengkufuri nikmat Allah (tidak mensyukuri nikmat Allah)..azab Allah sangat pedih..


Thursday, January 12, 2012

Orang Gila




Satu hari dalam perjalanan nak balik dari kerja, saya singgah kedai mamak. Order nasi kandaq. Lapar juga sebab tengah hari tu tak makan tengah hari.

Sampai kedai, mamak depan nasi kandaq tu pandang saya..

Saya cakap...”makan sini..”

“Nasi biasa ka tambah (luar biasa)?”

“Em..tambah..(ok gak, selalu nasi dia macam sikit dan tak cukup. Aku pulak tengah lapar.)

Mamak isi nasi..

“Kuah campur?”

“Campur..”

“Lauk?”

“Ayam tu..(tunjuk kat ayam goreng)”

“Em, nak sayur tu ya..(tunjuk kat sayur kobis goreng)”

Mamak angguk..letak sayur..Biasa aku makan kat situ tak letak sayur..jimat sikit..kali ni nak makan spesel sikit..

Aku duduk kat meja..datang bil..RM 6 lebih untuk nasi tu..em..mahal dari biasa..kalau takda sayur dan nasi biasa, dapat RM 4 lebih ja..

Aku nak mula makan..tengok ayam..alamak..bahagian yang banyak isi..lupa nak minta kepak atau peha tadi..

Entah macam mana..selera aku nak makan jadi kurang..mungkin sebab banyak minum air kot sebelum makan..tak pun sebab dapat ayam bahagian aku tak berminat..atau mungkin sebab gigi sakit..

Makan ja la..Tak baik membazir..

Em..banyak pula nasi ni..

....…..

Port meja yang aku pilih memang baik..tepi jalan..boleh tengok gelagat manusia..sambil tengok dan rasai kesejukan hujan..

Syoknya hujan..tidur pun best..untung dapat balik awal arini..aku mengelamun dan berangan sorang-sorang..

Tengah aku duk syok mengelamun dan berangan..datang seorang lelaki melintas depan aku..ish..gila tak pakai baju depan orang ramai ni..

Em, seluar pakai la..badan kurus..gelap..rambut tak terurus..bawa satu plastik air..macam teh ais..tapi dah nak habis..

Oh..orang gila..

Dari mana ntah dia dapat air tu..pandai ka dia beli? Mana dia dapat duit? Macam mana dia boleh hidup dengan tak bekerja dan dalam keadaan macam tu ya?

Em, abaikan..baik aku teruskan misi untuk habiskan nasi ni..

……

Aduh..da tak larat nak habiskan..memang tak boleh nak masuk da nasi ni..Em..xpa..cuba habiskan ayam yang banyak tu dulu..

Em..tak dapat nak habiskan juga..

Macam mana ni..tak silap..membazir tu berdosa..Em, taknak dapat dosa..

Cuba punya cuba..tak habis juga..Aku dapat makan kurang separuh ja..Terpaksa tinggalkan nasi tu..Nak bungkus segan (sebab aku pemalu)..

Apala nasib kau nasi..mesti nanti mamak akan buang dalam tong sampah..
Sayangnya..

…...

Dah..jom balik..

Aku pegi bayar..

Masa nak jalan balik..Aku tengokla balik nasib nasi aku atas meja tadi..

Aik? Ada orang da duduk kat meja tu..cepat betul mamak clearkan meja..


Tengok gelas kat atas meja tu..kosong..

Perhati betul-betul orang di meja tu..

Oh..orang gila tadi..Dia makan nasi aku dengan sangat berselera..

Subhanallah..rupanya nasi tu rezeki dia..

Pengajaran:
  1. Subhanallah..Allah sebaik-baik Pentadbir..Allah Maha Pemberi Rezeki..Sifat Maha Pengasih dan Penyayang Allah meliputi seluruh makhluk langit dan bumi..tak kira dia manusia..haiwan..berakal..tak berakal..Islam..bukan Islam..
  2. Pengetahuan kita tentang nikmat dan kebesaran Allah tak terjangkau..Dan Allah sebaik-baik Perancang..Rupa-rupanya..Allah rancang..nasi yang banyak..lauk yang lebih spesel dari biasa..rupanya rezeki untuk orang gila tu..Allah tunjukkan betapa perancangan Allah sangat teliti dan rapi.
  3. Ada orang diberi nikmat, tapi tak dapat menikmati nikmat yang dia ada.
  4. Ada orang diberi nikmat, tapi tak dapat mensyukuri nikmat yang dia ada.
  5. Ada orang kaya, tapi tak bahagia..Duit yang banyak tak cukup dan tak puas untuk dia. Ada kereta..Nak kereta lebih besar. Ada harta, nak harta yang lebih banyak. Kejar harta dan kemewahan tanpa sempat bersyukur pada Allah, pemberi harta dan nikmat tu..
  6. Ada orang miskin dan serba kekurangan tapi bahagia, merasa cukup dan tenang.
  7. Nikmat paling besar adalah nikmat iman.
  8. Cara terbaik dalam menerima nikmat adalah dengan bersyukur..Antara cara bersyukur..berkongsi nikmat yang kita terima.
  9. Em, siapa la kita..kerdilnya kita..nak dibandingkan dengan nikmat dan kekuasaan Allah..Maha Suci Allah..Maha Agungnya kekuasaan Allah..Maha Pemurah dan Penyayangnya Allah. Subhanallah..

p/s: Maaf agak kasar panggilan 'orang gila'..mungkin boleh dipanggil orang bermasalah mental/orang kurang siuman. Digunakan istilah 'orang gila' untuk mudah cerita dan sampai mesej.

Wednesday, January 4, 2012

Kecewa Dengan Diri Sendiri



Satu hari aku merasa sangat kecewa dengan diri sendiri..
Kecewa..
Setiap hari berusaha untuk mengubah diri..
Setiap hari memasang azam..
Setiap hari menginsafi dosa..
Namun, setiap hari masih sama..
Masih diri yang sama..
Perubahan diri masih tak dicapai.
Kadangkala rasa mahu berputus asa..
Kecewa dengan diri..

Satu hari seorang sahabat datang menasihati..

Teman..kau sangka..hanya dengan usahamu..kau mampu berubah?
Kau lupa sesuatu teman..
Kau lupa..setiap usahamu itu..sedikit pun tidak mampu membantumu berubah..melainkan dengan izin dan kehendak Allah..

Kau sombong.

Kau sangka dengan usaha kau saja, perubahan yang kau usahakan akan berjaya..
Kau lupa untuk meminta pada Allah..agar Allah memudahkan usahamu..
Agar Allah menjayakan perubahan yang kau usahakan itu..
Allah menegurmu..Usah sombong..

................

…Jangan hanya bila susah ingat Allah..bila senang lupakan Allah...

Sunday, January 1, 2012

Mengapa Tak Menghargai, Mengapa Tak Mensyukuri



Mengapa memandang pada banyaknya kelemahan dan kekurangan diri sedangkan begitu banyak kelebihan dan pencapaian yang dikecapi..



Mengapa rungsing pada yang tak dapat diubah sedang di depan mata, banyak yang boleh berubah..



Mengapa kesalkan kegagalan diri, sedang tempoh memperbaiki diri masih banyak berbaki.

Thursday, December 29, 2011

Masalah datang untuk diselesaikan, bukan untuk dirisaukan


Bila masalah datang..


Risau + tak cari jalan penyelesaian = 

Tak guna, buang masa, buang tenaga, tambah tekanan, menyusahkan & bertambah masalah

Sabar + cari jalan penyelesaian = 

Ketenangan, ketenteraman, kurang tekanan, bertambah idea, bertambah usaha, bertambah jalan penyelesaian




Sunday, March 27, 2011

Aku bersyukur Ya Allah




Sebelum kita sama-sama meneruskan pembacaan..

Cuba kita bayangkan satu masa sebelum ni di mana kita sering terjerumus dalam lembah dosa..jika ada..

Satu masa yang kita sering meninggalkan solat fardu atau cuai dalam melaksanakan solat fardu..satu masa yang kita pernah sering tidak menutup aurat dengan sempurna atau pernah tidak menutup aurat langsung setelah baligh..satu masa di mana kita pernah sering melawan atau meninggikan suara kepada ibu bapa kita..sering berbohong dalam berkata-kata.sering tidak amanah dengan tanggungjawab-tangungjawab kita..atau mugkin kita pernah sering memakan harta dari sumber yang haram..Mungkin juga kita pernah punyai hobi 'mencuci mata'..atau melakukan perkara-perkara lain yang mendekati zina (zina mata, zina mulut, zina tangan, zina kaki,zina hati).

Tuesday, March 22, 2011

Caci-maki kepada kesakitan?













"Sakit..sakit..Aarghh..Sakit.."





Dia merintih. Kesakitan jarang singgah dalam hidupnya. Bila kesakitan datang..terlalu perit dirasakannya..terlalu menganggu baginya..





Terasa seperti mahu dicaci-makinya kesakitan itu..Terasa seperti sentiasa rasa mahu mengeluh dengan apa yang ditimpanya itu.





Oh? Caci-maki kepada kesakitan? Keluhan kepada kesakitan? Bukankan kesakitan itu sepatutnya menambah keimanan dan darjat dalam diri seseorang hamba Allah.

Thursday, February 17, 2011

Jaga Keaiban Orang dan Tolong-menolong


Hadis ni sangat penting buat diri yang suka bercerita tentang kejelekan atau kekurangan orang lain. Kadang-kadang tanpa sedar, mungkin bertujuan untuk mengadu sesuatu atau sekadar mahu memeriahkan pertemuan bersama sahabat-sahabat dengan cerita-cerita hangat.

Hadis ni juga penting dan sesuai untuk orang yang pentingkan diri sendiri dan suka hidup sendirian tanpa mempedulikan hal orang lain. Yang hanya mementingkan keselamatan dan kesenangan diri sendiri. Tak peduli sama ada saudara muslimnya senang atau susah. Tolong diri sendiri ja, taknak tolong orang lain.

Juga saya ada dengar, hadis ni sesuai untuk orang yang mengharapkan pertolongan Allah dalam urusannya..


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “…dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah ta’ala akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah ta’ala akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya…” (HR Muslim)


Jadi mari kita jaga keaiban diri kita, keluarga kita dan saudara-saudara muslim kita. Mari juga kita banyakkan bantu keluarga kita dan saudara-saudara muslim kita, dan moga dapat kita lakukannya ikhlas kerana Allah.


p/s: Ada keaiban boleh atau kadangkala wajib diperkatakan pada orang lain. Ada perbincangannya tentang hal ni. Boleh rujuk pada ustaz dan ustazah.

Fa Sobrun Jameel


Sungguh..

Islam mengajar kita supaya selalu bersabar. Sering ia dijadikan peringatan diri. Walau perasaan dalam diri itu membuak-buak mahu melepaskan diri dari ikatan sabar yang dibentuk dalam diri. Saat diri mula cuba mengeluh dan ikatan sabar itu makin longgar..Tiba-tiba datang peringatan bertubi-tubi dari Allah dan Rasul..


Surah al-ankabut ayat 2-3:

2- Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

3- Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.


Al Baqarah ayat 155:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.


Al Kahfi ayat 7:

Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.


Al Kahfi ayat 31:

Dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami) dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.


Hud ayat 7:

Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ArasyNya berada di atas air. Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan demi sesungguhnya! ...


Al An’aam ayat 165:

Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Al Fajr ayat 15-16:

15-(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya, (dia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: Tuhanku telah memuliakan daku!

16- Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!


Al Anbiyaa' ayat 35:

Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.


Al Baqarah ayat 214:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).


Berkata Abul Asy’ats ash Shan’aani r.a. bahawa Nabi saw bersabda:

Allah telah berfirman:

“Apabila Aku menguji salah seorang dari hamba-hamba Ku yang mukmin, lalu ia memuji Ku atas apa yang telah Aku ujinya, nescaya Aku akan perintahkan kepada Malaikat Ku agar ‘Kamu catatkan pahala-pahala dari amalannya, seperti yang biasa kamu catatkan sebelum ini’”. (Riwayat Ahmad, Hakim dan Abu Nu’aim)

Kata ustaz, mukmin itu diuji untuk diampunkan dosa-dosa kecilnya atau untuk dinaikkan darjatnya disisi Allah. Dah tentu bergantung kepada cara kita menghadapi ujian itu. Bila kita bersabar dan redha dengan ujian itu, insyaAllah dosa-dosa kecil kita diampunkan. Jika berpeluang dan diberi rezeki, darjat kita di sisi Allah akan dinaikkan.

Jadi, patutkah diri berhenti bersabar, mengeluh dan tidak redha dengan ujian yang diberi Allah? Siapa kita untuk mengeluh, marah atau berputus asa dengan ujian yang ditimpakan kepada diri? Nauzubillah..

Tuesday, February 15, 2011

Kerlipan Cinta



...KU KEMBARA SETIA DISISINYA..KU INGINKAN BAHAGIA ABADI..KU IMPIKAN SENTOSA NAUNGANNYA..SELAMANYA...

Sebelum teruskan bacaan..buka link ni dulu:
http://www.youtube.com/watch?v=XwN0wY28M44


Hidayah kerlipan cipta cintaku
Harum rembulan mawar
Dingin dihakis cita keseorangan
Aku masih menghitung diri
Kesiangan yang panjang
Ingin mengisi hati


Padamu kasih
Satukan aku
Dengan rahmatmu
Dengan kalimah
Malam siangku
Berliku-liku
Duri dugaan
Siratan cinta


Biar di jembala mentari
Dan di bahu gunung berapi
Pasrahku abadi untukmu untukmu


Ku kembara setia disisinya
Ku inginkan bahagia abadi
Ku impikan sentosa naungannya
Selamanya


Hidayah kerlipan cipta cintaku
Harum rembulan mawar


Padamu kasih
Satukan aku
Dengan rahmatmu
Dengan kalimah
Malam siangku
Berliku-liku
Duri dugaan
Siratan cinta


Biar di jembala mentari
Dan di bahu gunung berapi
Pasrahku abadi untukmu untukmu


KU KEMBARA SETIA DISISINYA
KU INGINKAN BAHAGIA ABADI
KU IMPIKAN SENTOSA NAUNGANNYA
SELAMANYA


Hidayah kerlipan cipta cintaku
Harum rembulan mawar
Dingin dihakis cita keseorangan

Rabbani.

Monday, January 24, 2011

Selamat Jalan Tok


Selamat jalan tok. Kehidupan ni tak lain hanya seperti musafir di tengah jalan, di dunia hanya seolah-olah kita berhenti seketika untuk berehat, kemudian kita akan meneruskan perjalanan menuju kita menuju akhirat. Kami akan menyusul pula kemudian...

Tanggal 16 Safar 1423 Hijrah bersamaan 21 Januari 2011.. Pagi Jumaat..Hospital Besar Terengganu..Tepat waktu Subuh..Tok pergi di usia kira-kira 72 tahun. Diiringi laungan azan Subuh dari beberapa buah masjid dan surau berdekatan.

Petang sebelumnya tok muntah dan pengsan dan akhirnya koma. Darah tinggi tok terlalu tinggi. Di hospital Dr. Cakap ada darah beku kt kepala tok. Pembedahan tak boleh dilakukan kerana darah beku tersebut ada di bahagian penting otak dan tok dah terlalu berusia. Dr. Kata dah tak boleh buat apa-apa. Peluang hanya 50-50. Tunggu ja..

Tok mempunyai sejarah tersendiri dan tok sama dengan nenek-nenek orang lain. Manusia biasa dengan perwatakan tersendiri. Uniknya tok tak pandai membaca. Bacaan sembahyang dan lain-lain tok belajar melalui hafalan. Di usia yang telah lanjut, tok masih berusaha keras menambah ilmu agamanya dan pengamalan agamanya. Belajar perbetulkan bacaan al-Quran, hadir kelas-kelas pengajian agama walaupun  agak jauh dari rumah, istiqamah bersolat jemaah di surau terutama maghrib, isyak dan subuh, istiqamah bangun dan solat malam, dan banyak berzikir.

Bila bersama dengan tok, aku banyak muhasabah diri, dan melihat dua dunia yang berbeza. Membayangkan jarak umurku dengan tok hampir 50 tahun dan memikirkan betapa banyaknya pengalaman hidup yang tok dah lalui.. Tok tak malu belajar. Di rumah, tok tak malu meminta cucu-cucunnya yang tahu untuk memeriksa bacaan al-Quran. Atau periksa hafalan tok berkenaan isi kitab yang tok belajar di kelas pengajian agama. Aku yang tahu sikit-sikit ni juga kadang kala diminta tok untuk periksa bacaannya. Kali terakhir aku dengar tok baca al-Quran dan perbetulkan dan perkemaskan bacaan tok adalah kira-kira seminggu lepas. Tok sangat gigih beramal dan tak berputus asa. Sangat tak berputus asa. Subhanallah.

Bila aku bersama tok dan cuba memikirkan keadaan Malaysia pada zaman beliau muda-muda dulu, aku sentiasa bermuhasabah tentang pentingnya aku bersyukur sebab di zaman sekarang mudah untuk menuntut ilmu. Bertapa aku harus bersyukur dengan pelbagai kemudahan yang ada di zaman sekarang. Ilmu mudah diperolehi di mana-mana sahaja. Persoalannya hanya pada diri kita, nak atau tak nak.

Juga aku bermuhasabah betapa aku harus bersyukur dengan nikmat kurniaan umur yang diberi padaku. Peluang yang diberi padaku untuk memperbanyakkan amal di usia muda, di saat tenagaku banyak dan kesihatan yang baik. Aku patut bersyukur sebab Allah masih bagi nikmat nyawa. Allah masih bagi  peluang untuk aku bertaubat atas dosa-dosa yang dah aku lakukan.

Emm..masa tok koma tu, lewat malam tu baru aku dapat berita dari mak tentang keadaan tok yang tidak pasti boleh diselamatkan atau tak. Aku jadi risau dan rasa tak sedap hati. Lagipun waktu aku bersama tok dalam seminggu sebelum tok pegi, ada kata-kata tok yang aku dengar lain macam ayatnya.

Aku buat keputusan untuk drive ke Terengganu dari Bangi waktu tu juga. Dalam 12 malam lebih aku bertolak. Mula-mula aku drive dalam keadaan agak emosi, tapi selepas mendapat beberapa ‘peringatan’ waktu aku drive, aku mula sedar tentang kepentingan aku drive dengan baik dan jaga keselamatan diri aku. Aku serapkan rasa redha dalam diri, jika pemergian tok adalah takdir yang akan aku tempuh. Aku perlu tabah dan ingat itu semua adalah di bawah kekuasaan dan kehendak Allah. Aku Cuma jeritkan dalam hati..

”Tok, tunggu saya balik dulu ya..”

.. dan serapkan harapan dalam doa..

“Ya Allah..kalau Kau nak ambil tok, moga aku sempat jumpa tok dulu”..

Aku berkira-kira. Kalau naik bas, dalam pukul 8 baru boleh sampai, naik kereta pun sebelum ni lebih kurang macam tu juga. Em, by hook or by crook, aku nak sampai paling lewat pukul 6 pagi. Ntahla macam mana aku drive. Alhamdulillah Allah selamatkan aku. Dengan hujan lebatnya dan gelapnya di jalan Genting Highland – Karak, dengan sunyinya lebuhraya pantai timur, dan dengan mata aku yang agak silau malam-malam ni..Aku Berjaya sampai di Hospital Besar Terengganu jam 5 lebih. Aku bacakan Yaasin untuk tok, yang bagiku mungkin itu kali terakhir aku bacakan untuk tok di usia hidupnya..

”Tok..kali ni tok tak payah baca ya. Tok dengar ja saya bacakan..”

Nafas tok dah tak menentu bila aku nak habiskan bacaan Yaasin..aku kuatkan semangat..walau sebak. Aku taknak tok tak dapat dengar aku habis baca. Kemudian aku kucup dahi tok dan aku tunggu di luar. Tak elok kot aku duduk lama-lama di wad perempuan di awal-awal pagi ni.

Dalam 15 minit lepas tu, mak call. Panggil masuk, mak cakap dalam nada cemas, tok ‘senyap’ ni..Hmm..aku masuk..aku redha..ku bisikkan kalimah Laailahaillallah 3x

”Tok dah banyak kali sebut tadi kan..” lepas aku dapat rasakan tok dah pergi sebelum aku masuk tadi..

Emm..sebenarnya, Subhanallah..Maha Suci Allah..masa aku baru nak baca Yaasin kat tok sebelum tu, masa aku duk dekat dengan tok, aku dapat dengar bunyi dan rentak nafas tok seolah-olah tok sedang berzikir ‘Laalilhaillallah’..Aku amati betul-betul beberapa kali..memang aku tak salah lagi..Seperti nada orang berzikir ‘Laailahaillallah’ waktu majlis tahlil.

Subhanallah..memang layak untuk tok..biasanya waktu ni tok baru siap sembayang malam dan tunggu Subuh atau berjalan ke surau nak solat Subuh berjemaah.
Aku redha..aku redha..

Em, banyak pengalaman bersama tok. Antaranya di usia-usia akhir tok, aku pernah gi lepak berdua dengan tok kat kedai goreng pisang. Kitorang makan ikan celup tepung, keropok, goreng pisang dan air kelapa. Lepak tepi pantai kat masjid terapung sambil rasa angin pantai. Gi berkelah kat air terjun sekayu dan lain-lain. Antara pengalaman terakhir bersama tok, masa kami dalam perjalanan nak balik ke rumah, dalam kereta. Dengar ustaz dengan loghat Terengganu pekat, baca dan bahaskan kitab Tanhibul Ghafilin dalam Radio Malaysia Terengganu, Siaran Ahad, 6 petang... ustaz dari UNISZA. Bila nak berehenti kereta, tok kata tak payah matikan radio, ‘sedap’ pulak dengar.

Em, semalam masa on the way nak balik Bangi, ada pulak siaran sambungan rancangan yang aku dengar dengan tok aritu..Huu~ Kali ni aku dengar sorang..Bukan dengan tok lagi..

Bagiku tok pergi dengan husnul khatimah. Koma tok dalam keadaan berzikir, pergi tok hari Jumaat, waktu masuk Subuh, diiringi azan Subuh, jenazah tok disembahyangkan oleh ramai orang di masjid serta bersaf-saf, dan urusan pengebumian tok dibantu walau oleh orang yang tak mengenali tok. Moga Allah menempatkan tok di kalangan orang yang benar-benar beriman dan beramal soleh. Sifat tok yang tidak berputus asa dalam menuntut ilmu dan beramal.. serta tidak berputus asa dari rahmat Allah..akan aku jadikan contoh dan pelajaran penting dalam hidup.

Al-Fatihah untuk tok.

Monday, January 10, 2011

Sungguh benar..pilihan itu sebenarnya di tangan kita..



Saya percaya kita semua sering diberikan petunjuk dan hidayah oleh Allah. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..tak kira seteruk mana pun kita, sebanyak mana pun dosa kita..Hidayah dan petunjuk dari Allah sentiasa datang kepada kita. Cuma kita sedar atau tidak ja, dan kita nak terima atau tak ja. Macam saya ada dengar ustaz kata..kita terima hidayah tu, tapi kita tak dapat taufiq nya..





Contohnya, macam bila kita jalan-jalan di blog-blog orang, tiba-tiba kita terjumpa satu artikel nasihat atau peringatan, itu salah satu sumber hidayah, kalau kita tak mahu menerimanya, kita akan cepat-cepat tutup blog tu.





Juga bila kawan kita atau orang yang kenal kita, tiba-tiba satu hari tu cuba nak nasihatkan kita sikit..macam bila kita dengar ayat dia..




"Bro, aku nak cakap sikit la pasal tadi tu.." (bila kita ada buat salah sikit tadi)..




"Abang..haritu zack dengar dalam tv kata tak boleh buat macam ni..dalam tv tu kata.."




"Jo, jangan buat macam tu (mak faham kamu sekolah tinggi dan lebih pandai dari mak), tak elok orang pandang nanti.."





Jangan kita melenting..wujudkan satu kesabaran dalam diri, rendahkan ego..dan pasang telinga untuk dengar apa teguran atau pendapat yang akan diberikan tu..usahakan untuk resapkannya dalam hati..



Walaupun kita mungkin rasa orang yang menegur atau menasihati tu kurang ilmu dari kita atau kurang pangkatnya dari kita..atau nak tunjuk pandai pada kita..



Tugas kita yang sepatutnya adalah dengar, walaupun kita mungkin tahu apa yang dia akan perkatakan adalah perkara yang kita sedia tahu..Dengar dan tak perlu bagitahu yang kita dah tahu..andai kita tahu, ia akan jadi peringatan untuk kita(lumrah manusia itu mudah lupa dan perlu sering diingatkan)..ucapkan terima kasih padanya..



Mungkin itu sumber hidayah untuk kita mengamalkan ilmu yang kita ada dan tetap istiqamah dengan jalan kebaikan dan menjauhi kemungkaran. Jadi jangan lari, melenting atau mengelak sumber hidayah tu..moga kita boleh mendapat taufiq daripadanya.





Sungguh benarlah pilihan itu di tangan kita..nak jadi orang baik atau orang jahat..nak jadi orang yang separuh beriman separuh lagi kufur atau nak jadi sepenuhnya beriman..nak jadi orang benar-benar beriman atau nak jadi orang munafik atau fasik..



Nak berterusan 'istiqamah' dengan dosa atau nak segera bertaubat dan berusaha berubah dan meninggalkan amalan-amalan dosa kita tu.



Nak berterusan setiap hari "cuci mata" (bagi lelaki)atau nak berjihad dengan nafsu (mujahadah) dengan 'menundukkan' pandangan.



Nak berterusan tak tutup aurat dengan sempurna atau nak mulakan perubahan ke arah menyempurnakan cara kita menutup aurat.



Pilihan di tangan kita..Nak dosa atau pahala..Nak syurga atau neraka..

Nak keredhaan Allah atau nak kemurkaan Allah..





"Ya Allah kami memohon dariMu KeredhaanMu dan syurga, dan kami memohon perlindunganMu dari kemurkaanMu dan dari neraka."


Saturday, January 1, 2011

Harga Masa


Post ini saya tulis setelah terbaca artikel yang tertampal di papan kenyataan di luar bilik seorang pensyarah. Ia adalah artikel dari blog ustaz Hasrizal. Perkongsian ini lebih kepada mahu mengingati diri yang sering tidak berjaya dalam usaha mendisiplinkan diri dalam menghargai masa di samping sebagai perkongsian bersama pembaca. Mari kita lihat sedikit sebanyak apa yang dikongsikan oleh ustaz Hasrizal dari salah satu post di blognya yang telah saya olah serba sedikit untuk manfaat bersama.


....



To realize the value of ONE YEAR,
Ask a student who failed his or her final exam.


(saya tak pernah rasa pengalaman ni, boleh cuba tanya mereka yang terpaksa repeat paper sem akhir di Universiti jika ada.saya tumpang bersimpati)


To realize the value of ONE MONTH,
Ask a mother who gave birth to a premature baby.


(Em..mungkin bila anak yang lahir tu pra-matang, anak tu terpaksa diletakkan dalam satu bilik khas untuk jagaan khas dan mungkin anak tu ada kompilasi tertentu juga)



To realize the value of ONE WEEK,
Ask an editor of a weekly magazine.



To realize the value of ONE DAY,
Ask a daily wage laborer who has six kids to feed.


(Ini saya rasa kalau nak aplikasi kat Malaysia, cuba tanya orang yang kerja gaji hari..Boleh jumpa di kawasan pembinaan dan lain-lain..Gaji sejam tu sangat berharga..Hingga ada yang tak mahu bercuti bila perlu bercuti sebab dah rugi banyak duit bila cuti satu hari)



To realize the value of ONE HOUR,
Ask the lovers who are waiting to meet.



To realize the value of ONE MINUTE,
Ask a person who missed his or her train


(Erm, tak tahu..yang saya tahu, boleh tanya orang yang terlepas flight, rakan saya ada pengalaman ni untuk penerbangan Sarawak ke Semenanjung..terlepas flight..Terpaksa beli tiket baru..Burn beratus ringgit..)


To realize the value of ONE SECOND,
Ask the person who survived an accident


(Fuh..Alhamdulillah..Em, macam pernah alami ja..Kalau tak diberi peluang dan dipanjangkan nyawa mungkin tak wujud blog ni..)



To realize the value of ONE MILLISECOND,
Ask the person who won a silver medal in the Olympics.


AND
To realize the value of this precious LIFE,
Ask the person who is now six feet under!


Erm, yang ini ustaz Hasrizal tambah..Mungkin juga seperti apa yang Allah nyatakan dalam al-Quran, berkenaan penyesalan yang di hadapi oleh orang kafir bila maut datang kepada mereka:





(Demikianlah keadaan orang-orang kafir itu), hingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata, “Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), agar aku dapat berbuat kebajikan yang telah aku tinggalkan.” Sekali-kali tidak! Sungguh itu adalah dalih yang diucapkannya saja. Dan di hadapan mereka ada *barzakh sampai pada hari mereka dibangkitkan. [Al-Mu’minun 23: 99-100]


*barzakh yaitu tempat atau keadaan orang yang setelah mati sampai dia dibangkitkan pada hari Kiamat



.....



Maka, apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras (untuk urusan lain). Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap.


[Asy-Syarh/al-Insyirah 94:7-8]



* Artikel ini mengambil dan mengulas serba sedikit artikel ustaz Hasrizal dari post "The Value of Time" tanpa bertujuan untuk menciplak ideanya dalam post tersebut. Ustaz Hasrizal juga merujuk kata-kata yang diperolehi dari buku The 7 Habits of Highly Effective Teens by Sean Covey, (muka surat 127). Sekadar perkongsian untuk menambah pemahaman kita kepada mesej peringatan yang cuba disampaikan oleh ustaz Hasrizal.

Friday, December 31, 2010

Dirimu mujahid..


Wahai diri..janga lupa..dirimu mujahid..andai bukan mujahid di medan perang..dirimu mujahid melawan hawa nafsu mu dan godaan syaitan dan iblis..lumrah perjuangan pasti ada jatuh bangun..menang dan tewas..tapi usah putus asa..


Suka dengan perkongsian seorang rakan seperjuangan..


“Jika kau lemah, jadikan Allah sebagai tempat meluahkan rasa.
Jika kau goyah, kau perlu kuat kerana kau pembawa agama.
Jika kau rebah, kau harus tabah kerana kau mujahid muda..
Semoga menjadi pemuda yang dirindukan syurga..”

Friday, October 29, 2010

Orang yang cemerlang



Kata seorang motivator tempatan yang pernah popular dulu tapi kini sudah menyepi, orang yang cemerlang punyai sifat Ego Diri Tinggi.



Pada pendapat saya, bila difikirkan, sebagai orang Islam, ego diri tinggi hanya satu istilah yang takde kaitan dengan sifat ego. Ia hanya gabungan sifat yang ada pada diri orang yang cemerlang iaitu tidak mudah berputus asa, berani, tidak mudah ditindas atau dipijak, sentiasa menjaga maruahnya, yakin diri yang tinggi, bersemangat tinggi.



Orang yang cemerlang tidak mudah kecewa dengan kegagalannya, dan tidak mudah berputus asa, dan tidak pernah berhenti berusaha. Tidak pernah terfikir di mindanya untuk kecewa dengan diri. Baginya kegagalan hanyalah maklum balasa dari kehidupan, dan ujian Allah. Dari kegagalan dia belajar, dan dengan kegagalan dia menjadi lebih kuat dan bukan menjadi lebih lemah.



Orang cemerlang mempunyai pendirian diri yang mantap dan tidak mudah goyah. Dia punyai prinsip yang jelas atas pendirian yang dipegang. Dia tidak seperti lalang yang hanya mengikut arah mana angin bertiup. Dia ada hala tuju sendiri dan dia tak peduli samaada hala tuju tersebut sama dengann hala tuju ramai orang atau tidak. Dia tak peduli jika dia melawan arus, yang dia tahu dia ada prinsip yang benar. Prinsip yang dipandu oleh al-Quran dan hadis.



Bagi orang yang cemerlang, masa terlalu berharga baginya. Masa adalah satu sumber pelaburan yang penting. Dengan masa boleh menghasilkan wang yang bayak, dengan masa boleh mengumpul pahala yang banyak, dengan masa boleh mengeratkan silaturrahim, dengan masa boleh meningkatkan kesihatan badan, dan dengan masa boleh menambah ilmu.



Bagi orang yang cemerlang ilmu itu sangat -sangat penting dan sangat-sangat berharga. Ilmu itu yang membezakan seseorang. Orang yang kaya ilmu sebenarnya orang yang benar-benar kaya. Dengan ilmu lebih mudah untuk melakukan banyak perkara. Dengan ilmu orang yang cemerlang mampu menjadi lebih cemeralang dan pergi lebih jauh dalan laluan kecemerlangan.



Bagi orang yang cemerlang sehebat mana pun kecemerlangannya sentiasa perlu ada sifat tawadhuk dalam dirinya. Perlu ada sifat menghormati orang lain. Perlu ada sifat tidak sombong, tidak riyak dan tidak ujub. Bagi orang yang cemerlang, kecemeralangannya hanya pinjaman dari Allah. Kecemerlangannya adalah dari Allah. Kecemerlangannya adalah milik Allah.



Tidak terlintas di fikirannya bahawa kecemelangannnya adalah atas usahanya sendiri sebab dia tahu anggota badan yang dia gunakan untuk berusaha adalah pemberian dan pinjaman dari Allah, firan yang sihat yang ada padanya adalah juga pemberian Allah, kesihatan badan yang ada padanya yang membolehkannya terus berusaha adalah milik Allah, semangat yang tinggi dan rasa tidak mudah mengalah dan putus asa juga adalah bantuan dan pemberian dari Allah. Jika Allah tidak mengizinkannya untuk cemerlang sudah pasti dia tidak cemerlang seperti mana yang dikecapinya sekarang.



Dia sedar tentang keperluan berusaha, dan dalam masa ynag sama juga dia sedar akan status dirinya sebaga hamba Allah.



Jadi usah putus asa, usaha habis-habisan, tiada ruang untuk dirimu berduka cita dengan kegagalan, beri kemaafan kepada dirimu atas ketidakmampuannya untuk tetap teguh dengan prinsip orang cemerlang yang dipegang dirimu..Diri ini manusia..yang tidak pernah lari dari membuat kesilapan. Yang penting usah putus asa dan usah berhenti berusaha.



Sertakan usahamnu dengan doa memohon bantuan dari Illahi, mohon dipermudahkan urusan, mohon supaya usahamu untuk mendapat kecemerlangan akan berjaya. Mohon ampun juga atas dosa-dosamu. Dan sentiasa perbetulkan niat. Tujuan kita mahu cemerlang adalah kerana mahukan keredhaan Allah.



Dengan kecemerlangan kita akan dapat lebih membantu, dengan kecemerlangan kita akan dapat meningkatkan maruah umat Islam, dengan kecemerlangan kita akan dapat meningkatkan kemajuan umat Islam, dengan kecemerlangan kita dapat memperbanyakkan ibadah, dengan kecemerlangan kita dapat melawan musuh-musuh Islam.

Sunday, September 5, 2010

Semoga Dapat Mencontohi Didikan Ayah


Saja letak gambar saya masa kecil



Waktu saya pergi sembahyang terawih di masjid, saya suka tengok ayah-ayah yang bawa anak-anak kecil mereka. Ada yang bawa anak kecil lelaki, ada bawa anak kecil perempuan..ada bawa seorang anak..ada bawa 2-3 orang anak. Purata umur mereka dari 2 tahun ke umur awal sekolah rendah..dalam 7-8 tahun.





Saya suka lihat cara bagaimana mereka mendidik anak-anak mereka. Dengan membawa anak ke masjid secara tak langsung mereka didik anak-anak mereka untuk dekat dengan masjid, dan dengan ajaran agama Islam, di samping mengajar dan memberi peluang kepada anak-anak mereka belajar bersolat atau menghayati amalan solat. Jika mereka tak bersolat pun, sekurang-kurangnya mereka dapat lihat ramai orang yang bersolat dan melakukn solat. Jadi dalam fikiran mereka akan ada satu simpanan memori tentang contoh teladan yang baik untuk diikuti, iaitu melakukn solat.



Saya dapat lihat, ada anak-anak yang datang bermain dengan rakan-rakan, berlari-lari dan lain-lain. Lumrah kanak-kanak memang suka bermain..Perkara yang sama juga saya lakukan waktu kecil-kecil dulu..



Di masjid tu saya dapat lihat, ada anak-anak yang dengar arahan dan permintaan ayahnya supaya tak bermain-main..dan dapat dilihat anak-anak ini sentiasa mengikut ayahnya bersembahyang..Saya tak pasti anda dapat bayangkan tak seorang budak kecil yang comel sembahyang dengan baik di sebelah ayahnya sambil menjeling-jeling rakan yang bermain..agak menarik bila dilihat keadaan tu.



Ada juga yang duduk depan ayahnya yang sedang bersembahyang..bersama 2 orang kakaknya..yang masing-masing pada pendapat saya lebih kurang umur 4-5 tahun. Kecil-kecil lagi mereka..Bermain dalam keadaan lebih senyap dan lebih terkwal bersama adik-beradiknya..mewarna buku, menulis dan lain-lain..Ayahnya memilih tempat solat di bahagian luar sedikit di tepi masjid. Mungkin tidak mahu kerenah dan telatah anak-anaknya menganggu kekhusyukan jemaah lain bersolat.



Berbagai-bagai ragam dan berbagai-bagai cara si ayah menguruskan dan mengawal anak-anaknya di masjid. Tak kisah la semua tu..bagi saya tindakan bawa anak ke masjid itu pun sudah merupakan didikan secara tak langsung kepada anak. Bagi saya normal jika budak-budak ni suka bermain-main di masjid. Lumrah kanak-kanak memang duka bermain.





Teringat dulu waktu saya kecil, ayah saya ada juga buat begitu. Dia bawa saya pergi sembahyang berjemaaah di surau, bawa pergi sembahyang terawih dan bawa pergi dengar ceramah.. Sekarang baru saya faham rupa-rupanya ayah saya cuba memberi didikan secara tak langsung kepada saya. Walaupun bila saya datang ke sana, sebenarnya saya banyak bermain dengan kawan-kawan, tapi sedikit sebanyak tindakan ayah saya ni ada juga memberi manfaat kepada pembentukan sikap saya..Mungkin sambil bermain ada meresap juga kot ceramah-ceramah yang terdengar di telinga..atau mungkin didikan secara tak langsung diperolehi sedikit sebanyak dari tindakan ayah saya tu.





Ada lagi satu suasana di masjid tadi dapat saya lihat..Suka bila saya dapat lihat bila seorang ayah memeluk anaknya..mengusap-usap kepala anaknya. Secara tak langsung menyampaikan mesej bahawa dia menyayangi anaknya itu..Dan anaknya mendapat mesej bahawa dirinya disayangi dan berharga..serta dihargai..Suka saya lihat perbuatan ni, sebab pada pendapat saya tak ramai ayah-ayah di kalangan orang kita yang cukup kuat untuk mengatasi rasa egonya dan mampu melakukan perkara-perkara sebegini. Padahal, Nabi sendiri mengasihi kanak-kanak dan menunjukkan kasih sayang baginda kepada kanak-kanak. Perkara sebegini banyak dipraktikkan oleh orang Barat..Cuma sekarang baru saya lihat ayah-ayah di kalangan kita semakin ramai yang berusaha mempraktikkannya..Saya tak pasti bila saya menjadi ayah nanti (jika Allah izin), adakah saya juga mampu mempraktikkannya, sebab rasanya diri ini juga punyai sifat ego yang tinggi. Tapi saya pasti akan berusaha untuk mempraktikkannya.




Sejenak saya terfikir, andaikata saya berkesempatan untuk berkahwin dan mempunyai anak, dapatkah saya didik anak saya sebaiknya? Didik mereka dekat dengan masjid..Dapat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebaiknya..didik seperti contoh-contoh yang saya lihat di masjid tadi..



Terfikir juga, dapatkah saya didik anak saya menjadi seorang yang bertanggungjawab..jujur. Saya jadi risau, sebab beberapa pendapat yang saya dengar mengatakan yang tugas mendidik anak di zaman sekarang sangat mencabar.. Apatah lagi di zaman hadapan. Zaman yang makin menghampiri kiamat. Sampai kadangkala saya jadi takut pula untuk mempunyai anak. ^_^



Tapi jauh di sudut hati, saya juga mahu merasa mendidik anak dan mmbesarkan anak. Mahu rasa pengalaman bagaimana ayah saya telah rasai. Dapat lihat pembesaran dan hasil didikannya terhadap anak yang dahulunya kakinya hanya sebesar dua jarinya, namun kini bukan setakat lebar kakinya mengalahkannya, malah tingginya juga lebih tinggi dari dirinya. Dapat lihat kejayaan anak-anaknya berjaya di menara gading dan kerjaya. Dapat merasa pengalaman anak yang dahulunya sering dimarahi dan perlu dipandu sepanjang masa, kini dapat jadi rakan berborak dan berbincang..sambil berkongsi dan bertukar-tukar pandangan..^_^ Saya pasti kebanyakan dari anda juga ada perasaan yang sama.



Pada pendapat saya, persediaan untuk kita mendidik anak-anak seharusnya bermula dari sekarang. Dari saat kita belum berkahwin, atau mungkin kita kini dalam tempoh pertunangan. Waktu ini kita perlu membentuk sahsiah yang baik kepada diri kita. Menjadikan diri istiqamah dengan amal-amal ibadah, jadikan diri rapat dengan masjid (nasihat untuk diri), mendalami ilmu-ilmu agama, ilmu rumahtangga, ilmu mendidik anak, menyelami pengalaman orang lain dalam mendidik anak..Bila kita dah buat persediaan-persediaan ni, pada pendapat saya lebih mudah kita nak mendidik anak nanti dalam melahirkan anak-anak yang berciri unggul dan patuh kepada ajaran agama. Mana taknya, didikan paling berkesan bagi anak-anak adalah melalui contoh teladan yang ditunjukkan oleh ibu-bapanya. Bagaimana mahu anak mendekati masjid jika ayahnya culas ke masjid, bagaimana mendidik anak rajin mendegar kuliah agama jika ayahnya tidak rajin mendengar kuliah agama..Lagi teruk, bagaimana mendidik anak rajin sembahyang atau tak tinggalkan sembahyang jika ibu bapanya sendiri tidak cukup solat lima waktunya..Nauzubillah..


Akhirkata, terima kasih ayah sebab telah berusaha mendidik saya sebaiknya dan semampunya. InsyaAllah saya tak akan melupakan jasa, pengorbanan dan kasih sayang ayah. Moga jasa dan usaha ayah akan dibalas Allah dengan balasan yang sebaiknya di akhirat kelak.


Sambil berusaha keras mengenepikan rasa ego saya..Saya nukilkan kata-kata ini di sini..



“Terima kasih ayah..Saya sayang ayah ”

Anda juga mungkin meminati..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...