Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Monday, July 28, 2014

Muhasabah diri dan pelajaran hidup

1. Elakkan: memberitahu dan menegur dengan cara/suara marah, ayat yang ada buruk sangka dan sinis.

2. Elakkan mendesak, membuat orang kalut atau gopoh atau tergesa-gesa dengan nada marah.

3. Amalkan sabar, bercakap dengan tenang dan lembut, senyum, sentiasa bersangka baik, penuh rasa baik sangka dan tawakal kepada Allah.

Friday, April 13, 2012

Talqin Buat Diriku






Bismillah..

Mahasuci Allah, yang bersifat dengan Baqa’ dan Qidam, yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa.

Mahasuci Allah yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

Wahai jiwa yang lalai, ketahuilah, setiap yang hidup pasti akan mati. Dirimu juga pasti akan mati. Bila saja sampai ajalmu, tidak lagi mampu ditunda sesaat dua.

Wahai jiwa yang lalai. Sesungguhnya mati itu tak mengenal usiamu.
Walau kamu pemuda tegap.
Walau kamu gadis ayu.
Walau kamu sihat tak berpenyakit.

Bila tiba ajalmu, malaikat maut pasti datang mencabut nyawamu.
Tidak kira waktu.

Mungkin saat kamu bergembira bersama temanmu.
Atau saat bermesra dengan keluargamu.
Atau tika seronok berhibur di hujung minggu.

Ajalmu takkan ditunda.

Mahasuci Allah, yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran.
Untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai.
Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Wahai kamu yang berpangkat tinggi, 
wahai kamu yang berpendidikan tinggi, 
wahai kamu yang berdiri angkuh di muka bumi, 
wahai kamu yang megah dengan kehebatan diri..

Hendaklah kamu ingat, bahawa kamu akan dimasukkan ke dalam lubang kubur, ditinggalkan tanpa teman, di tempat yang gelap dan sunyi.

Saat itu, akan datang kepada kamu,  2 orang malaikat iaitu Mungkar dan Nakir, mereka akan menyoal kamu:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Disaat itu hafalan kamu tentang jawapannya tidak berguna, 
Kerna amalanmu di dunia yang jadi penentu,
Adakah akan dapat menjawab soalan-soalan itu.

Jika solat 5 waktu kamu tidak sempurna, mana mungkin kamu akan dapat menjawabnya dengan baik.

Jika puasa kamu tidak lengkap, mana mungkin kamu akan dapat menjawabnya dengan benar.

Jika hidupmu di dunia penuh dengan dosa, mana mungkin kamu akan dapat tenang di dalam sana.

Ingatlah, jika kamu tidak dapat menjawab soalan yang ditanyakan malaikat-malaikat itu.
Engkau akan dipukul sekuatnya oleh malaikat,
Kubur kau akan disempitkan,
Hingga terhimpit tulang rusukmu,

Kala itu, sesalanmu tak berguna lagi.
Rayuanmu tak dipedulikan lagi.
Hendak hidup kembali ke dunia?
Pasti! peluang itu tiada lagi.


Insaflah! 
Bahawasanya mati itu adalah benar, 
soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur itu adalah benar, 
bangkit dari kubur kemudian dihidupkan kembali adalah benar, 
berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, 
dihisab dan dikira segala amalan adalah benar, 
syurga dan neraka adalah benar.

Berubahlah kamu! Tingkatkanlah amalan kamu! 
Sebelum mereka disekelilingmu mengucapkan kepadamu.

"Kami mengucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala"

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya diajuhkan kami dari azab kubur.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham
dulillahi rabbil alamin.



Tuesday, April 3, 2012

Bagaimana nak berjaya jika usaha masih sama


"Kejayaan dan perubahan takkan dapat dicapai jika usaha, sikap dan kelakuan kita masih sama seperti sebelumnya. Pelik bagaimana kita masih lagi mahu melalui jalan berlubang yang kita pernah lalui sebelum ni, sedangkan kita telah tahu bertapa perit dan sukarnya apabila jatuh dan berada dalam lubang tu."

Tuesday, February 14, 2012

Mata lebah, mata lalat


Jadi macam lebah..ke mana pun dia pegi, apa saja dia jumpa, mata dia pandang pada madu..yang baik..manis dan sedap sifatnya. 

Jangan jadi macam lalat, ke mana pun dia pegi, apa saja dia jumpa, mata dia sentiasa mencari tahi/kekotoran.

...

Berbaik sangka jangan mudah berburuk sangka.

Mencari kebaikan pada orang bukan mencari-cari keburukan dan kekurangan.

Kalau cara pandang kita pada orang lain adalah tidak baik..'kotor'..mungkin itu menggambarkan hati yang ada dalam diri kita tu 'kotor'..

Jadi..mari cuci kekotoran hati.

Dengan istighfar dan ubah cara kita dalam menjalani hidup..

Yang Allah suruh kita buat dan jangan tinggal. Yang Allah larang kita tinggal dan jangan buat.


Wednesday, February 8, 2012

Letih dan seronok..


"Letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang, kebaikan akan kekal. Seronok melakukan dosa dan kejahatan, keseronokan akan hilang, dosa akan kekal"

Wednesday, February 1, 2012

Sering aku tertanya-tanya..



Terlalu banyak nikmat yang aku perolehi dalam kehidupan ni. Terlalu banyak pemberian yang Allah beri kepadaku dalam kehidupan..

Allah aturkan aturan kehidupan dengan amat baik sekali. Dengan penuh hikmah. Kebaikan dan kesenangan dinikmati dan dihayati. Kesukaran, kepayahan dan ujian pula..penuh dengan seribu satu kebaikan.

Syukurku walau beribu tahun usiaku dihabiskan untuk tidak putus-putus mengungkapkan kalimah syukur kepada-Mu, pasti tak akan juga sama dengan nilainya dengan nikmat-Mu yang Kau berikan kepadaku tidak putus-putus.

Cubala bayar nilaian sebelah mata sahaja..

Subhanallah..Nilainya adalah..sangat bernilai..valuable..Baru satu nikmat..Bagaimana dengan nikmat lain..dari sekecil-kecil nikmat..hingga sebesar-besar nikmat..sungguh..sangat berharga Ya Allah..

...

Sering aku tertanya-tanya..

Apakah yang aku buat hingga Allah bagi aku nikmat sebegitu banyak begini? Apakah usaha yang telah aku buat? Atau adakah disebabkan berkat doa dari ibuku? Atau berkat doa dari mereka yang makbul doanya?
…

Tiada jawapan.
…

Ya, memang tiada jawapan..kerana soalan itu salah..ia sepatutnya berbunyi begini..

Kenapa Allah bagikan segala nikmat dan pemberian yang sangat berharga kepadaku?


Jawapannya mudah.


Kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang..Rahmat Allah meliputi seluruh langit dan bumi..Pemberian Allah dengan kasih sayang dan rahmat-Nya yang sangat banyak dan tidak putus-putus kepada semua makhluk Allah tidak mengurangkan sedikit pun kekuasaan dan kemampuan Allah. Subhanallah..Maha Suci Allah..


Dan jawapannya lagi..


Allah berikan nikmat-nikmat itu supaya kau menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur..

...

“Ya Allah..jadikan kami semua hamba-Mu yang sentiasa bersyukur..”

...

..syukuri nikmat..dari sekecil-kecil nikmat..hingga sebesar-besar nikmat..kau sangka ia kecil..tapi berharganya ia akan hanya diketahui bila nikmat itu diangkat..jangan sampai nikmat diangkat..

...

Sesiapa yang mensyukuri nikmat Allah, Allah akan tambah nikmat-Nya..Sesiapa yang mengkufuri nikmat Allah (tidak mensyukuri nikmat Allah)..azab Allah sangat pedih..


Thursday, January 12, 2012

Orang Gila




Satu hari dalam perjalanan nak balik dari kerja, saya singgah kedai mamak. Order nasi kandaq. Lapar juga sebab tengah hari tu tak makan tengah hari.

Sampai kedai, mamak depan nasi kandaq tu pandang saya..

Saya cakap...”makan sini..”

“Nasi biasa ka tambah (luar biasa)?”

“Em..tambah..(ok gak, selalu nasi dia macam sikit dan tak cukup. Aku pulak tengah lapar.)

Mamak isi nasi..

“Kuah campur?”

“Campur..”

“Lauk?”

“Ayam tu..(tunjuk kat ayam goreng)”

“Em, nak sayur tu ya..(tunjuk kat sayur kobis goreng)”

Mamak angguk..letak sayur..Biasa aku makan kat situ tak letak sayur..jimat sikit..kali ni nak makan spesel sikit..

Aku duduk kat meja..datang bil..RM 6 lebih untuk nasi tu..em..mahal dari biasa..kalau takda sayur dan nasi biasa, dapat RM 4 lebih ja..

Aku nak mula makan..tengok ayam..alamak..bahagian yang banyak isi..lupa nak minta kepak atau peha tadi..

Entah macam mana..selera aku nak makan jadi kurang..mungkin sebab banyak minum air kot sebelum makan..tak pun sebab dapat ayam bahagian aku tak berminat..atau mungkin sebab gigi sakit..

Makan ja la..Tak baik membazir..

Em..banyak pula nasi ni..

....…..

Port meja yang aku pilih memang baik..tepi jalan..boleh tengok gelagat manusia..sambil tengok dan rasai kesejukan hujan..

Syoknya hujan..tidur pun best..untung dapat balik awal arini..aku mengelamun dan berangan sorang-sorang..

Tengah aku duk syok mengelamun dan berangan..datang seorang lelaki melintas depan aku..ish..gila tak pakai baju depan orang ramai ni..

Em, seluar pakai la..badan kurus..gelap..rambut tak terurus..bawa satu plastik air..macam teh ais..tapi dah nak habis..

Oh..orang gila..

Dari mana ntah dia dapat air tu..pandai ka dia beli? Mana dia dapat duit? Macam mana dia boleh hidup dengan tak bekerja dan dalam keadaan macam tu ya?

Em, abaikan..baik aku teruskan misi untuk habiskan nasi ni..

……

Aduh..da tak larat nak habiskan..memang tak boleh nak masuk da nasi ni..Em..xpa..cuba habiskan ayam yang banyak tu dulu..

Em..tak dapat nak habiskan juga..

Macam mana ni..tak silap..membazir tu berdosa..Em, taknak dapat dosa..

Cuba punya cuba..tak habis juga..Aku dapat makan kurang separuh ja..Terpaksa tinggalkan nasi tu..Nak bungkus segan (sebab aku pemalu)..

Apala nasib kau nasi..mesti nanti mamak akan buang dalam tong sampah..
Sayangnya..

…...

Dah..jom balik..

Aku pegi bayar..

Masa nak jalan balik..Aku tengokla balik nasib nasi aku atas meja tadi..

Aik? Ada orang da duduk kat meja tu..cepat betul mamak clearkan meja..


Tengok gelas kat atas meja tu..kosong..

Perhati betul-betul orang di meja tu..

Oh..orang gila tadi..Dia makan nasi aku dengan sangat berselera..

Subhanallah..rupanya nasi tu rezeki dia..

Pengajaran:
  1. Subhanallah..Allah sebaik-baik Pentadbir..Allah Maha Pemberi Rezeki..Sifat Maha Pengasih dan Penyayang Allah meliputi seluruh makhluk langit dan bumi..tak kira dia manusia..haiwan..berakal..tak berakal..Islam..bukan Islam..
  2. Pengetahuan kita tentang nikmat dan kebesaran Allah tak terjangkau..Dan Allah sebaik-baik Perancang..Rupa-rupanya..Allah rancang..nasi yang banyak..lauk yang lebih spesel dari biasa..rupanya rezeki untuk orang gila tu..Allah tunjukkan betapa perancangan Allah sangat teliti dan rapi.
  3. Ada orang diberi nikmat, tapi tak dapat menikmati nikmat yang dia ada.
  4. Ada orang diberi nikmat, tapi tak dapat mensyukuri nikmat yang dia ada.
  5. Ada orang kaya, tapi tak bahagia..Duit yang banyak tak cukup dan tak puas untuk dia. Ada kereta..Nak kereta lebih besar. Ada harta, nak harta yang lebih banyak. Kejar harta dan kemewahan tanpa sempat bersyukur pada Allah, pemberi harta dan nikmat tu..
  6. Ada orang miskin dan serba kekurangan tapi bahagia, merasa cukup dan tenang.
  7. Nikmat paling besar adalah nikmat iman.
  8. Cara terbaik dalam menerima nikmat adalah dengan bersyukur..Antara cara bersyukur..berkongsi nikmat yang kita terima.
  9. Em, siapa la kita..kerdilnya kita..nak dibandingkan dengan nikmat dan kekuasaan Allah..Maha Suci Allah..Maha Agungnya kekuasaan Allah..Maha Pemurah dan Penyayangnya Allah. Subhanallah..

p/s: Maaf agak kasar panggilan 'orang gila'..mungkin boleh dipanggil orang bermasalah mental/orang kurang siuman. Digunakan istilah 'orang gila' untuk mudah cerita dan sampai mesej.

Wednesday, January 4, 2012

Kecewa Dengan Diri Sendiri



Satu hari aku merasa sangat kecewa dengan diri sendiri..
Kecewa..
Setiap hari berusaha untuk mengubah diri..
Setiap hari memasang azam..
Setiap hari menginsafi dosa..
Namun, setiap hari masih sama..
Masih diri yang sama..
Perubahan diri masih tak dicapai.
Kadangkala rasa mahu berputus asa..
Kecewa dengan diri..

Satu hari seorang sahabat datang menasihati..

Teman..kau sangka..hanya dengan usahamu..kau mampu berubah?
Kau lupa sesuatu teman..
Kau lupa..setiap usahamu itu..sedikit pun tidak mampu membantumu berubah..melainkan dengan izin dan kehendak Allah..

Kau sombong.

Kau sangka dengan usaha kau saja, perubahan yang kau usahakan akan berjaya..
Kau lupa untuk meminta pada Allah..agar Allah memudahkan usahamu..
Agar Allah menjayakan perubahan yang kau usahakan itu..
Allah menegurmu..Usah sombong..

................

…Jangan hanya bila susah ingat Allah..bila senang lupakan Allah...

Sunday, January 1, 2012

Mengapa Tak Menghargai, Mengapa Tak Mensyukuri



Mengapa memandang pada banyaknya kelemahan dan kekurangan diri sedangkan begitu banyak kelebihan dan pencapaian yang dikecapi..



Mengapa rungsing pada yang tak dapat diubah sedang di depan mata, banyak yang boleh berubah..



Mengapa kesalkan kegagalan diri, sedang tempoh memperbaiki diri masih banyak berbaki.

Thursday, December 29, 2011

Masalah datang untuk diselesaikan, bukan untuk dirisaukan


Bila masalah datang..


Risau + tak cari jalan penyelesaian = 

Tak guna, buang masa, buang tenaga, tambah tekanan, menyusahkan & bertambah masalah

Sabar + cari jalan penyelesaian = 

Ketenangan, ketenteraman, kurang tekanan, bertambah idea, bertambah usaha, bertambah jalan penyelesaian




Saturday, November 12, 2011

Strategi Meningkatkan Iman



Bismillah..Kali ni saya nak kongsikan berkenaan strategi untuk kita jadikan iman kita meningkat. Perkongsian dari  Ustaz Dr. Zahazan (Siri tafsir al-Quran oleh radio IKIM.fm – Perbincangan tafsir surah at-Taubah ayat 124-125)

  1. Dengan membaca, menghafal, mendengar al-Quran dan beramal dengannya.
  2. Konsisten/Istiqamah beramal soleh. 
  3. Tadabur/Baca kisah-kisah para nabi dan rasul dalam al-Quran, kisah-kisah para sahabat, para salafussoleh.     
  4. Doa. Antara doa yang paling banyak Rasulullah S.A.W amalkan adalah doa diberi ketetapan hati.   
  5. Banyak mengingati Allah    
  6. Menjalankan dakwah di jalan Allah. Dengan menjalankan dakwah yang berterusan, dapat menjadikan diri kita tarsus istiqamah dalam kebenaran.   
  7. Cari/Mempunyai kawan-kawan yang baik, yang soleh, yang sentiasa bantu kita, mendorong kita untuk mentaati Allah S.W.T. 
  8. Sabar. Antara cara sabar adalah dengan puasa sunat.
  9. Banyak melakukan muhasabah dengan mengingati nikmat Allah kepada kita, nikmat-nikmat yang Allah janjikan di akhirat kepada orang-orang beriman, beramal soleh, serta mentaati Allah S.W.T seperti syurga.



Saya download di web ikim, siri kuliah oleh Ustaz Dr. Zahazan boleh dapat di sini.

Mohon teguran dan nasihat untuk yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Bersama kita mandapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Monday, October 31, 2011

Hayati Kehidupan Islam Dalam Memimpin


Bismillah..

Kali ni saya nak cakap sikit berkenaan tanggungjawab kita sebagai pemimpin. Sebagaimana yang kita ketahui, setiap orang akan dipertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Kita semua adalah pemimpin, paling tidak, kita adalah pemimpin kepada diri kita.


“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang ia pimpin”. (Mutafaq ‘alaih)


Pada pendapat saya, apabila kita berpeluang samaada dengan rela atau terpaksa, untuk menjadi pemimpin, kita patut guna peluang tu sebaiknya untuk mengajak orang-orang yang kita pimpin untuk menghayati kehidupan sebagai seorang muslim dengan sebaik-baiknya. Tak kira la kita pemimpin sebuah organisasi kecil atau besar. Pemimpin syarikat atau pemimpin rumah tangga. Bila orang lain menjadikan diri kita sebagai tempat rujuk dan tempat menerima arahan, maksudnya kita pemimpin la tu.

Apa kata, bila kita jadi pemimpin kita cuba praktikkan perkara macam menjaga solat, menjaga batas pergaulan, menjaga aktiviti yang kita laksanakan supaya tak bercanggah dengan syarak, memastikan aurat terjaga dalam setiap program, memastikan maksiat tak berlaku dalam program dan aktiviti kita.

Contoh, bila nak buat meeting, dah hampir waktu solat, apa salahnya tangguhkan sikit waktu meeting bermula ke waktu lepas solat. 

Bila nak buat baju seragam atau baju korporat, usaha untuk cari design terbaik bila nak buat baju untuk wanita muslim pakai supaya aurat dan bentuk badan tak terlihat. 

Nak buat aktiviti sukan..tak bercampur dalam satu permainan lelaki dan perempuan bukan mahram. 

Dan banyak lagi..

Pada pendapat saya, bila kita merupakan seorang ketua,dah tentu orang lain samaada rela atau terpaksa akan ikut juga arahan dan cara yang kita buat. 

Kalau orang bawahan kita majoritinya muslim, dah tentu mereka sepatutnya faham tindakan kita. 

Mungkin kita akan risau ada orang tak suka dengan cara kita, cakap-cakap kat belakang..tapi mana satu yang anda lebih suka? Kita lebih suka apa yang orang suka atau apa yang Allah suka?

Dah tentu, sebagai pemimpin..perlu laksanakan perkara-perkara ini dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah. Itu dah tentu satu cabaran untuk seseorang pemimpin, tapi sekurang-kurangnya setiap dari kita perlu tanam azam dan ada usaha untuk lakukan perkara-perkara seperti ini.

Tak boleh ambil ringan perkara ni dan tak boleh lepas tangan..sebab kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat berkenaan apa yang kita pimpin.

Macam mana nak jawab soalan di sana nanti bila ditanya:

"Kenapa kamu tak benarkan orang bawahan kamu solat di awal waktu dan membiarkan mereka melambatkan solat disebabkan program yang kamu rancangkan waktu nak masuk waktu solat?"

"Kenapa kamu biarkan maksiat itu berlaku dalam program kamu sedangkan kamu ada kuasa untuk mengubah aktiviti-aktiviti program itu?"

"Kenapa kamu tak arahkan bas rombongan yang kamu pimpin untuk berhenti solat?"

Ya Allah..berat tanggungjawab memimpin, tapi dengan memimpin, dapat peluang banyak juga untuk menyebarkan dan menghayati kehidupan Islam..InsyaAllah.

Semoga bermanfaat.

Mohon teguran dan nasihat atas perkara yang kurang atau tak tepat.

Sama-sama kita berusaha untuk mendapatkan redha Ilahi.

Afiq Tj.


Saturday, October 22, 2011

Malu



Bismillah, kali ni nak kongsikan tazkirah ringkas yang saya dengar berkenaan sifat malu.

Kita kena ada sifat malu kepada Allah. Jangan malu pada manusia sahaja. Kalau kita malu pada manusia, bila manusia takda, kita hilang malu. Jika malu pada Allah, di mana-mana sahaja kita akan tetap ada rasa malu tu sebab kita tahu Allah Maha Melihat.

Malu macam mana yang kita patut ada? Iaitu malu melakukan dosa dan maksiat. Malu meninggalkan suruhan Allah dan malu melaksanakan larangan Allah. Contohnya malu untuk membuka aurat, mengumpat, memfitnah..malu untuk meninggalkan solat. Bukan malu untuk melakukan perkara baik dan bukan malu untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Juga bukan malu untuk melakukan sesuatu perkara yang dapat meningkatkan kualiti, kemajuan dan kecemerlangan diri kita (selagi mana kita mematuhi segala perintah dan larangan Allah).

Sebagaimana kita sering diingatkan. Malu itu sebahagian dari iman:

“Iman itu ada tujuh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Sahih Muslim No. 50)
Moga bermanfaat.

Sama-sama kita berusaha mendapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Wednesday, October 19, 2011

Nimat Kesihatan, Usia Muda dan Kehidupan



Beberapa kali saya bekesempatan sembahyang jemaah di masjid yang sama pada waktu yang berbeza. Saya lihat ada seorang pakcik yang bertongkat, sebelah kakinya saya lihat bermasalah. Nampak macam tak berfungsi, ditutup stoking. Samaada itu kaki palsu atau kaki tu sakit. Dari pemerhatian,  sSaya percaya dia asalnya sihat dan kedua-dua belah kakinya berfungsi dengan baik sebelum ni. Dia sembahyang duduk..samaada duduk atas kerusi atau duduk atas karpet masjid dengan sebelah kaki melunjur ke hadapan.

Dalam hati saya terdetik, pakcik ni saya rasa setiap waktu solat dia berjemaah. Rajin betul, walaupun dalam keadaan kakinya begitu.

Teringat saya ada satu lagu Raihan tu..yang isinya diambil dari sebuah hadis. Ingat 5 perkara, sebelum 5 perkara..
  1. Muda sebelum tua
  2. Sihat sebelum sakit
  3. Kaya sebelum miskin
  4. Lapang sebelum sempit
  5. Hidup sebelum mati

Terfikir. Em, saya masih sihat, kaki masih sempurna. Kenapa saya tak boleh rajin berjemaah di masjid sementara masih diberi peluang untuk hidup dengan sihat. Dengan badan yang sihat, anggota yang sempurna..dah tentu lebih mudah untuk lakukannya berbanding jika sakit atau anggota tak sempurna.

Em, saya masih muda kenapa tak gunakan peluang usia muda saya ni untuk banyakkan ibadah. Dalam keadaan badan masih cergas. Kalau dah tua, kadang-kadang ada masalah uzur. Kalau nak solat berjemaah di masjid misalnya, kadangkala kalau sakit uzur datang, dah tak boleh pegi.

“Ah, nantila buat..Aku muda lagi..”

Boleh ka fikir macam tu? Bila terfikir macam tu..Diingatkan dengan satu lagi peringatan di atas..hidup sebelum mati..Em, tau ka sampai bila kita akan dihidupkan. Tau ka bila kita akan mati? Mati tak mengenal usia. Wallahua’lam

Mohon nasihat dan teguran atas apa yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Sama-sama kita cari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Anda juga mungkin meminati..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...