Showing posts with label Perkongsian. Show all posts
Showing posts with label Perkongsian. Show all posts

Friday, April 13, 2012

Talqin Buat Diriku






Bismillah..

Mahasuci Allah, yang bersifat dengan Baqa’ dan Qidam, yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa.

Mahasuci Allah yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa.

Wahai jiwa yang lalai, ketahuilah, setiap yang hidup pasti akan mati. Dirimu juga pasti akan mati. Bila saja sampai ajalmu, tidak lagi mampu ditunda sesaat dua.

Wahai jiwa yang lalai. Sesungguhnya mati itu tak mengenal usiamu.
Walau kamu pemuda tegap.
Walau kamu gadis ayu.
Walau kamu sihat tak berpenyakit.

Bila tiba ajalmu, malaikat maut pasti datang mencabut nyawamu.
Tidak kira waktu.

Mungkin saat kamu bergembira bersama temanmu.
Atau saat bermesra dengan keluargamu.
Atau tika seronok berhibur di hujung minggu.

Ajalmu takkan ditunda.

Mahasuci Allah, yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran.
Untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai.
Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup.

Wahai kamu yang berpangkat tinggi, 
wahai kamu yang berpendidikan tinggi, 
wahai kamu yang berdiri angkuh di muka bumi, 
wahai kamu yang megah dengan kehebatan diri..

Hendaklah kamu ingat, bahawa kamu akan dimasukkan ke dalam lubang kubur, ditinggalkan tanpa teman, di tempat yang gelap dan sunyi.

Saat itu, akan datang kepada kamu,  2 orang malaikat iaitu Mungkar dan Nakir, mereka akan menyoal kamu:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?
Disaat itu hafalan kamu tentang jawapannya tidak berguna, 
Kerna amalanmu di dunia yang jadi penentu,
Adakah akan dapat menjawab soalan-soalan itu.

Jika solat 5 waktu kamu tidak sempurna, mana mungkin kamu akan dapat menjawabnya dengan baik.

Jika puasa kamu tidak lengkap, mana mungkin kamu akan dapat menjawabnya dengan benar.

Jika hidupmu di dunia penuh dengan dosa, mana mungkin kamu akan dapat tenang di dalam sana.

Ingatlah, jika kamu tidak dapat menjawab soalan yang ditanyakan malaikat-malaikat itu.
Engkau akan dipukul sekuatnya oleh malaikat,
Kubur kau akan disempitkan,
Hingga terhimpit tulang rusukmu,

Kala itu, sesalanmu tak berguna lagi.
Rayuanmu tak dipedulikan lagi.
Hendak hidup kembali ke dunia?
Pasti! peluang itu tiada lagi.


Insaflah! 
Bahawasanya mati itu adalah benar, 
soalan malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur itu adalah benar, 
bangkit dari kubur kemudian dihidupkan kembali adalah benar, 
berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, 
dihisab dan dikira segala amalan adalah benar, 
syurga dan neraka adalah benar.

Berubahlah kamu! Tingkatkanlah amalan kamu! 
Sebelum mereka disekelilingmu mengucapkan kepadamu.

"Kami mengucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala"

Ya Allah Ya Tuhan kami, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya diajuhkan kami dari azab kubur.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalham
dulillahi rabbil alamin.



Tuesday, April 3, 2012

Bagaimana nak berjaya jika usaha masih sama


"Kejayaan dan perubahan takkan dapat dicapai jika usaha, sikap dan kelakuan kita masih sama seperti sebelumnya. Pelik bagaimana kita masih lagi mahu melalui jalan berlubang yang kita pernah lalui sebelum ni, sedangkan kita telah tahu bertapa perit dan sukarnya apabila jatuh dan berada dalam lubang tu."

Wednesday, February 8, 2012

Letih dan seronok..


"Letih melakukan kebaikan, keletihan akan hilang, kebaikan akan kekal. Seronok melakukan dosa dan kejahatan, keseronokan akan hilang, dosa akan kekal"

Wednesday, February 1, 2012

When we feel like cannot make the best decision..



“Bila kita tak dapat putuskan keputusan terbaik atau cara terbaik dalam menghadapi permasalahan atau urusan dalam kehidupan kita, mungkin itu tandanya kita perlu berjalan dan berusaha untuk cari dan tambah maklumat sebelum kita kembali semula ke meja rundingan untuk membuat keputusan”

…

“When we feel that we cannot make the best decision in our live, maybe its sign for us to take some time to look up for more information and search for more knowledge before we come back again to make the right and best decision”

Sering aku tertanya-tanya..



Terlalu banyak nikmat yang aku perolehi dalam kehidupan ni. Terlalu banyak pemberian yang Allah beri kepadaku dalam kehidupan..

Allah aturkan aturan kehidupan dengan amat baik sekali. Dengan penuh hikmah. Kebaikan dan kesenangan dinikmati dan dihayati. Kesukaran, kepayahan dan ujian pula..penuh dengan seribu satu kebaikan.

Syukurku walau beribu tahun usiaku dihabiskan untuk tidak putus-putus mengungkapkan kalimah syukur kepada-Mu, pasti tak akan juga sama dengan nilainya dengan nikmat-Mu yang Kau berikan kepadaku tidak putus-putus.

Cubala bayar nilaian sebelah mata sahaja..

Subhanallah..Nilainya adalah..sangat bernilai..valuable..Baru satu nikmat..Bagaimana dengan nikmat lain..dari sekecil-kecil nikmat..hingga sebesar-besar nikmat..sungguh..sangat berharga Ya Allah..

...

Sering aku tertanya-tanya..

Apakah yang aku buat hingga Allah bagi aku nikmat sebegitu banyak begini? Apakah usaha yang telah aku buat? Atau adakah disebabkan berkat doa dari ibuku? Atau berkat doa dari mereka yang makbul doanya?
…

Tiada jawapan.
…

Ya, memang tiada jawapan..kerana soalan itu salah..ia sepatutnya berbunyi begini..

Kenapa Allah bagikan segala nikmat dan pemberian yang sangat berharga kepadaku?


Jawapannya mudah.


Kerana Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang..Rahmat Allah meliputi seluruh langit dan bumi..Pemberian Allah dengan kasih sayang dan rahmat-Nya yang sangat banyak dan tidak putus-putus kepada semua makhluk Allah tidak mengurangkan sedikit pun kekuasaan dan kemampuan Allah. Subhanallah..Maha Suci Allah..


Dan jawapannya lagi..


Allah berikan nikmat-nikmat itu supaya kau menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur..

...

“Ya Allah..jadikan kami semua hamba-Mu yang sentiasa bersyukur..”

...

..syukuri nikmat..dari sekecil-kecil nikmat..hingga sebesar-besar nikmat..kau sangka ia kecil..tapi berharganya ia akan hanya diketahui bila nikmat itu diangkat..jangan sampai nikmat diangkat..

...

Sesiapa yang mensyukuri nikmat Allah, Allah akan tambah nikmat-Nya..Sesiapa yang mengkufuri nikmat Allah (tidak mensyukuri nikmat Allah)..azab Allah sangat pedih..


Thursday, January 12, 2012

Orang Gila




Satu hari dalam perjalanan nak balik dari kerja, saya singgah kedai mamak. Order nasi kandaq. Lapar juga sebab tengah hari tu tak makan tengah hari.

Sampai kedai, mamak depan nasi kandaq tu pandang saya..

Saya cakap...”makan sini..”

“Nasi biasa ka tambah (luar biasa)?”

“Em..tambah..(ok gak, selalu nasi dia macam sikit dan tak cukup. Aku pulak tengah lapar.)

Mamak isi nasi..

“Kuah campur?”

“Campur..”

“Lauk?”

“Ayam tu..(tunjuk kat ayam goreng)”

“Em, nak sayur tu ya..(tunjuk kat sayur kobis goreng)”

Mamak angguk..letak sayur..Biasa aku makan kat situ tak letak sayur..jimat sikit..kali ni nak makan spesel sikit..

Aku duduk kat meja..datang bil..RM 6 lebih untuk nasi tu..em..mahal dari biasa..kalau takda sayur dan nasi biasa, dapat RM 4 lebih ja..

Aku nak mula makan..tengok ayam..alamak..bahagian yang banyak isi..lupa nak minta kepak atau peha tadi..

Entah macam mana..selera aku nak makan jadi kurang..mungkin sebab banyak minum air kot sebelum makan..tak pun sebab dapat ayam bahagian aku tak berminat..atau mungkin sebab gigi sakit..

Makan ja la..Tak baik membazir..

Em..banyak pula nasi ni..

....…..

Port meja yang aku pilih memang baik..tepi jalan..boleh tengok gelagat manusia..sambil tengok dan rasai kesejukan hujan..

Syoknya hujan..tidur pun best..untung dapat balik awal arini..aku mengelamun dan berangan sorang-sorang..

Tengah aku duk syok mengelamun dan berangan..datang seorang lelaki melintas depan aku..ish..gila tak pakai baju depan orang ramai ni..

Em, seluar pakai la..badan kurus..gelap..rambut tak terurus..bawa satu plastik air..macam teh ais..tapi dah nak habis..

Oh..orang gila..

Dari mana ntah dia dapat air tu..pandai ka dia beli? Mana dia dapat duit? Macam mana dia boleh hidup dengan tak bekerja dan dalam keadaan macam tu ya?

Em, abaikan..baik aku teruskan misi untuk habiskan nasi ni..

……

Aduh..da tak larat nak habiskan..memang tak boleh nak masuk da nasi ni..Em..xpa..cuba habiskan ayam yang banyak tu dulu..

Em..tak dapat nak habiskan juga..

Macam mana ni..tak silap..membazir tu berdosa..Em, taknak dapat dosa..

Cuba punya cuba..tak habis juga..Aku dapat makan kurang separuh ja..Terpaksa tinggalkan nasi tu..Nak bungkus segan (sebab aku pemalu)..

Apala nasib kau nasi..mesti nanti mamak akan buang dalam tong sampah..
Sayangnya..

…...

Dah..jom balik..

Aku pegi bayar..

Masa nak jalan balik..Aku tengokla balik nasib nasi aku atas meja tadi..

Aik? Ada orang da duduk kat meja tu..cepat betul mamak clearkan meja..


Tengok gelas kat atas meja tu..kosong..

Perhati betul-betul orang di meja tu..

Oh..orang gila tadi..Dia makan nasi aku dengan sangat berselera..

Subhanallah..rupanya nasi tu rezeki dia..

Pengajaran:
  1. Subhanallah..Allah sebaik-baik Pentadbir..Allah Maha Pemberi Rezeki..Sifat Maha Pengasih dan Penyayang Allah meliputi seluruh makhluk langit dan bumi..tak kira dia manusia..haiwan..berakal..tak berakal..Islam..bukan Islam..
  2. Pengetahuan kita tentang nikmat dan kebesaran Allah tak terjangkau..Dan Allah sebaik-baik Perancang..Rupa-rupanya..Allah rancang..nasi yang banyak..lauk yang lebih spesel dari biasa..rupanya rezeki untuk orang gila tu..Allah tunjukkan betapa perancangan Allah sangat teliti dan rapi.
  3. Ada orang diberi nikmat, tapi tak dapat menikmati nikmat yang dia ada.
  4. Ada orang diberi nikmat, tapi tak dapat mensyukuri nikmat yang dia ada.
  5. Ada orang kaya, tapi tak bahagia..Duit yang banyak tak cukup dan tak puas untuk dia. Ada kereta..Nak kereta lebih besar. Ada harta, nak harta yang lebih banyak. Kejar harta dan kemewahan tanpa sempat bersyukur pada Allah, pemberi harta dan nikmat tu..
  6. Ada orang miskin dan serba kekurangan tapi bahagia, merasa cukup dan tenang.
  7. Nikmat paling besar adalah nikmat iman.
  8. Cara terbaik dalam menerima nikmat adalah dengan bersyukur..Antara cara bersyukur..berkongsi nikmat yang kita terima.
  9. Em, siapa la kita..kerdilnya kita..nak dibandingkan dengan nikmat dan kekuasaan Allah..Maha Suci Allah..Maha Agungnya kekuasaan Allah..Maha Pemurah dan Penyayangnya Allah. Subhanallah..

p/s: Maaf agak kasar panggilan 'orang gila'..mungkin boleh dipanggil orang bermasalah mental/orang kurang siuman. Digunakan istilah 'orang gila' untuk mudah cerita dan sampai mesej.

Wednesday, January 4, 2012

Kecewa Dengan Diri Sendiri



Satu hari aku merasa sangat kecewa dengan diri sendiri..
Kecewa..
Setiap hari berusaha untuk mengubah diri..
Setiap hari memasang azam..
Setiap hari menginsafi dosa..
Namun, setiap hari masih sama..
Masih diri yang sama..
Perubahan diri masih tak dicapai.
Kadangkala rasa mahu berputus asa..
Kecewa dengan diri..

Satu hari seorang sahabat datang menasihati..

Teman..kau sangka..hanya dengan usahamu..kau mampu berubah?
Kau lupa sesuatu teman..
Kau lupa..setiap usahamu itu..sedikit pun tidak mampu membantumu berubah..melainkan dengan izin dan kehendak Allah..

Kau sombong.

Kau sangka dengan usaha kau saja, perubahan yang kau usahakan akan berjaya..
Kau lupa untuk meminta pada Allah..agar Allah memudahkan usahamu..
Agar Allah menjayakan perubahan yang kau usahakan itu..
Allah menegurmu..Usah sombong..

................

…Jangan hanya bila susah ingat Allah..bila senang lupakan Allah...

Sunday, January 1, 2012

Mengapa Tak Menghargai, Mengapa Tak Mensyukuri



Mengapa memandang pada banyaknya kelemahan dan kekurangan diri sedangkan begitu banyak kelebihan dan pencapaian yang dikecapi..



Mengapa rungsing pada yang tak dapat diubah sedang di depan mata, banyak yang boleh berubah..



Mengapa kesalkan kegagalan diri, sedang tempoh memperbaiki diri masih banyak berbaki.

Thursday, December 29, 2011

Masalah datang untuk diselesaikan, bukan untuk dirisaukan


Bila masalah datang..


Risau + tak cari jalan penyelesaian = 

Tak guna, buang masa, buang tenaga, tambah tekanan, menyusahkan & bertambah masalah

Sabar + cari jalan penyelesaian = 

Ketenangan, ketenteraman, kurang tekanan, bertambah idea, bertambah usaha, bertambah jalan penyelesaian




Monday, November 28, 2011

Merokok Haram


Bismillah..ramai yang masih tak pasti dengan hukum merokok, ada pula yang tahu tapi ambil ringan. Saya kongsikan fatwa dari web e-Fatwa oleh JAKIM berkenaan hukum merokok.

.....

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.
........

Keterangan dan Hujah





1. Keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia tersebut adalah bersandarkan kepada hujah-hujah berikut:

i. Rokok mengandungi pelbagai jenis racun. 

  • Fakta daripada kajian-kajian perubatan telah membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6-8 mg. nikotian dan pelbagai bahan kimia lain. 
  • Setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita telah menghidu sebanyak 4,000 jenis bahan kimia yang boleh memudharatkan badan.
ii. Ketagihan tembakau bukan hanya menimbulkan masalah kepada perokok, malah ia berada di tempat keempat dalam senarai faktor risiko bagi penyakit serius yang menular di seluruh dunia. 

  • Tabiat merokok dikaitkan dengan risiko barah, penyakit jantung dan masalah pernafasan. 
  • Terdapat beberapa jenis penyakit yang berpunca dari merokok, antaranya ialah kanser kerongkong, kanser mulut, katarak (sejenis kerosakan mata yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun), ulser perut, penyakit jantung, strok, penyakit paru-paru, emfisema paru-paru dan banyak lagi.

iii. Pada masa kini jumlah perokok sama ada dinegara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada orang ramai. 



  • Di Malaysia, merokok menyumbang kepada lebih 10,000 kematian setahun; 
    • 30% daripadanya disebabkan 10 jenis kanser, iaitu paru-paru, mulut, esophagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut. 
    • Sebanyak 50% kematian berpunca daripada sakit jantung dan strok. 
    • Kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok dan negara juga mengalami kerugian kira-kira RM 20 billion setahun bagi menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.
iv. Imam al-Syafi’e telah mengeluarkan fatwa dalam kitabnya yang masyhur al-Umm iaitu:

  • ”Jika mereka mengambil (sesuatu makanan, minuman atau sesuatu yang dihisap, dihidu dan disedut) yang boleh memabukkan, maka perbuatan itu adalah jelas haram. (Termasuklah) yang mengandungi racun yang menyebabkan kematian. Aku tetap menganggap (menfatwakan) ia adalah haram. Allah swt mengharamkan (apapun jenis) pembunuhan kerana pembunuh bermakna membunuh diri sendiri”.
v. Para ulama’ sepakat menyatakan bahawa merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji, berdasarkan nas-nas berikut:

  • Firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. 
  • Firman Allah swt dalam Surah al-A’raf ayat 157 yang bermaksud; “ Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk”.
  • Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidak boleh memberi mudharat dan membalas dengan kemudharatan”. (Hadith riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)
  • Kaedah Usul Fiqh: درء المفاسد مقدم على جلب المصالح yang bermaksud “ menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”
  • Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla, jilid 7, halaman 503 (masalah no. 1027) menegaskan bahawa : “Pemborosan adalah haram”. Yang dimaksudkan dengan pemborosan di sini ialah:
    • Membelanjakan wang untuk perkara yang diharamkan oleh Allah swt, samada banyak atau sedikit, walaupun sebesar sayap nyamuk sekalipun.
    • Pembaziran yang tidak ada keperluannya.
    • Membuang wang, betapa kecilpun jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.
Beberapa negara Islam dan beberapa ulama’ muktabar telah mengeluarkan fatwa tentang amalan merokok. Antaranya seperti berikut:
a. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah hukumnya haram kerana daripadanya terdapat kemudharatan.
b. Ulama’-ulama’ semasa Mesir seperti Dr. Abdul Jalil Shalaby mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan masyarakat.
c. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya “Fatawa al-Imam Abdul Halim Mahmud” telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudharatan kepada kesihatan.


2. Hukum pengharaman arak dan khinzir tidak boleh disamakan dengan hukum haram merokok kerana hukum pengharaman terhadap arak dan khinzir telah dinyatakan secara jelas dan qat’ie oleh Allah swt dalam kitab suci al-Quran. 

  • Manakala hukum pengharaman terhadap perbuatan merokok telah diistinbatkan oleh para jumhur ulama’ terdahulu dan masa kini bersandarkan hujah-hujah kepada nas-nas syarak yang jelas dinyatakan seperti al-Quran, al-Hadith, Ijma’ Ulama’, Qaedah-qaedah Fiqhiyah dan sebagainya. Ayat-ayat al-Quran dan hadith seperti yang dinyatakan di atas jelas telah memperincikan isu ini.


3. Al-Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf, bekas Mufti Mesir dalam Kitabnya Fatawa Syariyyah Wa Buhuth Islamiyahmenyatakan:



  • “ Sesungguhnya tumbuhan (tembakau) ini dahulunya belum dikenali. Apabila ia diperkenal dan digunakan oleh manusia untuk merokok, maka ulama’-ulama’ fiqh daripada pelbagai mazhab Islam telah membincangkannya untuk menetapkan hukumnya berdasarkan prinsip (qaedah fiqhiyyah) yang telah ditetapkan.”
  • “Sesungguhnya berdasarkan hukum asal sesuatu itu harus. Tidak akan terkeluar daripada prinsip asal melainkan adanya perkara-perkara yang mengubah hukumnya menjadi haram atau sebagainya.
  • ”Dalam isu merokok ini, sebab yang menjadikannya haram ialah kesan mudharat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-Kulliyatul Khams) yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.

......


Moga bermanfaat.


Bersama berusaha mendapatkan redha Allah dan menjauhi murka Allah.

Afiq Tj.

Saturday, November 12, 2011

Strategi Meningkatkan Iman



Bismillah..Kali ni saya nak kongsikan berkenaan strategi untuk kita jadikan iman kita meningkat. Perkongsian dari  Ustaz Dr. Zahazan (Siri tafsir al-Quran oleh radio IKIM.fm – Perbincangan tafsir surah at-Taubah ayat 124-125)

  1. Dengan membaca, menghafal, mendengar al-Quran dan beramal dengannya.
  2. Konsisten/Istiqamah beramal soleh. 
  3. Tadabur/Baca kisah-kisah para nabi dan rasul dalam al-Quran, kisah-kisah para sahabat, para salafussoleh.     
  4. Doa. Antara doa yang paling banyak Rasulullah S.A.W amalkan adalah doa diberi ketetapan hati.   
  5. Banyak mengingati Allah    
  6. Menjalankan dakwah di jalan Allah. Dengan menjalankan dakwah yang berterusan, dapat menjadikan diri kita tarsus istiqamah dalam kebenaran.   
  7. Cari/Mempunyai kawan-kawan yang baik, yang soleh, yang sentiasa bantu kita, mendorong kita untuk mentaati Allah S.W.T. 
  8. Sabar. Antara cara sabar adalah dengan puasa sunat.
  9. Banyak melakukan muhasabah dengan mengingati nikmat Allah kepada kita, nikmat-nikmat yang Allah janjikan di akhirat kepada orang-orang beriman, beramal soleh, serta mentaati Allah S.W.T seperti syurga.



Saya download di web ikim, siri kuliah oleh Ustaz Dr. Zahazan boleh dapat di sini.

Mohon teguran dan nasihat untuk yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Bersama kita mandapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Thursday, November 3, 2011

Keputusan dalam Kehidupan


Bismillah,

Setiap hari banyak keputusan yang kita perlu buat. Dari sekecil-kecil keputusan hingga sebesar-besar keputusan. Nak makan apa, nak pergi mana, nak buat apa dulu, nak pakai apa, nak baca apa..dan macam-macam lagi.

Kadang-kadang kita akan buntu atau risau berkenaan apa keputusan terbaik untuk kita buat terutama bila perlu pilih antara dua keputusan yang terbaik.

Dalam membuat keputusan, rujuk pada sistem nilai yang kita pegang dalam kehidupan. Sistem nilai bermaksud apa perkara-perkara penting yang kita nilaikan sebagai yang penting dalam kehidupan kita. Ada orang mungkin keluarga, kewangan dan kesihatan adalah antara perkara penting dalam kehidupan mereka. Bila nak buat keputusan terbaik, pertimbangkan mana yang paling bertepatan dan bersesuaian dengan keutamaan nilai-nilai penting yang kita pegang.

Sebagai muslim, kita seharusnya jadikan Allah sebagai yang paling penting dalam sistem nilai untuk kehidupan kita. Bila nak buat keputusan, pertimbangkan dulu yang mana Allah suka, yang mana Allah tak suka. Yang Allah tak suka kita tinggalkan. Bila ada beberapa pilihan yang kita yakin apa yang Allah suka, baru kita pertimbangkan nilai lain yang penting dalam kehidupan kita. Mungkin kewangan, keselesaan dan lain-lain.

Contohnya bila kita perlu buat keputusan untuk pilih pakaian terbaik untuk kita beli. Pertimbangkan dulu yang mana yang Allah suka untuk kita pakai. Maksudnya yang ikut cara berpakaian yang ditetapkan Islam seperti menutup aurat dan tak menampakkan bentuk badan. Kemudian baru pertimbangkan mengikut nilai penting lain yang kita pegang.

Contoh lain yang biasa kita buat, bila nak beli sesuatu makanan di kedai. Pertimbangkan dulu yang mana yang Allah suka untuk kita pilih. Antaranya yang diyakini halal. Kemudian baru pertimbangkan perkara lain seperti sedap, murah dan lain-lain yang mungkin penting dalam sistem nilai kehidupan anda.
Jadi, mari kita sama-sama ubah sistem nilai dalam kehidupan kita. Utamakan apa yang Allah suka dan tinggalkan apa yang Allah tak suka. Jadikan apa yang Allah perintah dan larang sebagai pertimbangan utama dalam kita nak buat kehidupan seharian.

Mohon nasihat dan teguran atas perkara yang kurang atau tak tepat.

Moga bermanfaat.

Sama-sama kita dapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Friday, October 28, 2011

Taubat..Jika Gagal..Terus berusaha..Tak Putus Asa






Suatu hari seorang penceramah terkenal membuka seminarnya dengan cara yang unik.
Sambil memegang wang RM100, dia bertanya kepada hadirin,

“Siapa yang nak duit ini?”.

Kelihatan ramai penonton angkat tangan menunjukkan ramai yang minat.

“Saya akan berikan ini kepada salah seorang dari anda , tapi sebelumnya perkenankanlah saya buat ni dulu.”


Dia berdiri mendekati hadirin. Wang itu diramas-ramas dengan tangannya sehingga renyuk.
Lalu bertanya lagi,

“Siapa yang masih mahu duit ini?”
Jumlah tangan yang mengangkat tak berkurang.

“Baiklah,” jawabnya,

“Apa jadinya bila saya melakukan ini?”

Ujarnya sambil menjatuhkan wang itu ke lantai & melenyek-lenyekkan dgn kasutnya. Meski masih utuh, kini wang itu jadi amat kotor,lusuh dan amat renyuk.

"OK, sekarang masih ada yang berminat?”.
Tangan-tangan yang angkat ke atas masih tetap banyak.

Hadirin sekalian, Anda baru saja menghadapi sebuah pelajaran penting. Apapun yang terjadi dengan wang ini, anda masih berminat kerana apa yang saya lakukan tidak akan mengurangi nilainya.

Biarpun renyuk,lusuh dan kotor, wang ini tetap bernilai RM100 juga..
Dalam kehidupan ini, kita pernah beberapa kali terjatuh, terkoyak, dan dipenuhi kotoran akibat keputusan yang kita buat & situasi yang menerpa kita dalam sesuatu keadaan dahulu.

Dalam keadaan seperti itu, kita merasa tak berharga, tak bererti.
Padahal apapun yang telah & akan terjadi, anda tidak pernah akan kehilangan nilai di mata mereka yang mencintai anda, lebih-lebih lagi di mata Tuhan.

Jadi walau bagaimana kotor pun anda, kita masih mempunyai nilai yang tersendiri. Sayangilah diri anda, bertaubat jika membuat dosa, terus berusaha jika gagal kerana diri kita sebenarnya amat berharga.
Dan jangan terlupa kita adalah makhluk Allah yang di pandang sama, hanya iman dan takwa yang membezakan kita.



Perkongsian dari facebook

Tuesday, October 25, 2011

Dah sedekah?



Bismillah..Assalamualaikum.

Kali ni saya nak kongsikan berkenaan sedekah (termasuk sumbangan dan wakaf). Sekadar untuk ingatan bersama.

Sepertimana kita ketahui, bila kita mati, kita dah tak berpeluang untuk laksanakan amal ibadah lagi. Walaubagaimanapun ada tiga perkara yang masih lagi dapat membantu kita dalam meningkatkan ganjaran kebaikan yang kita dapat. Seperti hadis yang sering kita dengar:

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Saya nak sentuh di sini tentang sedekah jariah. Sedekah jariah merupakan salah satu saham besar untuk kita di alam kubur dan di akhirat.

Bayangkan bila kita sedekah untuk pembinaan satu masjid, selagi masjid itu digunakan orang untuk beribadah kepada Allah, selagi itu kita akan dapat pahala, walaupun kita telah bertahun-tahun mati. 

Bayangkan pula bila kita sedekah untuk pembinaan sekolah yang menjadi tempat untuk pelajar-pelajar menuntut ilmu yang baik..Kita akan mendapat pahala setiap kali sekolah itu digunakan untuk menjadi tempat mengajar ilmu. Kita juga akan dapat pahala setiap kali pelajar yang menuntut ilmu di situ mengamalkan ilmu yang mereka dapat ketika belajar di situ. Kita juga akan mendapat pahala berterusan apabila pelajar itu mengajarkan dan berkongsi pula ilmu yang diperolehinya kepada orang lain dan orang lain itu juga mengamalkannya. Subhanallah.

Masjid, sekolah, sekolah agama, kemudahan untuk pelajar sekolah adalah antara contoh tempat-tempat terbaik untuk kita melabur saham akhirat. Saya serahkan kepada anda untuk fikirakan tempat lain lagi..seperti pusat pendidikan untuk mualaf, pusat pendidikan untuk anak yatim..dan banyak lagi..Subhanallah.

Walaubagaimanapun, tak semestinya bila kita fokuskan sumbangan kepada tempat-tempat ni, kita sampai melupakan saudara-mara kita yang susah. Saya pernah dengar kuliyah feqah oleh Prof. Dato’ Haron Din, keutamaan sedekah yang pertama adalah kepada saudara mara kita dulu, lihat pada adik-beradik kita, ada tak yang susah..lihat pada mak ayah dan datuk nenek kita..susah dan perlu dibantu tak..kemudian lihat pada adik-beradik mak ayah kita dan datuk nenek kita..juga lihat pada anak-anak kita dan cucu-cucu kita. Pertimbangkan sebaiknya.

Pada pandangan saya kita boleh juga aplikasikan konsep saham akhirat pada saudara-mara kita. Contohnya dengan bantu saudara-mara kita yang yatim atau miskin untuk hidup dengan lebih baik, bantu mereka tingkatkan pelajaran, bantu untuk beli bahan-bahan yang dapat meningkatkan amal ibadah mereka..di samping itu juga kita boleh hadiahkan CD kuliyah agama, majalah dan buku berfaedah seperti SOLUSI, Gen-Q, Anis, Asuh dan lain-lain..Hadiahkan al-Quran terjemahan..Sumbangkan buku rujukan untuk saudara-mara yang masih belajar..dan banyak lagi yang kita boleh fikirkan.

Moga bermanfaat.

Mohon teguran dan nasihat atas sebarang perkara yang kurang atau tak tepat dalam artikel saya.

Bersama kita mencari redha Ilahi.

Afiq Tj.

Saturday, October 22, 2011

Malu



Bismillah, kali ni nak kongsikan tazkirah ringkas yang saya dengar berkenaan sifat malu.

Kita kena ada sifat malu kepada Allah. Jangan malu pada manusia sahaja. Kalau kita malu pada manusia, bila manusia takda, kita hilang malu. Jika malu pada Allah, di mana-mana sahaja kita akan tetap ada rasa malu tu sebab kita tahu Allah Maha Melihat.

Malu macam mana yang kita patut ada? Iaitu malu melakukan dosa dan maksiat. Malu meninggalkan suruhan Allah dan malu melaksanakan larangan Allah. Contohnya malu untuk membuka aurat, mengumpat, memfitnah..malu untuk meninggalkan solat. Bukan malu untuk melakukan perkara baik dan bukan malu untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Juga bukan malu untuk melakukan sesuatu perkara yang dapat meningkatkan kualiti, kemajuan dan kecemerlangan diri kita (selagi mana kita mematuhi segala perintah dan larangan Allah).

Sebagaimana kita sering diingatkan. Malu itu sebahagian dari iman:

“Iman itu ada tujuh cabang lebih. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” (Sahih Muslim No. 50)
Moga bermanfaat.

Sama-sama kita berusaha mendapatkan redha Allah.

Afiq Tj.

Anda juga mungkin meminati..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...